Raihan Barbershop Ramadan Offer: Bayar Dengan Ayat Al Quran, Bukan Wang

MERDEKA.COM: Sebuah kedai gunting rambut di Indonesia hanya meminta ‘bayaran’ berupa mengaji Al-Quran untuk khidmatnya.

Promosi unik itu ditawarkan kedai gunting rambut Raihan Barbershop, yang terletak di Jalan RTM, Depok di Jawa Barat, sepanjang Ramadan ini.

Tujuannya ialah, selain untuk menjalankan amal ibadah, pemilik kedai gunting itu juga ingin beramal jariah pada bulan suci ini.

Namun, promosi tersebut hanya ditawarkan dari 7.00 hingga 9.00 pagi setiap hari. Pemilik Raihan Barbershop, Asep Irawan Hidayat, 42 tahun, mempunyai sebab tersendiri mengapa promosi itu dihadkan pada tempoh tersebut.

“Membaca Al-Quran pada pagi hari, Insya Allah, dapat memperlancar rezeki dan juga menambah pahala,” kata Encik Asep hari ini (12 Jun).

Beliau berkata, terpulang kepada pelanggan, ayat-ayat suci Al-Quran yang mana satu mereka ingin bacakan. Bahkan Encik Asep akan tetap menerimanya sebagai ‘bayaran’ sekiranya pelanggan hanya mampu membaca sepotong ayat Al-Quran.

Beliau juga tidak mahu memaksa pelanggan supaya mengaji Al-Quran, dan yang penting baginya ialah, pelanggan membacanya dengan ikhlas.

“Ini kan bulan yang baik, jadi saya ingin bersedekah dan mencari pahala juga,” kata Encik Asep.

Menurut Encik Asep, ia adalah kali pertama beliau menerapkan konsep tersebut di kedai gunting rambutnya.

Bagaimanapun, beliau menawarkan khidmat gunting rambut secara percuma tanpa bayaran wang atau mengaji Al-Quran kepada para pelajar pesantren Baitul Quran.

Beliau menyasarkan untuk menawarkan khidmat percuma itu kepada 200 pelajar pesantren itu. “Mereka biasanya ke sini pada petang hari, anak-anak ini memang terbiasa baca Al-Quran,” katanya.

Encik Asep berharap lebih ramai orang akan mengaji di kedainya, justeru dapat membawa berkat ke tempat perniagaannya itu.

Katanya, untuk pelanggan yang tidak mahu mengaji, mereka boleh membuat bayaran wang.

“Terserah kepada pelanggan, kalau ada yang mahu baca Al-Quran, silakan, tapi jika tidak mahu, ya tidak mengapa,” ujarnya.

Encik Tendi, salah seorang pelanggan yang ke kedai itu, berkata beliau datang untuk mencuba promosi tersebut. Beliau memilih untuk membaca surah yang pendek sebelum rambutnya digunting.

“Biasanya pakai wang, tapi ini pakai mengaji. Unik juga,” katanya.

Semalam (11 Jun), Merdeka.com melaporkan sebuah warung soto, yang juga terletak di Depok, turut menawarkan promosi unik sepanjang bulan suci ini.

Di warung Soto Kauman Express, pelanggan hanya perlu menulis doa mengikut kemahuan mereka pada sekeping kertas, dan mereka boleh mendapatkan hidangan soto dan jus secara percuma.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *