Tag: dakwah

  • Memalukan Kalau Ustaz Perut Buncit; Mufti Mahu Asatizah Amalkan Gaya Hidup Sihat

    Memalukan Kalau Ustaz Perut Buncit; Mufti Mahu Asatizah Amalkan Gaya Hidup Sihat

    Mufti Negara Dr Mohd Fatris Bakaram menyeru para asatizah supaya memberikan perhatian kepada kesihatan mereka dan mengamalkan gaya hidup sihat.

    Ini kerana ia bukan saja dituntut oleh agama malah ia juga diperlukan dalam golongan agamawan itu menjalankan tugas dakwah mereka.

    Sebagai ‘penghulu’ kepada para asatizah Singapura, Mufti Dr Fatris berkata, beliau mahu melihat “golongan asatizah khususnya” memberikan perhatian kepada kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat.

    Menurut Mufti Fatris, ini penting bagi mereka demi melaksanakan tugas dan mengajak masyarakat untuk mengamalkan ajaran Islam, yang juga termasuk aspek menjaga kesihatan.

    Dr Fatris menyuarakan pandangan demikian dalam satu wawancara eksklusif bersama BERITAMediacorp.

    KALAU ADA USTAZ YANG PERUTNYA BUNCIT…

    Dr Fatris memberitahu BERITAMediacorp beliau pernah disentap dengan satu persoalan berkaitan kesihatan, yang diajukan kepadanya.

    “Saya agak tersentak apabila diberitahu salah seorang daripada ketua saya dahulu bila bertugas di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), yang (kini) telah bersara. (Beliau) mengatakan bahawa satu perkara yang sangat memalukan, (adalah) kalau ada ustaz yang perutnya buncit.

    “Jadi saya bila dengar begitu saya rasa iya tak iya juga. Macam mana kita ini (golongan) ustaz, kita mengajak masyarakat untuk melaksanakan agama, dan antara ajaran agama adalah untuk menjaga kesihatan. Tapi kalau ada di kalangan ustaz pula yang perutnya buncit, sangat memalukan. Saya pegang itu. Sesuatu yang menyentap saya,” kongsi Dr Fatris.

    GAYA HIDUP SIHAT, ‘JIHAD’ BAGI ASATIZAH

    Lantaran itu, Dr Fatris menguatkan azamnya untuk mendisiplinkan diri, mengubah gaya hidup supaya dapat mengelakkan penyakit-penyakit serius. Ini tentu sekali boleh dicontohi golongan asatizah yang akan mendidik dan membentuk generasi seterusnya, yang akan menitikberatkan gaya hidup sihat.

    Meskipun demikian, untuk mengubah gaya hidup mungkin satu ‘jihad’ bagi para asatizah. Menurut Dr Fatris, melalui pengalaman peribadinya, ia bukanlah sesuatu yang mudah.

    “Bila jadi Mufti, bila jadi Ustaz ini, khusus sekali bila datang musim, contoh musim Maulid Nabi, musim Ramadan. Kita mendapat undangan yang banyak, majlis yang banyak dan dalam setiap majlis dan undangan itu pastinya hidangan-hidangan yang dihidangkan juga adalah dalam kategori biasa itu adalah beriani, air-air manis. Jadi itu kena jaga dan saya cuba,” beliau secara terus terang memberitahu BERITAMediacorp.

    Kini, dalam usahanya untuk terus memastikan kesihatan dijaga, Dr Fatris memilih untuk berjalan pantas sama ada bersama isteri atau beberapa lagi rakan asatizah.

    “Kalau bulan Ramadan agak kurang saya berjalan,” jelas Mufti.

    “Tetapi sekarang sedang mengembalikan rutin yang lama, seminggu dalam tiga atau empat kali, sekali jalan dalam 45 minit, satu jam, satu jam lebih sedikit,” kongsi Dr Fatris.

    Beliau menambah, sekali-kala apabila ada kesempatan, beliau akan bermain badminton bersama dengan kakitangan MUIS.

    BERITAMediacorp juga mendapat tahu bahawa antara tempat-tempat yang sekarang dijadikan ‘tapak senaman’ oleh Mufti dan rakan-rakannya ialah di kawasan MacRitchie.

    KENCING MANIS “KRISIS KESIHATAN” BAGI ORANG MELAYU

    Seruan Dr Fatris agar para asatizah memberi perhatian kepada aspek kesihatan, senaman dan gaya hidup sihat itu disuarakan sedang Perdana Menteri Lee Hsien Loong juga mengajak rakyat supaya memerangi isu kencing manis.

    Masyarakat Melayu nampaknya lebih terpukul dengan isu ini apabila PM Lee mendedahkan bahawa kencing manis adalah “krisis kesihatan” bagi masyarakat Melayu. Ini kerana 50 peratus anggota masyarakat Melayu yang berusia lebih 60 tahun menghidap penyakit kencing manis.

    Jika dibandingkan dengan kaum lain, 25 peratus daripada orang Cina berusia lebih 60 tahun menghidap kencing manis. Masyarakat India lebih kritikal dengan 60 peratus dalam golongan usia itu menghidap penyakit tersebut.

    Secara keseluruhannya sebagai satu masyarakat, 17 peratus orang Melayu di Singapura menghidap kencing manis, dedah PM Lee lagi menyuarakan keprihatinannya. Satu sebabnya adalah masalah kegemukan, satu masalah yang lebih ketara di kalangan masyarakat Melayu.

    ORAK LANGKAH ‘UBAH’ DAN ‘KURANGKAN’

    Untuk dijadikan teladan, Dr Fatris tidak bersembunyi untuk menceritakan tentang pengalaman dirinya sendiri, yang lama menghidap penyakit gout.

    “Kemudian satu peringkat, doktor beri amaran, bahawa kadar gula saya sudah sampai, kata orang itu, ‘borderline’ untuk saya jaga. Pada waktu itu saya rasakan, saya ini masih pada peringkat umur yang sepatutnya menikmati tahap kecergasan yang tinggi,” cerita beliau semasa ditemui di pejabatnya.

    Lantas apa yang Mufti Negara itu lakukan?

    “Jadi saya ubah gaya pemakanan saya, diet, minuman, makanan yang banyak bergula saya kurangkan,” tegas Dr Fatris.

     

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Adik 9 Tahun Jadi Pendakwah, Pimpin Terawih 1,000 Jemaah

    Adik 9 Tahun Jadi Pendakwah, Pimpin Terawih 1,000 Jemaah

    INDONESIA: Usianya baru 9 tahun, namun dai dan hafiz cilik Indonesia, Muhammad Abdul Rasyid, sudah mampu meniru gaya suara bacaan Al-Quran 15 imam besar termasuk imam Makkah.

    Bahkan, kanak-kanak yang terkenal dengan gelaran Syekh Rasyid itu juga dikatakan sudah mengimamkan solat terawih dengan hampir 1,000 jemaah.

    Sejak usianya 5 tahun, kanak-kanak itu, yang terkenal dengan gelaran Syekh Rasyid, sudah mampu meniru gaya bacaan 15 imam besar dunia, mulai dari imam Masjidil Haram, Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz as-Sudais, dan termasuk imam Masjid Nabawi dan Masjid Besar Kuwait, menurut Dream.co.id.

     

    Pada 2014, pada usia 6 tahun, kanak-kanak asal Pekanbaru itu mempamerkan bakatnya dengan menyertai pertandingan Pentas Hafiz Indonesia yang disiarkan di saluran RCTI.

    Di pertandingan itu, bakatnya itu menarik perhatian salah seorang juri, Syekh Ali Jaber, ulama terkenal dari Madinah, yang begitu kagum dengan kebolehannya, beliau mencium tangan kanak-kanak itu dan memberikannya gelaran “Syekh”.

    “Berbanding anak-anak lain, dia satu-satunya anak yang mampu meniru suara para imam.

    “Gelaran ‘Syekh’ itu diberikan kerana kita kenal salah satu figur di Arab, namanya Sheikh Mishary Rashid (Imam Masjid Besar Kuwait).

    “Saya berharap dengan gelaran ini, dia lebih bersemangat untuk menghafal Al-Quran kerana beliau belum menghafal kesemua 30 juz Al-Quran.

    “Mudah-mudahan Rasyid boleh jadi lebih baik, lebih tawaduk, dan bersemangat untuk hafal 30 juz,” kata Syekh Ali Jaber dalam wawancara yang disiarkan RCTI.

    Malah, kata ibu Rasyid, Yulia Chaniago, anaknya itu juga mampu melatunkan gaya azan dari muazzin pelbagai negara.

