Tag: GE2015

  • Halimah Yacob Tekankan Kepentingan Pilih Pucuk Pimpinan Tepat

    Halimah Yacob Tekankan Kepentingan Pilih Pucuk Pimpinan Tepat

    Speaker Parlimen, Halimah Yacob menekankan soal pentingnya para pengundi memilih pucuk pimpinan yang tepat dalam Pilihan Raya Umum pada Jumaat ini (11 September).

    Cik Halimah, calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC yang baru dibentuk, Marsiling-Yew Tee, berkata demikian di sidang media PAP yang turut dihadiri Perdana Menteri Lee Hsien Loong, hari ini.

    Cik Halimah menyebut tiga perkara yang perlu diberi pertimbangan oleh para pengundi, iaitu pucuk pimpinan yang bertanggungjawab, dan yang dapat melaksanakan dasar-dasar yang telah dilakarkan dengan baik, serta kepimpinan yang dapat menerajui Singapura dalam tahun-tahun ke hadapan.

    “Ia bukan sesuatu yang saya katakan, tiga perkara ini – tetapi adalah perkara yang dikatakan oleh ramai penduduk di Marsiling, kawasan Marsiling semasa saya bertemu mereka.

    “Ramai yang mengatakan bahawa mereka telah lihat apakah sumbangan pemerintah yang ada, dan mereka yakin kerana mereka mahu melihat masa depan yang lebih baik bagi anak-anak mereka, cucu-cucu mereka,” ujar Cik Halimah.

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Calon SingFirst Party Fahmi Rais Juga Sentuh Isu Tudung

    Calon SingFirst Party Fahmi Rais Juga Sentuh Isu Tudung

    Seorang lagi calon pembangkang, Encik Fahmi Rais dari Parti Warga Diutamakan (SingFirst), menyentuh isu tudung dalam rapat pilihan raya malam ini.

    Encik Fahmi berkata tidak seharusnya menjadi masalah untuk membenarkan wanita Islam dalam perkhidmatan beruniform supaya bertudung, seperti yang dilakukan di sesetengah negara maju.

    Cik Nor Lella Mardiiiah Mohd dari Parti Perpaduan Nasional (NSP), turut mempersoalkan isu yang sama malam ini. Kelmarin, calon Parti Demokratik Singapura (SDP), Damanhuri Abas, juga berucap secara panjang lebar tentang isu pemakaian tudung dalam rapat pilihan raya parti itu.

    Selain isu tudung, Encik Fahmi, yang bertanding di GRC Tanjong Pagar, juga menyentuh kesulitan yang dihadapi oleh rakyat Singapura untuk mendapatkan pekerjaan kerana persaingan daripada warga asing.

    “Sekarang kita nak cari kerja bukan senang. Ada kelulusan pun belum tentu dapat kerja. Anak kita, kita tanggung dari sekolah rendah, menengah sampai universiti.

    “Pemerintah beri $400 juta kepada penduduk asing untuk anak mereka datang belajar di sini. Mana pergi masa depan kita?

    “Kalau kita hilang pekerjaan kerana kita bersaing dengan bangsa sendiri di Singapura, saya boleh terima. Kita hilang pekerjaan, bersaing dengan PR (Penduduk Tetap), saya rasa kita masih boleh terima.

    “Tapi kita hilang pekerjaan, bersaing dengan warga asing yang datang ke sini hanya untuk meraup keuntungan, itu saya tidak boleh terima. Anda boleh terima ke?” kata Encik Fahmi.

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Calon NSP Nor Lella Mardiiiah Sentuh Isu Tudung, Ingin

    Calon NSP Nor Lella Mardiiiah Sentuh Isu Tudung, Ingin

    Calon Parti Perpaduan Nasional (NSP), Cik Nor Lella Mardiiiah Mohd mempersoalkan mengapa pemerintah sukar untuk membenarkan wanita Islam memakai tudung apabila mengenakan seragam kerja.

    Cik Nor Lella juga berkata pasukan beliau merancang memberi tumpuan kepada pendidikan masyarakat Melayu.

    Beliau, yang bertanding di GRC Tampines, berkata demikian di rapat pilihan raya di Tampines Street 81 malam ini.

