122 Jemaah Haji Indonesia Meninggal Dunia Di Saudi Tahun Ini

INDONESIA: Keseluruhannya 122 jemaah haji Indonesia sudah meninggal dunia di Arab Saudi tahun ini sehingga semalam (14 Sep), iaitu tiga hari selepas wukuf di Arafah.

Seramai 11 jemaah haji Indonesia meninggal dunia dalam tiga hari terakhir ibadah haji tahun ini. Pada hari pertama mabit, tujuh jemaah haji Indonesia meninggal dunia di Mina.

Berdasarkan data dari Sistem Informasi Komputerisasi Haji Terpadu Kesihatan pada 7.00 pagi waktu Saudi semalam, kesemua 11 jemaah itu meninggal dunia kerana sakit dan mereka adalah dari Palembang, Padang, Aceh, Surabaya, Jakarta Bekasi dan Solo.

Keseluruhannya, jemaah haji yang meninggal dunia berusia antara 41 hingga 86 tahun, berdasarkan senarai dari sistem itu.

Kelmarin pula, enam jemaah haji dilaporkan meninggal dunia ketika wukuf di Arafah dan empat lagi ketika melempar jamrah dan mabit di Mina.

Menurut jurucakap Klinik Kesihatan Haji Indonesia di Arab Saudi, Muchtarudin Mansyur, mereka meninggal dunia akibat sakit jantung dan strok haba oleh kerana cuaca yang kurang baik.

Bagi menangani masalah ambulans yang terhad, pihaknya juga sudah menghubungi muassasah bidang kesihatan, dan ambulans tambahan segera dikerahkan.

Pada 7 September lalu, Jakarta Post melaporkan bahawa lima hari sebelum wukuf, empat lagi jemaah haji Indonesia meninggal dunia di Makkah akibat masalah pernafasan, penyakit jantung dan masalah tekanan darah.

Sebelum itu, 64 jemaah haji Indonesia dilaporkan meninggal dunia di Arab Saudi pada musim haji tahun ini, kebanyakannya berusia 60-an tahun.

Pemerintah Indonesia memberi jaminan bahawa semua jemaah haji Indonesia yang meninggal dunia ketika menunaikan haji dan ketika menunggu berangkat untuk ke Tanah Suci di pelbagai tempat embarkasi di seluruh Indonesia, akan dibadalkan haji mereka.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *