Tag: jemaah haji

  • Jual Air Zam Zam Di Malaysia Boleh Didenda, Anda Mungkin Dipenjara

    Jual Air Zam Zam Di Malaysia Boleh Didenda, Anda Mungkin Dipenjara

    Selaras dengan larangan Kerajaan Arab Saudi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan air zam zam.

    Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan pengedaran air zam zam secara percuma kepada jemaah haji dan umrah serta pelawat untuk kegunaan persendirian dalam kuantiti yang terhad semasa berlepas dari Arab Saudi.

    Tegasnya, penjualan air zam zam tidak dibenarkan di Malaysia, menurut laporan Astro Awani.

    “Selaras dengan ini, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang mengambil dua tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan air zam zam berdasarkan Seksyen 4(1)(f), Akta Makanan 1983.

    “Hasil penguatkuasaan yang telah dijalankan sejak tahun 2012 sehingga 31 Okt 2017 di seluruh negara, sejumlah air zam zam bernilai RM58,191.80 (S$19287) telah dirampas. KKM sedang meningkatkan tindakan penguatkuasaan ke atas penjualan air zam zam.

    “Di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, mana-mana orang yang disabitkan kesalahan menjual air zam zam boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000.00 (S$3310) atau penjara tidak melebihi dua tahun,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini (9 Dis), seperti yang dipetik Astro Awani.

    Jelas beliau, air zam zam diperolehi dari bawah tanah dan dikategorikan sebagai air mineral semula jadi seperti termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

    “Pengimportan air mineral semula jadi memerlukan lesen punca air serta kelulusan dan pengesahan daripada pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport,” tambahnya, lapor Astro Awani.

     

    Source: Astro Awani

  • 122 Jemaah Haji Indonesia Meninggal Dunia Di Saudi Tahun Ini

    122 Jemaah Haji Indonesia Meninggal Dunia Di Saudi Tahun Ini

    INDONESIA: Keseluruhannya 122 jemaah haji Indonesia sudah meninggal dunia di Arab Saudi tahun ini sehingga semalam (14 Sep), iaitu tiga hari selepas wukuf di Arafah.

    Seramai 11 jemaah haji Indonesia meninggal dunia dalam tiga hari terakhir ibadah haji tahun ini. Pada hari pertama mabit, tujuh jemaah haji Indonesia meninggal dunia di Mina.

    Berdasarkan data dari Sistem Informasi Komputerisasi Haji Terpadu Kesihatan pada 7.00 pagi waktu Saudi semalam, kesemua 11 jemaah itu meninggal dunia kerana sakit dan mereka adalah dari Palembang, Padang, Aceh, Surabaya, Jakarta Bekasi dan Solo.

    Keseluruhannya, jemaah haji yang meninggal dunia berusia antara 41 hingga 86 tahun, berdasarkan senarai dari sistem itu.

    Kelmarin pula, enam jemaah haji dilaporkan meninggal dunia ketika wukuf di Arafah dan empat lagi ketika melempar jamrah dan mabit di Mina.

    Menurut jurucakap Klinik Kesihatan Haji Indonesia di Arab Saudi, Muchtarudin Mansyur, mereka meninggal dunia akibat sakit jantung dan strok haba oleh kerana cuaca yang kurang baik.

    Bagi menangani masalah ambulans yang terhad, pihaknya juga sudah menghubungi muassasah bidang kesihatan, dan ambulans tambahan segera dikerahkan.

    Pada 7 September lalu, Jakarta Post melaporkan bahawa lima hari sebelum wukuf, empat lagi jemaah haji Indonesia meninggal dunia di Makkah akibat masalah pernafasan, penyakit jantung dan masalah tekanan darah.

    Sebelum itu, 64 jemaah haji Indonesia dilaporkan meninggal dunia di Arab Saudi pada musim haji tahun ini, kebanyakannya berusia 60-an tahun.

    Pemerintah Indonesia memberi jaminan bahawa semua jemaah haji Indonesia yang meninggal dunia ketika menunaikan haji dan ketika menunggu berangkat untuk ke Tanah Suci di pelbagai tempat embarkasi di seluruh Indonesia, akan dibadalkan haji mereka.

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Yaacob Ibrahim: MUIS Kumpul $300 Dari Setiap Jemaah Singapura Untuk Tampung Kos Misi Haji

    Yaacob Ibrahim: MUIS Kumpul $300 Dari Setiap Jemaah Singapura Untuk Tampung Kos Misi Haji

    Dalam jawapan bertulisnya pula, Dr Yaacob berkata Muis mengumpulkan $300 dari setiap jemaah untuk menampung kos operasi misi Haji.

    Ini termasuk menyediakan khidmat perubatan dan kebajikan kepada para jemaah.

    Bayaran itu termasuk dalam harga pakej haji.

    Dr Yaacob menerangkan, yuran $300 yang dikumpulkan Muis dari setiap jemaah, tertera sebagai ‘Kos Perubatan dan Pentadbiran’ dalam harga pakej haji yang ditawarkan oleh pihak GSA.

    Menurutnya, yuran itu membentuk sebahagian kecil daripada harga keseluruhan pakej haji yang dibayar setiap jemaah iaitu antara $7,000 hingga $18,000.

    Bagaimanapun Dr Yaacob menambah, jumlah yuran itu sahaja tidak menampung sepenuhnya kos Muis untuk perkhidmatan perubatan dan kebajikan, iaitu sebanyak $700 bagi setiap jemaah, sejak 3 tahun lalu.

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • 177 Bakal Jemaah Haji Indonesia Terkandas Di Filipina, Jadi Mangsa Penipuan Sindiket

    177 Bakal Jemaah Haji Indonesia Terkandas Di Filipina, Jadi Mangsa Penipuan Sindiket

    Gara-gara terpengaruh dengan tawaran satu sindiket untuk menunaikan ibadah haji menggunakan kuota haji Filipina, seramai 177 rakyat Indonesia kini ditahan di Depot Tahanan Imigresen negara itu.

    Media-media tempatan melaporkan kesemua warga Indonesia itu terpedaya dengan sindiket ejen haji sebuah syarikat tempatan yang ‘menawarkan’ khidmat membawa jemaah negara itu menerusi penerbangan dari Manila, Filipina.

    Sindiket itu dikatakan mengenakan bayaran sehingga AS$10,000 (S$14,000) bagi setiap bakal jemaah haji dan mereka berlepas dari Sulawesi Selatan ke Manila pada 19 Ogos lalu.

    Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla ketika mengulas kejadian itu berkata sebanyak 177 bakal jemaah haji itu ditahan pihak berkuasa Filipina kerana kesalahan menggunakan pasport Filipina.

    Beliau berkata kerajaan Indonesia sedang berusaha membantu mereka supaya tidak dikenakan hukuman.

    Menurutnya mereka adalah mangsa penipuan dan pemerintah Indonesia meminta supaya kesemua mangsa sindiket itu dibebaskan pihak berkuasa Filipina.

    Sementara itu, media-media online memetik jurucakap Kedutaan Indonesia di Filipina sebagai berkata bahawa mangsa sindiket haji itu secara berperingkat ditempatkan di Kedutaan Besar Indonesia di Filipina.

    “Walaupun dipindahkan ke kedutaan itu, mereka masih tidak dibenarkan pulang ke tanah air kerana perlu membantu siasatan.

    “Kedutaan telah memaklumkan kepada pihak berkuasa Filipina bahawa mereka adalah mangsa dan tidak mengetahui mengenai modus operandi ejen terbabit,” kata jurucakap itu.

    Kesemua mangsa ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila ketika hendak berlepas ke Jeddah setelah pihak berkuasa mendapati pasport mereka mencurigakan dan mereka tidak boleh berbahasa Tagalog iaitu bahasa kebangsaan Filipina.

    Setelah disiasat, kesemua 177 jemaah haji itu didapati bukan warga Filipina dan mereka memasuki negara itu sebagai pelancong sebelum diberikan pasport Filipina bagi tujuan menunaikan haji.

    Kuota Haji Filipina dikatakan tidak dipenuhi umat Islamnya setiap tahun. Sementara itu, Kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota 168,000 jemaah haji dari Indonesia tahun ini.

    Bagaimanapun, waktu menunggu giliran haji di Indonesia kini adalah lebih 20 tahun ekoran jumlah yang mendaftar untuk menunaikan ibadah itu semakin meningkat setiap tahun.

