Tag: kadi

  • 5 Soalan Bersama Ustaz Zahid Zin@Kisah Tok Kadi

    5 Soalan Bersama Ustaz Zahid Zin@Kisah Tok Kadi

    Namanya sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat Melayu/Muslim Singapura. Malah, nama Ustaz Muhammad Zahid Mohd Zin, 33 tahun, semakin melonjak naik sejak drama tempatan, Kisah Tok Kadi, disiarkan di saluran Suria pada bulan Februari lalu.

    Drama yang memaparkan kisah hidup dan kerjaya seorang kadi di Singapura dan diinspirasikan oleh pengalaman sebenar Ustaz Zahid itu mendapat sambutan hangat sehingga dinobatkan sebagai Program Paling Popular pada malam Anugerah Pesta perdana 2017 (1 Apr).

    Ustaz Zahid juga tidak ketinggalan memanfaatkan media sosial bagi mendampingi generasi muda dengan cara yang relevan dan santai. Keinginan beliau untuk berkongsi panduan dan pengalaman dengan pasangan muda mencetuskan idea untuk mewujudkan hashtag #diaritokkadi.

    Dalam segmen ‘5 Soalan Bersama…’ kali ini, wartawan Nurulkhasanah Agost mengajak anda mengenali pemikiran Ustaz Zahid, yang juga CEO Muslim Youth Forum Singapore, tentang soal munakahat ini.

    SOALAN 1

    Khasanah: Sudah berapa lama ustaz menjadi kadi dan berapa ramai pasangan mempelai ustaz nikahkan sejauh ini?

    Ustaz Zahid: Sayalah naib kadi bujang terakhir yang dilantik pada April 2011 (Saya berkahwin pada bulan Disember 2012). Ini adalah kali ke tiga saya dilantik (Setiap penggal adalah selama tiga tahun). Alhamdulillah.

    Sejak dilantik, jumlah pasangan yang saya nikahkan baru mencecah 1,000 lebih, nampak macam banyak tapi kecil sangat kalau nak dibandingkan dengan jumlah pengantin yang dinikahkan para kadi dan naib kadi yang mapan.

    SOALAN 2

    Khasanah: Mengapa Ustaz memilih untuk menjadi kadi dan apa kepuasannya bagi diri Ustaz?

    Ustaz Zahid: Datuk ayah saya ialah seorang kadi. Namanya Kiayi Haji Abdul Halim Karto, dan anak serta menantunya juga seorang Kadi; Kiayi Haji Ahmad bin Hj Abdul Halim dan Kiayi Hj Ahmad Zohri Mutammim.

    Kepuasannya bagi diri saya apabila saya dapat menjadi penyambung tugas mulia ini.

    SOALAN 3

    Khasanah: Apakah pengalaman paling manis yang pernah Ustaz lalui sepanjang menjadi Tok Kadi?

    Ustaz Zahid: Pasangan pertama yang saya nikahkan merupakan salah seorang teman baik sendiri. Rasa terharu apabila diberikan tanggungjawab tersebut dan berterima kasih kerana mereka mempercayai saya.

    SOALAN 4

    Khasanah: Ustaz semakin dikenali selepas drama Kisah Tok Kadi yang mendapat inspirasi dari perjalanan kerjaya ustaz sebagai kadi. Apakah mesej yang Ustaz harap masyarakat dapat perolehi dari drama itu?

    Ustaz Zahid: Mesej utama adalah supaya pasangan menjadi matang lebih-lebih lagi dalam isu pra-perkahwinan. Kebanyakkan huraian yang diketengahkan dalam drama tersebut menerapkan jalan keluar menerusi nilai murni dan akhlaq mulia.

    SOALAN 5

    Khasanah: Apakah nasihat penting yang sering Ustaz berikan kepada pasangan yang bakal berumahtangga dan mengapa?

    Ustaz Zahid: Bersabar dan belajar. Bersabar kerana banyak perkara yang mencabar akan muncul dalam kehidupan rumahtangga. Belajar kerana dengan ilmu kita akan berjumpa dengan huraian masalah tersebut.