    “Seperti Turki, Madinah, Damsyik, Kuwait, India, sampai Jawa. Dia juga hafal siapa yang melantunkan azan yang dia tiru itu,” kata Cik Yulia kepada Dream.co.id.

    Lebih mengagumkan, murid sekolah Al Kindi Islamic School Pekanbaru yang lancar berbahasa Arab itu mempelajari sendiri irama 15 imam besar dunia itu – dengan menyaksikan dan mendengar bacaan Al-Quran mereka melalui YouTube.

    Sejak menyertai Pentas Hafiz Indonesia, Rasyid, yang juga tampil sebagai Juara Aksi 1 Junior 2015 di INDOSIAR, menjadi terkenal bukan sahaja di Indonesia malah di seluruh dunia, hingga digelar sebagai kanak-kanak ajaib dengan suara dari syurga.

    Kanak-kanak itu dijemput ke pelbagai acara di Indonesia dan luar negara, bahkan juga dikatakan mengimamkan solat terawih hampir 1,000 jemaah di sebuah masjid baru-baru ini.

     

    Dalam video yang dimuat naik ke saluran YouTube Umi Rasyid pada 20 Jun 2016 itu, lantunan ayat-ayat suci Al-Quran Rasyid dilihat begitu mengharukan hingga sesetengah jemaah menitiskan air mata.

    Video di bawah ini yang dimuat naik pada 10 Mei lalu pula menunjukkan kanak-kanak itu bersama imam dari Madinah, Syekh Dr Abdurrahman Awaji.

     

    Rasyid juga menyampaikan syarahan, yang dimulakan dengan pantun, di hadapan para jemaah di Masjid Nurul Jannah di Indonesia. Dalam video ini, kanak-kanak itu yang bersarban menyampaikan syiar dengan suara lantang dan penuh yakin diri.

     

    Pada Januari 2015 pula, Rasyid menggetarkan Masjid Tsim Sha Tsui di Hong Kong apabila membaca Al-Quran di hadapan ribuan jemaah sebagai tetamu undangan, menurut goriau.com.

    Malah, di Madinah, Rasyid juga pernah bertemu dan mempamerkan bakatnya itu di hadapan Syekh Abdul Rohman, dikatakan dari keturunan cucu Rasulullah.

     

    IBU: MAMPU MENGUCAP ALLAH PADA USIA 6 BULAN

    Ibu Rasyid, Yulia, memberitahu Dream.co.id bahawa anaknya itu mampu mengucap ‘Allah’ ketika usianya enam bulan.

    Malah pada usia tujuh bulan, kanak-kanak itu dikatakan sudah mampu berkata-kata.

    “Usia delapan bulan sudah bisa menghafal ayat-ayat Alquran. Anak ini umur dari bayi sudah luar biasa,” kata Cik Yulia.

    Menurutnya lagi, sejak kecil lagi Rasyid membawa Al-Quran ke mana sahaja dia pergi. “Kalau tidak bawa Al-Quran, sakit dia. Apalagi saat ini, ke mana-mana bawa Al-Quran,” ujarnya.

    Rasyid, yang dilahirkan pada 26 April 2007, juga asalnya diberi nama Gilang Pratama, menurut laman Dream. Tetapi sebelum usianya genap lima tahun, dia memilih sendiri nama Muhammad Abdul Rasyid, yang diambil dari nama Sheikh Mishary Rashid kerana menganggap beliau sebagai idolanya.

    Kini, Rasyid sudah menghafal sekitar 24 juz Al-Quran, menurut laporan goriau.com pada 18 Mei lalu.

    Menurut goriau.com, kisah kehidupan Rasyid diabadikan dalam buku “Suara dari Surga” dan “The Holy Child”.

    Kini, kisahnya juga dirancang dijadikan sebuah filem, kata sutradara dan penulis buku “Satu Rahim Satu Cinta”, Salamun Ali Mafaz.

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Bekas Gangster Singapura Kini Berdakawah

    Bekas Gangster Singapura Kini Berdakawah

    Ini adalah Abang Long Fadzil, bekas gengster Singapura…beliau telah memperoleh hidayah dengan memilih jalan dakwah sebagai perjuangannya..

    Sesungguhnya Hidayah itu milik Allah..

    Lokasi: Forum Mega Pajak Song, Masjid Al jalal Pajak Song, Kepala Batas, P. Pinang

     

    Source: Taiko Tai