Tag: kejayaan

  • Pelumba Petronas Raceline Malaysia Hafizh Syahrin Abdullah Duduki Tempat Ketiga Di GP San Marino

    Pelumba Petronas Raceline Malaysia Hafizh Syahrin Abdullah Duduki Tempat Ketiga Di GP San Marino

    Pelumba Moto2 dari Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah mempamerkan tunggangan cemerlang pada Ahad (10 Sep) dengan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dalam kategori Moto2 dalam Grand Prix San Marino di litar Misano, Itali.

    Pelumba Petronas Raceline Malaysia berusia 23 tahun itu mencatat masa 51 minit:47.584 saat dalam perlumbaan 26 pusingan dengan keadaan litar yang basah.

    Dua pelumba Switzerland, Dominique Aegerter daripada Kiefer Racing memenangi tempat pertama kategori itu dengan masa 51 minit:39.709 dan Thomas Luthi daripada CarXpert Interwetten, di tempat kedua dengan perbezaan masa 1.400 saat.

    Seorang lagi pelumba Malaysia, Khairul Idham Pawi daripada Idemitsu Honda Team Asia mencatatkan keputusan terbaiknya musim ini di tempat kesembilan daripada 16 pelumba selepas ketinggalan 1 minit:01.495 saat di belakang Aegeter.

    Dalam pada itu, Hafizh Syahrin bersyukur dengan kejayaannya meraih kedudukan podium buat kali kedua selepas kali terakhir meraih tempat ketiga pada 2012 di Litar Antarabangsa Sepang.

    “Syukur ke hadrat Allah SWT di atas kejayaan ini. Terima kasih kepada kru teknikal yang bekerja keras pada minggu ini dan saya bawa kejayaan Malaysia muncul juara keseluruhan Sukan SEA 2017, baru-baru ini ke dalam perlumbaan.

    Saya buktikan saya mampu meraih kejayaan seperti atlit negara yang lain. Terima kasih kepada keluarga, peminat dan kawan-kawan saya serta pengurus saya yang banyak memberi sokongan kepada saya selama ini,” kata anak jati Selangor itu kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp.

    Kejayaannya semalam (10 Sep) membolehkan Hafizh Syahrin mengutip 16 mata untuk berada di tangga ke-10 keseluruhan dalam kategori Moto2 dengan kutipan 66 mata selepas 13 pusingan perlumbaan musim ini.

     

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Datuk Dan Suami Pendorong Nur Farah Atiqah Jadi Askar

    Datuk Dan Suami Pendorong Nur Farah Atiqah Jadi Askar

    Melihat gambar arwah datuknya kelihatan segak mengenakan seragam nombor satu mencetus keinginannya menjejak langkah berkhidmat kepada negara.

    Pada masa itu, beliau masih di sekolah menengah tetapi memutuskan mahu menyertai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan mengenakan seragam serupa apabila dewasa nanti.

    Kini, Sarjan Ketiga (3SG) Nur Farah Atiqah Mohamad Ah Halim, 26 tahun, berjaya membuat impiannya menjadi kenyataan setelah melalui Kursus Kadet Spesialis (SCC) selama 22 minggu.

    Lebih daripada berpeluang memakai seragam segak, pegawai tetap SAF itu mahu berkhidmat kepada negara bagi membawa perbezaan kepada kehidupan orang lain.

    “Setelah tamat sekolah, saya mencari kerja lain dan tidak teringat impian saya menyertai SAF.

    “Hanya setelah suami saya, yang juga pegawai tetap SAF, mengongsi pengalaman mengenai latihan dan tugasnya, keinginan menyertai SAF bangkit semula.

    “Pada mulanya keluarga saya tidak begitu ghairah mengenai keputusan saya menyertai SAF.

    “Mereka khuatir, sebagai wanita, bagaimana saya dapat mengimbangi tanggungjawab keluarga dengan latihan,” kata anak ketiga dalam keluarga empat beradik itu.

    Namun, keinginan menceburi kerjaya mencabar mendorong 3SG Nur Farah meneruskan niat sehingga keluarganya akhirnya memberi sokongan penuh.

    Berkat azamnya, beliau dianugerahi Bayonet Perak – anugerah kedua paling berprestij diberi semasa majlis tamat perbarisan bagi 1,134 kadet spesialis SAF baru-baru ini.

    Perbarisan Tamat Kursus Kadet Spesialis (SCGP) yang ke-32 itu diadakan di Kem Pasir Laba.

    Hadir sebagai pegawai reviu ialah Menteri Negara Kanan (Perhubungan dan Penerangan merangkap Pendidikan), Dr Janil Puthucheary.

    Menyingkap latihan yang dijalaninya dalam hutan, 3SG Nur Farah berkata: “Saya dilantik ketua seksyen dan bertanggungjawab memimpin 14 anggota. Memang tidak dinafikan pada mulanya ada tanggapan bahawa sebagai wanita, saya tidak mahir memberi arahan jalan atau tidak setanding kadet lelaki lain dari segi jasmani.

    “Namun, saya tidak putus asa. Secara keseluruhan, terdapat enam kadet wanita, termasuk saya, dan kami terus memberi semangat kepada satu sama lain.”

    Mengongsi motivasinya menjalani latihan, yang disifatkannya tetap sama tidak kira jantina, 3SG Nur Farah berkata keluarga dan suaminya menjadi pendorong utama.

    “Berdasarkan pengalamannya menjalani Perkhidmatan Negara (NS) bersama SAF dulu, abang saya juga menasihatkan saya agar bersedia dari segi mental dan jasmani.

    “Saya berpuas hati berjaya menjalani kursus ini. Anugerah Bayonet Perak ini sebagai tanda pengiktirafan usaha dan kerja keras saya,” ujar beliau.

     

    Source: http://www.beritaharian.sg