     

    Rilek1Corner

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Ustaz Sallim Jasman Sudah Keluar Hospital, Rehat Sebulan Dari Kuliah

    Ustaz Sallim Jasman Sudah Keluar Hospital, Rehat Sebulan Dari Kuliah

    BERITAMediacorp: Pendakwah veteran yang juga seorang kadi terkenal, Ustaz Sallim Jasman, sudah dibenarkan keluar dari hospital, dan kini perlu berehat selama sebulan daripada tugas-tugas seperti menjalankan kuliah.

    Ustaz Sallim, yang mengalami masalah injap (valve) jantung, menjalani pembedahan memasukkan alat perentak jantung ketika dirawat selama lima hari di Hospital Besar Singapura (SGH).

    Demikian dedah anak beliau, iaitu Ustaz Muhammad Ma’az Sallim, semasa dihubungi BERITAMediacorp bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai keadaan Ustaz Sallim, yang keluar hospital kelmarin (4 Jan).

    Ustaz Sallim, yang kini berusia awal 70-an tahun, dimasukkan ke SGH pada Sabtu lalu (31 Dis) setelah beliau mengalami lemah-lemah badan.

    (Gambar: Masjid Al-Iman/ Facebook)

    MASIH RAJIN MENGAJAR, NIKAHKAN ORANG WALAU KURANG SIHAT

    Ustaz Ma’az berkata, keluarganya menasihatkan ayahnya itu untuk menjalani pemeriksaan di hospital, setelah melihat keadaan kesihatannya itu tidak begitu baik.

    “Beliau mengalami masalah jantung yang lemah sebelum ini. Dan akhir-akhir ini, beliau aktif mengajar di kuliah-kuliah dan baru pulang dari umrah. Di samping itu, beliau juga masih menikahkan sehingga lebih 10 orang dalam seminggu,” kongsi Ustaz Ma’az.

    Disebabkan lemah jantung, Ustaz Sallim “harus memasang alat perentak jantung bagi menangani keadaan jantungnya itu,” jelas Ustaz Ma’az lagi yang juga mengikut jejak langkah ayahnya dengan menjadi naib kadi, selain memikul tugas selaku Imam Eksekutif Masjid Al-Taqua.

    (Gambar: Muhammad Salihin Sulaiman Jeem/ Facebook)

    Menyusuli pembedahan tersebut, Ustaz Sallim dinasihatkan oleh pihak hospital supaya banyak berehat, tambah beliau. BERITAMediacorp diberitahu, tiada pasangan yang dijadual bernikah yang terjejas dengan gangguan kesihatan Ustaz Sallim itu.

    KELUARGA MOHON MASYARAKAT DOAKAN KESIHATAN USTAZ SALLIM

    Ustaz Sallim Jasman, pernah menjadi Presiden Kanan Mahkamah Syariah dan bersara pada tahun 2006 setelah sekitar 40 tahun berkhidmat di mahkamah tersebut. Beliau kini terus aktif mengajar, antaranya di Masjid Darul Ghufran, Masjid Al-Iman, dan Masjid Assyafaah.

    Seorang yang peramah dan rajin tersenyum, perkataan ‘bersara’ nampaknya juga tiada dalam kamus Ustaz Sallim, dan merupakan antara golongan asatizah perintis Singapura sejak negara ini mencapai kemerdekaan.

    Beliau lulusan Diploma Pendidikan dari Kolej Islam Malaya. Di tengah-tengah negara berdepan dengan isu pengganasan, Ustaz Sallim juga berkhidmat sebagai salah seorang daripada kaunselor Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).

    “Kami mohon doa daripada semua agar beliau diberi kesihatan dan sokongan supaya dapat terus berbakti dan memberikan sumbangan kepada masyarakat Islam,” pinta Ustaz Ma’az menerusi BERITAMediacorp.

    Source: http://berita.mediacorp.sg