    Source: Berita MediaCorp

  • Antara Kelakuan Jemaah Haji Indonesia Buat Pegawai Haji Geleng Kepala

    Antara Kelakuan Jemaah Haji Indonesia Buat Pegawai Haji Geleng Kepala

    INDONESIA: Ibadah haji merupakan seruan Ilahi bagi umat Islam yang memiliki kemampuan baik dari segi kewangan ataupun jasmani.

    Namun, menurut pengalaman Panitia Penyelenggara Ibadah Haji (IPHI) Kota Cirebon, Indonesia, terdapat pelbagai kelakuan para jemaah dari negara itu yang boleh membuat sesiapa sahaja geleng kepala.

    Malah sebahagian daripadanya terpaksa melibatkan campur tangan polis.

    BAWA BERKOTAK-KOTAK ROKOK, UBAT KUAT UNTUK DIJUAL

    Menurut Ketua IPHI kota itu, Slamet, jemaah haji dari Indonesia, khususnya Jawa Barat adalah yang paling menyusahkan.

    Mereka seringkali membawa pelbagai barangan yang tidak perlu kerana mahu berjimat.

    Ada yang membawa periuk nasi, termos, berkotak-kotak rokok dan juga ‘ubat kuat’ untuk dijual di tanah suci.

    “Rokok dibawa berkotak-kotak. Demikian juga ubat kuat. Di tanah suci harganya mahal, jadi mereka boleh menjualnya dengan harga lima kali ganda berbanding harga di Indonesia,” menurut Encik Slamet.

    Selain itu, pernah juga terjadi pada tahun 2011, di mana seorang petugas ibadah haji (PPIH) di Arab Saudi menjumpai beras dan periuk nasi di dalam beg seorang jemaah yang berasal dari Solo.

    BAWA LEBIH 5 KILOGRAM BERAS, PERIUK NASI

    Ketua Sektor PPIH Arab Saudi, Aranto berkata, beg yang dibawa jemaah berkenaan terlalu berat.

    Rupa-rupanya, bukan sahaja pakaian, malah terdapat juga beras melebihi lima kilogram dan juga makanan kering serta telur.

    “Itu yang membuatkan beg beliau lebih berat berbanding beg-beg jemaah lain,” jelas Encik Aranto.

    Menurut salah seorang jemaah yang menginap di Hotel Holiday Villa, Madinah, jemaah itu membawa peralatan dan makanan tersebut bagi menyiapkan sarapan pagi setiap hari.

    “Kalau sarapan, beliau mahu masak mi segera atau nasi,” ujar jemaah tersebut.

    Pada tahun 2014, kerajaan Arab Saudi menetapkan undang-undang baru di mana para jemaah haji tidak dibenarkan memasak makanan sendiri.

    “Undang-undang dari kerajaan Arab Saudi dikuatkuasakan sebagai mencegah daripada kebakaran dan dimaklumkan kepada para jemaah Indonesia. Sekiranya jemaah haji tetap memasak nasi atau membawa masakan sehingga mengeluarkan aroma, sistem penggera akan berbunyi,” menurut Ketua Daker Makkah Endang Jumali.

    Meskipun begitu, masih terdapat jemaah haji dari Indonesia yang tidak bersetuju dengan undang-undang baru tersebut dan menentangnya.

    LANGGAR UNDANG-UNDANG BAWA MINUMAN KERAS

    Malah, seorang bakal jemaah haji yang akan berangkat ke tanah suci didapati membawa sekitar setengah liter minuman keras hasil penapaian yang dimasukkan ke dalam botol.

    Menurut jemaah berkenaan, minuman itu adalah ubat kuat, anti-penat supaya beliau lebih bertenaga untuk menjalankan ibadah haji di tanah suci.

    Minuman tersebut dijumpai petugas semasa melakukan pemeriksaan ke atas beg-beg jemaah, pada Jumaat (26 Ogos), lantas merampasnya sebagai bukti.

    Menurut seorang petugas bernama Avsec Bandara, jemaah yang membawa minuman keras itu merupakan seorang lelaki yang berasal dari Sulawesi Barat.

    Beliau menambah, minuman tersebut dirampas bukan sahaja kerana ia mengandungi alkohol malah ia boleh menyebabkan letupan di dalam pesawat.

    Selain minuman keras, petugas turut merampas beberapa barangan lain milik bakal jemaah.

    Source: berita.mediacorp.sg