Adik 9 Tahun Jadi Pendakwah, Pimpin Terawih 1,000 Jemaah

INDONESIA: Usianya baru 9 tahun, namun dai dan hafiz cilik Indonesia, Muhammad Abdul Rasyid, sudah mampu meniru gaya suara bacaan Al-Quran 15 imam besar termasuk imam Makkah.

Bahkan, kanak-kanak yang terkenal dengan gelaran Syekh Rasyid itu juga dikatakan sudah mengimamkan solat terawih dengan hampir 1,000 jemaah.

Sejak usianya 5 tahun, kanak-kanak itu, yang terkenal dengan gelaran Syekh Rasyid, sudah mampu meniru gaya bacaan 15 imam besar dunia, mulai dari imam Masjidil Haram, Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz as-Sudais, dan termasuk imam Masjid Nabawi dan Masjid Besar Kuwait, menurut Dream.co.id.

 

Pada 2014, pada usia 6 tahun, kanak-kanak asal Pekanbaru itu mempamerkan bakatnya dengan menyertai pertandingan Pentas Hafiz Indonesia yang disiarkan di saluran RCTI.

Di pertandingan itu, bakatnya itu menarik perhatian salah seorang juri, Syekh Ali Jaber, ulama terkenal dari Madinah, yang begitu kagum dengan kebolehannya, beliau mencium tangan kanak-kanak itu dan memberikannya gelaran “Syekh”.

“Berbanding anak-anak lain, dia satu-satunya anak yang mampu meniru suara para imam.

“Gelaran ‘Syekh’ itu diberikan kerana kita kenal salah satu figur di Arab, namanya Sheikh Mishary Rashid (Imam Masjid Besar Kuwait).

“Saya berharap dengan gelaran ini, dia lebih bersemangat untuk menghafal Al-Quran kerana beliau belum menghafal kesemua 30 juz Al-Quran.

“Mudah-mudahan Rasyid boleh jadi lebih baik, lebih tawaduk, dan bersemangat untuk hafal 30 juz,” kata Syekh Ali Jaber dalam wawancara yang disiarkan RCTI.

Malah, kata ibu Rasyid, Yulia Chaniago, anaknya itu juga mampu melatunkan gaya azan dari muazzin pelbagai negara.

“Seperti Turki, Madinah, Damsyik, Kuwait, India, sampai Jawa. Dia juga hafal siapa yang melantunkan azan yang dia tiru itu,” kata Cik Yulia kepada Dream.co.id.

Lebih mengagumkan, murid sekolah Al Kindi Islamic School Pekanbaru yang lancar berbahasa Arab itu mempelajari sendiri irama 15 imam besar dunia itu – dengan menyaksikan dan mendengar bacaan Al-Quran mereka melalui YouTube.

Sejak menyertai Pentas Hafiz Indonesia, Rasyid, yang juga tampil sebagai Juara Aksi 1 Junior 2015 di INDOSIAR, menjadi terkenal bukan sahaja di Indonesia malah di seluruh dunia, hingga digelar sebagai kanak-kanak ajaib dengan suara dari syurga.

Kanak-kanak itu dijemput ke pelbagai acara di Indonesia dan luar negara, bahkan juga dikatakan mengimamkan solat terawih hampir 1,000 jemaah di sebuah masjid baru-baru ini.

 

Dalam video yang dimuat naik ke saluran YouTube Umi Rasyid pada 20 Jun 2016 itu, lantunan ayat-ayat suci Al-Quran Rasyid dilihat begitu mengharukan hingga sesetengah jemaah menitiskan air mata.

Video di bawah ini yang dimuat naik pada 10 Mei lalu pula menunjukkan kanak-kanak itu bersama imam dari Madinah, Syekh Dr Abdurrahman Awaji.

 

Rasyid juga menyampaikan syarahan, yang dimulakan dengan pantun, di hadapan para jemaah di Masjid Nurul Jannah di Indonesia. Dalam video ini, kanak-kanak itu yang bersarban menyampaikan syiar dengan suara lantang dan penuh yakin diri.

 

Pada Januari 2015 pula, Rasyid menggetarkan Masjid Tsim Sha Tsui di Hong Kong apabila membaca Al-Quran di hadapan ribuan jemaah sebagai tetamu undangan, menurut goriau.com.

Malah, di Madinah, Rasyid juga pernah bertemu dan mempamerkan bakatnya itu di hadapan Syekh Abdul Rohman, dikatakan dari keturunan cucu Rasulullah.

 

IBU: MAMPU MENGUCAP ALLAH PADA USIA 6 BULAN

Ibu Rasyid, Yulia, memberitahu Dream.co.id bahawa anaknya itu mampu mengucap ‘Allah’ ketika usianya enam bulan.

Malah pada usia tujuh bulan, kanak-kanak itu dikatakan sudah mampu berkata-kata.

“Usia delapan bulan sudah bisa menghafal ayat-ayat Alquran. Anak ini umur dari bayi sudah luar biasa,” kata Cik Yulia.

Menurutnya lagi, sejak kecil lagi Rasyid membawa Al-Quran ke mana sahaja dia pergi. “Kalau tidak bawa Al-Quran, sakit dia. Apalagi saat ini, ke mana-mana bawa Al-Quran,” ujarnya.

Rasyid, yang dilahirkan pada 26 April 2007, juga asalnya diberi nama Gilang Pratama, menurut laman Dream. Tetapi sebelum usianya genap lima tahun, dia memilih sendiri nama Muhammad Abdul Rasyid, yang diambil dari nama Sheikh Mishary Rashid kerana menganggap beliau sebagai idolanya.

Kini, Rasyid sudah menghafal sekitar 24 juz Al-Quran, menurut laporan goriau.com pada 18 Mei lalu.

Menurut goriau.com, kisah kehidupan Rasyid diabadikan dalam buku “Suara dari Surga” dan “The Holy Child”.

Kini, kisahnya juga dirancang dijadikan sebuah filem, kata sutradara dan penulis buku “Satu Rahim Satu Cinta”, Salamun Ali Mafaz.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *