Tag: jemaah

  • Penduduk Palestin Kembali Beribadah Di Masjid Al-Aqsa Selepas Dua Minggu

    Penduduk Palestin Kembali Beribadah Di Masjid Al-Aqsa Selepas Dua Minggu

    Warga Paelstin boleh beribadah di Masjid Al-Aqsa pada tengah hari ini (27 Jul) buat pertama kalinya dalam masa hampir dua minggu, menurut pihak berkuasa Palestin.

    Ini setelah Israel menarik balik langkah-langkah keselamatan terbaru yang dikenakannya.

    “Pihak berkuasa Islam di Baitulmakdis mengajak warga Palestin untuk ke Masjid Al-Aqsa bagi menunaikan solat Zuhur,” kata seorang pegawai Waqf, pihak berkuasa Islam yang mengendalikan masjid berkenaan kepada para wartawan AFP.

    Menurut laporan Reuters, Israel memasang pengesan logam, kamera dan mengambil langkah-langkah keselamatan lain menyusuli satu serangan pada 14 Julai yang mana dua orang pegawai polis ditembak mati.

    Menyusuli langkah-langkah Israel itu, tunjuk perasaan yang ganas pula berlaku.

    “Laporan teknikal menunjukkan semua penghadang diletakkan Israel di luar Masjid Al-Aqsa ditanggalkan,” ujar ketua Waqf Abdel-Azeem Salhab.

    “Kami memuji perpaduan yang ditunjukkan semasa dua minggu ini di luar Al-Aqsa dan kami mahu perpaduan itu diteruskan di luar dan kini di dalam Al-Aqsa,” tambahnya yang menggesa para jemaah untuk kembali beribadah di masjid tersebut.

     

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Dalam 3 Minggu Sahaja, 5.7 Juta Jemaah Sudah Tunaikan Ibadah Umrah Ramadan

    Dalam 3 Minggu Sahaja, 5.7 Juta Jemaah Sudah Tunaikan Ibadah Umrah Ramadan

    Seramai 5.7 juta jemaah menunaikan ibadah umrah sejak awal Ramadan dan 5.2 juta daripada mereka sudahpun pulang ke tanah air masing-masing sejauh ini.

    Menurut laporan Saudi Gazette, para jemaah itu datang dan pulang melalui pelbagai laluan keluar udara, darat dan marin. Jabatan Pasport juga sedang meneruskan usahanya untuk menyediakan sumber manusia dan teknologi maju kepada para jemaah.ma

    Lebih 148 kaunter turut dilengkapi dengan teknologi terbaru seperti mesin cap jari dan sofwe pengesan penipuan bagi mengesan para penjahat.

    Leftenan Jeneral Khalid Al-Jiaid, penolong pengarah bagi ehwal haji dan umrah, juga berkata beliau melakukan lawatan pemeriksaan ke atas dewan-dewan umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah.

    Awal dari itu, para jemaah umrah dan pelawat ke Masjidil Haram di Makkah turut menolak dakwaan bahawa mereka dilarang daripada memasuki kawasan tersebut berdasarkan kerakyatan mereka.

    “Kami tidak melalui pengalaman seperti apa yang disebarkan,” kata Encik Rasheed Al-Minsawi, seorang jemaah umrah dari Maghribi, seperti ditukil Saudi Gazette.

    “Itu tidak mungkin berlaku kerana beribu-ribu jemaah dan pelawat memasuki Masjidil Haram melalui pintu-pintunya. Tiada sesiapa yang dilarang masuk berdasarkan kerakyatan mahupun warna kulit,” dedahnya kepada Saudi Gazette.

    “Di Masjidil Haram di Makkah ini, kita semua orang Islam,” kata jemaah umrah warga Turki yang berusia 50 tahun, Encik Ahmet M.

    “Tiada sesiapa yang tanya dari mana asal kita apabila memasuki pintu-pintu Masjidil Haram kerana ia tidak penting. Kita datang dari pelbagai pelusuk dunia, hanya untuk ke satu arah: Rumah Allah.”

     

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • ‘Bas Pelancong’ Madinah Sedia Bawa Anda Ke 11 Tapak Bersejarah Bandar Itu

    ‘Bas Pelancong’ Madinah Sedia Bawa Anda Ke 11 Tapak Bersejarah Bandar Itu

    Pihak berkuasa Arab Saudi kini mengenalkan satu khidmat baru di bandar Madinah, bagi para jemaah yang ke bandar bersejarah itu. Dipanggil “Bas Pelancong”, perjalanannya bermula di Masjid Nabawi, membawa para pengunjung ke 11 tapak di Madinah.

    Ini termasuklah ke tempat-tempat dan tanda mercu bersejarah seperti Jannat al-Baqi, Gunung Uhud, Masjid Qiblatain, Jalan Sultan dan pusat-pusat beli-belah.

    Menurut Saudi Gazette, khidmat bas terbaru itu memulakan perjalanan pertamanya pada Selasa (6 Jun) dan dikendalikan sebuah syarikat pelancongan yang mewakili Penguasa Pembangunan Al-Madinah Al-Munawarah.

    Laman akhbar itu juga melaporkan, dengan menyasarkan para pengunjung dari seluruh pelusuk dunia, perjalanan itu menawarkan para pemandu yang dapat bertutur dalam lapan bahasa.

    Fahad Al-Bayti, pegawai hubungan awam penguasa itu, ditukil Saudi Gazette sebagai berkata perjalanan sulung itu, yang disaksikan pihak media dan para peniaga sedang dalam peringkat persediaan untuk pelancaran rasmi projek berkenaan di masa-masa akan datang.

    Bas dua tingkat itu juga mesra penumpang kurang upaya supaya orang berkeperluan khas juga dapat menikmati manfaat projek unik berkenaan, menurut laporan Saudi Gazette.

    Encik Al-Bayti menarik perhatian bahawa pertimbangan dilakukan dalam menetapkan harga tiket supaya ia mudah diakses orang ramai.

    Projek tersebut juga termasuk lima bas pada fasa pertama, sebelum ia ditambahkan kepada 15 bas selepas itu. Ia akan beroperasi selama 14 jam setiap hari.

     

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Jemaah Singapura Gembira Dapat Beribadah Dengan Lebih Selesa Di 3 Masjid Kampung

    Jemaah Singapura Gembira Dapat Beribadah Dengan Lebih Selesa Di 3 Masjid Kampung

    Bermula bulan ini, para jemaah yang berkunjung ke tiga masjid kampung dapat menikmati pengalaman beribadah yang lebih selesa.

    Ini setelah Masjid Tasek Utara, Jamek Queenstown dan Hussein Sulaiman selesai menjalani kerja-kerja peningkatan.

    BERITAMediacorp menjengah ke tiga masjid tersebut dan mendapatkan pandangan para jemaah tentang kemudahan dan prasarana baru yang disediakan.

    Ruang solat yang diubah suai lengkap dengan penghawa dingin. Kawasan dalaman masjid yang lebih terang dengan tambahan lampu dan kipas angin, serta kawasan luar masjid yang lebih rapi, dan juga papan tanda nama masjid yang lebih besar.

    Itulah antara perubahan yang dilalui Masjid Tasek Utara, yang boleh menampung 200 jemaah, selepas enam bulan ia ditutup bagi menjalani kerja-kerja peningkatan secara besar-besaran.

    Kali terakhir masjid yang berusia 110 tahun itu menjalani kerja-kerja peningkatan adalah pada 2008 kepada kemudahan tandasnya.

    Seorang jemaah masjid, Ahmad Mokhtar Mohd Shafi, berkata: “Alhamdulillah saya cukup bangga, saya rasa mengalir air mata sebab saya tak dapat bandingkan waktu dahulu. Alhamdulillah, orang yang datang sini tidak dapat menyangka tengok masjid ini banyak perubahan.”

    Seorang lagi jemaah, Saifulbahri Rasno, berkata: “Tempat ruang solatnya begitu selesa sekali, begitu baik. Dan saya rasa sebagai seorang jemaah, Alhamdulillah dapat menunaikan solat Jumaat di sini dengan begitu selesa sekali.”

    Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Yaacob Ibrahim dan Mufti Dr Fatris Bakaram menyertai para jemaah untuk menunaikan solat Jumaat pertama selepas masjid tersebut dinaik taraf.

    Menulis dalam Facebook beliau Dr Yaacob berkata dengan kerja-kerja peningkatan selamat dijalankan, para penduduk dan pekerja di sekitar Farrer Park dan Serangoon dapat beribadah dengan lebih selesa.

    Dr Yaacob turut berkongsi rasa gembiranya bahawa dua lagi masjid lama dan kecil, Jamek Queenstown dan Hussein Sulaiman juga selesai menjalani kerja-kerja peningkatan.

    Masjid Jamek Queenstown. (Gambar-gambar: Nity Farhana)

    Masjid Jamek Queenstown yang dibina pada 1964 menjalani kerja-kerja peningkatan pada tempat mengambil wudhu serta ruang solat utama yang dilengkapi dengan penghawa dingin.

    Manakala Masjid Hussein Sulaiman yang berusia 115 tahun pula melalui kerja-kerja peningkatan kepada ruang solat utama, rupa bentuk masjid juga bumbung masjid.

    Namun sepanjang ia dipertingkat, kedua-dua masjid kekal beroperasi seperti biasa.

    Kos keseluruhan kerja-kerja peningkatan kepada ketiga-tiga masjid melebihi S$977,000, sebahagian besarnya dibiaya Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF).

    Ketiga-tiga masjid itu merupakan antara sembilan masjid lama dan kecil yang terdapat di Singapura.

     

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Kuota Haji Indonesia Bertambah Lebih 40,000, M’sia Bertambah Sekitar 5,500 Tahun Ini

    Kuota Haji Indonesia Bertambah Lebih 40,000, M’sia Bertambah Sekitar 5,500 Tahun Ini

    Arab Saudi bersetuju memberi kuota haji tambahan kepada Indonesia dengan peningkatan sebanyak lebih 40,000 jemaah haji tahun ini.

    Presiden Joko Widodo dalam satu sidang media khas hari ini (11 Jan) berkata, dengan itu, jumlah bakal jemaah haji Indonesia pada tahun ini ialah sebanyak 221,000 orang berbanding 168,800 tahun sebelumnya.

    Keputusan memberi kuota tambahan itu kata Presiden Jokowi, disampaikan dalam satu perjumpaan khas antara wakil kerajaan Arab Saudi dengan Menteri Agama Indonesia pada minggu lepas.

    INDONESIA DAPAT KUOTA KHAS 10,000

    “Kerajaan Arab Saudi bersetuju untuk mengembalikan kuota sebanyak 211,000 jemaah kepada Indonesia dan kemudiannya memberi kuota khas sebanyak 10,000 lagi tambahan jemaah untuk tahun ini,” kata beliau seperti disiarkan secara langsung dalam berita televisyen tempatan.

    Sejak 2013 kerajaan Arab Saudi memotong hampir separuh kuota jemaah haji Indonesia atas alasan mengurangkan jemaah dari seluruh dunia ekoran kerja-kerja menaik taraf Masjidil Haram di Makkah.

    M’SIA GAGAL DAPATKAN KUOTA BARU 30,000

    Kuota jemaah haji Malaysia pula dikembalikan kepada jumlah asal iaitu 27,800 orang untuk tahun ini, berbanding 22,320 orang sebelum ini.

    Demikian dedah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom semalam (10 Jan).

    Beliau berkata kerajaan Arab Saudi mengembalikan kuota berkenaan selepas menarik balik pengurangan kuota jemaah haji sebanyak 20 peratus yang dikuatkuasakan pada 2013 terhadap jemaah asing.

    “Malaysia mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi kerana mengembalikan kuota asal jemaah haji tersebut,” kata Datuk Seri Jamil.

    Beliau menambah, kerajaan Malaysia memohon kuota 30,000 jemaah tetapi kerajaan Arab Saudi memberi jumlah kuota asal iaitu 27,800 orang.

    Source: beritamediacorp