    “Seluruh anggota GRC Tampines daripada Parti Perpaduan Nasional, terutama presiden saya, kalau kita dapat masuk ke Parlimen, duit elaun itu, keseluruhannya kita akan berikan untuk menubuhkan satu dana pendidikan untuk masyarakat Melayu,” kata Cik Nor Lella.

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Calon Reform Party, Noraini Yunus, Utarakan Isu COE Mahal Dan Usahanya Untuk Lanjutkan Pengkhidmatan Pengangkutan Awam

    Calon Reform Party, Noraini Yunus, Utarakan Isu COE Mahal Dan Usahanya Untuk Lanjutkan Pengkhidmatan Pengangkutan Awam

    Calon Parti Reform (RP), Cik Noraini Yunus, mengutarakan isu harga Sijil Hak Memiliki (COE) kenderaan yang mahal, serta usahanya untuk mendapatkan lanjutan khidmat pengangkutan awam.

    Beliau, yang bertanding di GRC West Coast, berkata demikian semasa berucap di rapat pilihan raya di West Coast Walk malam ini.

    “Pengangkutan awam juga tidak beroperasi selama 24 jam. Saya pernah berusaha untuk mendapatkan lanjutan tempoh untuk dapatkan khidmat bas atau MRT, tapi dikatakan tak ada penumpang.

    “Jadi mereka menolak cadangan saya untuk dapatkan khidmat 24 jam seperti di negara-negara maju di Boston dan sebagainya, di Amerika,” ujar Cik Noraini.

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Yaacob Ibrahim Jelas Isu Tudung, Serta Perincian Usaha Dan Tugas AP Melayu

    Yaacob Ibrahim Jelas Isu Tudung, Serta Perincian Usaha Dan Tugas AP Melayu

    Para Anggota Parlimen Melayu PAP sudah “lebih daripada setakat memainkan peranan mereka” dalam mengutarakan isu-isu kepada Pemerintah – di Parlimen mahupun secara tertutup.

    Demikian ditegaskan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim dalam satu wawancara dengan media, semasa beliau berkempen menemui pengundi pagi tadi (5 September).

    Malah, para Anggota Parlimen (AP) Melayu PAP, kata beliau, “membangkitkan lebih banyak isu nasional” berbanding pembangkang.

    Dr Yaacob menambah, para AP Melayu PAP juga sentiasa mengimbangi kepentingan masyarakat Melayu/Islam dengan perspektif nasional.

    Sebagai contoh, beliau menarik perhatian, para AP Melayu/Islam terus-menerus mendekati pemerintah dalam soal pemakaian tudung di tempat kerja. Dr Yaacob berkata, beliau “terus berharap bahawa dasar itu akan berubah” nanti.

    ISU PEMAKAIAN TUDUNG

    Mengulas isu memakai tudung di tempat kerja yang dibangkitkan beberapa calon pembangkang Melayu, Dr Yaacob berkata: “Kami bersimpati dengan nasib pekerja muslimah di sebahagian tempat kerja, dan kami berharap beberapa kelonggaran akan ditunjukkan kelak. Pada masa yang sama, kami perlu mengambil kumpulan yang lebih besar ke dalam konteks ini.”

    Calon Parti Demokratik Singapura (SDP) Damanhuri Abas, misalnya, berucap secara panjang lebar tentang isu pemakaian tudung dalam rapat pilihan raya parti itu kelmarin.

    Beliau antara lain berhujah supaya jururawat wanita Islam dibenarkan memakai tudung di tempat kerja.

    Dr Yaacob, calon PAP bagi GRC Jalan Besar, berkata ini adalah satu isu yang sudah lama berlegar dan beliau serta rakan-rakan PAP beliau sudah utarakan sebelum ini.

    Menyedari bahawa ini adalah sebuah masyarakat sekular dan pemerintah perlu berlaku adil, beliau berkata sebarang perubahan dasar perlu dikaji bagi mengetahui “kesannya yang diinginkan dan tidak diinginkan”.

    Namun, beliau juga menegaskan bahawa dasar itu “bukanlah muktamad “, dan beliau serta rakan-rakannya akan terus berdialog dengan pemerintah untuk mencari cara-cara di mana “kita boleh lebih fleksibel di tempat kerja” sambil mengiktiraf “bahawa kita hidup dalam masyarakat yang menganut pelbagai kepercayaan”.

    Jika masyarakat berbeza mahu meluaskan ruang mereka masing-masing, “kita mungkin mengurangkan ruang bersama” kata Dr Yaacob.

    PRESTASI AP MELAYU DI PARLIMEN

    Bercakap tentang para AP Melayu dari PAP, Dr Yaacob berkata, mereka “lebih daripada setakat memainkan peranan mereka (dan) bukan sahaja menyokong dasar-dasar pemerintah, tetapi juga membangkitkan persoalan-persoalan yang sangat, sangat sukar bagi pemerintah fikirkan.”

    “Saya rasa jika saya meneliti kebertanggungjawaban AP PAP, kami satu tangga di atas dari segi prestasi dan anda boleh melihatnya. Malah bagi kesemua AP Melayu dalam Dewan, saya sudah melakukan analisis. Ramai AP Melayu PAP sudah menimbulkan lebih banyak isu-isu nasional berbanding pihak pembangkang,” ujar Dr Yaacob lagi.

    “Kami tidak menghadkan diri kami kepada isu-isu masyarakat Melayu, kita juga bercakap tentang pengangkutan, jagaan kesihatan, segala-galanya,” kata Menteri Perhubungan dan Penerangan itu.

    Beliau juga menambah para AP Melayu PAP mencapai lebih daripada yang diperlukan dari segi prestasi, sambil menyebut nama-nama Encik Zainal Sapari, Dr Intan Azura Mokhtar, Encik Zaqy Mohamad, Dr Fatimah Lateef, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dan Encik Zainudin Nordin.

    Namun demikian, AP Melayu PAP “terus membincangkan cara-cara bagaimana kita boleh memajukan keperluan masyarakat (Melayu) dengan keperluan negara,” kata Dr Yaacob.

    “Kami mengambil pendekatan nasional tetapi kami juga mempunyai kepentingan masyarakat di hati. Itulah tugas kita. Kita perlu mengimbangi kedua-duanya. Begitulah Singapura dikendalikan.”

    KENDALIKAN ISU-ISU SENSITIF DI BALIK TABIR

    Dr Yaacob berkata para AP Melayu membincangkan “banyak isu sensitif”dengan pemerintah di balik tabir.

    Selepas pilihan raya 2011, beliau berkata, “kami bertemu PM dan membentangkan kertas kerja untuk membincangkan beberapa isu yang dihadapi masyarakat Melayu”.

    Menurut beliau, ada di antaranya sudah dilaksanakan, termasuk Edusave untuk pelajar Madrasah, dan bantuan yang diumumkan baru-baru ini untuk mengukuhkan pengajaran mata pelajaran sekular di Madrasah. Ia diumumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa Rapat Hari Kebangsaan.

    “Ada perkara yang kita lakukan secara tertutup. Kami tidak menghebahkannya di rapat-rapat (pilihan raya) dan melaungkannya. Kami melakukannya secara senyap-senyap, dan apabila ia diumumkan di Parlimen atau di Rapat Hari Kebangsaan, kami berdiri dan menyokongnya – itulah cara kita melakukan kerja-kerja kami,” jelas beliau dengan panjang lebar.

    Dr Yaacob yang sudah menjadi AP sejak tahun 1997, berkongsi bahawa para AP Melayu/islam juga mendekati pemimpin masyarakat Melayu.

    “Pada akhirnya, kita perlu mencari keseimbangan kerana kita hidup dalam sebuah masyarakat sekular dengan masyarakat yang berbeza-beza. Mustahil bagi kita untuk mengajukan agenda kita sahaja tanpa mengambil kira masyarakat lain.

    “Jika kita berbuat demikian, maka kita menjadi seperti negara-negara lain – orang hanya berminat dengan agenda mereka sendiri, dan saya fikir kita akan mengganggu keharmonian sosial yang telah dibangunkan sejak 50 tahun lalu,” katanya.

    Source: http://berita.mediacorp.sg