Tag: khinzir

  • Pengesahan JAKIM: Coklat Cadbury Tiada DNA Babi

    Credit: KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI BERKENAAN KEPUTUSAN UJIAN ANALISIS COKLAT SUSU DENGAN KACANG HAZEL DAN COKLAT SUSU DENGAN BUAH BADAM, PRODUK SYARIKAT CADBURY CONFECTIONARY (M) SDN. BHD. OLEH JABATAN KIMIA MALAYSIA (JKM)
    Credit: KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI BERKENAAN KEPUTUSAN UJIAN ANALISIS COKLAT SUSU DENGAN KACANG HAZEL DAN COKLAT SUSU DENGAN BUAH BADAM, PRODUK SYARIKAT CADBURY CONFECTIONARY (M) SDN. BHD. OLEH JABATAN KIMIA MALAYSIA (JKM)

    1. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Jabatan Kimia Malaysia (JKM) kerana telah memberi keutamaan dalam pengujian sampel bagi dua produk coklat cadbury yang menjadi isu nasional berikutan kenyataan akhbar Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 24 Mei 2014 yang lalu.

    2. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 26 Mei 2014 telah mengambil kedua-dua sampel produk terlibat iaitu:

    i. Coklat dengan kacang hazel-Cadbury Dairy Milk Hazelnut dengan nombor kelompok (Batch no) 200813 M01HI2 dan (Batch no) 200813 M01HI2; dan

    ii. Coklat susu dengan buah badam-Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kelompok (Batch No) 221013 N01RI1

    3. Selain itu, JAKIM juga turut mengambil empat (4) produk lain dalam aliran pemprosesan yang sama dan lima (5) jenis bahan mentah yang berpotensi mengandungi unsur haiwan.

    4. Kesemua sampel diambil dari kilang pengeluar produk tersebut yang beralamat di Cadbury Confectionary (M) Sdn. Bhd., Persiaran Raja Muda, Seksyen 16, P.O. Box 7043, 40700 Shah Alam Selangor dan telah dihantar ke JKM pada hari yang sama.

    5. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia pada hari ini (2 Jun 2014) telah menerima keputusan analisis makmal Jabatan Kimia Malaysia ke atas dua sampel produk keluaran Syarikat Cadbury Confectionary (M) Sdn. Bhd. iaitu:

    i. coklat dengan kacang hazel-Cadbury Dairy Milk Hazelnut dengan nombor kelompok (Batch no) 200813 M01HI2 dan (Batch no) 200813 M01HI2; dan

    ii. coklat susu dengan buah badam-Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kelompok (Batch No) 221013 N01RI1

    6. Keputusan analisis makmal adalah seperti berikut:

    i. coklat dengan kacang hazel-Cadbury Dairy Milk Hazelnut dengan nombor kelompok (Batch no) 200813 M01HI2 dan (Batch no) 200813 M01HI2 – DNA BABI TIDAK DIKESAN

    ii. coklat susu dengan buah badam-Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kelompok (Batch No) 221013 N01RI1 – DNA BABI TIDAK DIKESAN

    7. Walau bagaimanapun memandangkan perkara ini melibatkan tanggungjawab dan integriti pihak syarikat, pemeriksaan menyeluruh akan dibuat semula ke atas seluruh rantaian pengeluaran produk syarikat Cadbury Confectionary (M) Sdn Bhd merangkumi bahan mentah, aliran pemprosesan, penyimpanan, peralatan dan lain-lain bagi memastikan syarikat benar-benar mematuhi piawaian pensijilan halal Malaysia.

    8. Laporan pemeriksaan menyeluruh tersebut akan dibentangkan semula dalam Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia sebelum Sijil Pengesahan Halal Malaysia dua produk tersebut dikembalikan.

    9. JAKIM juga akan mengadakan mesyuarat bersama agensi-agensi berkaitan bagi membincangkan strategi pengurusan krisis sekiranya berlaku pengesanan DNA dalam sesuatu produk, oleh makmal mana-mana agensi kerajaan di masa-masa akan datang.

    10. Dalam masa terdekat, Saya juga akan mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Pemandu Halal yang dianggotai oleh pelbagai agensi dan pakar-pakar berkaitan dengan halal bagi membincangkan isu-isu halal secara menyeluruh.

    11. Seterusnya, JAKIM akan merangka program kesedaran pengguna Islam bagi menjelaskan mengenai pensijilan Halal Malaysia dan isu hukum DNA porcine serta kesannya terhadap kepenggunaan.

    Sekian, terima kasih.

    Y.B Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Hj. Baharom (B)
    Menteri di Jabatan Perdana Menteri
    2 Jun 2014

    Sumber: JAKIM, http://www.hmetro.com.my/articles/Sahtiadaunsurbabi/Article?BeritaUtama

     

    EDITOR’S NOTE

    Sesungguhnya, JAKIM ni memang suka kasi orang lemah semangat. Sekejap cakap ada DNA babi, sekarang cakap takde pulak. Suspense betol lah. Terima kasih Sis Jamilah Ismail kerana berkongsi dengan kami di Rilek1Corner.

    letters to R1C

  • Malaysia Kesan DNA Khinzir Dalam Coklat Susu Dengan Kacang Hazel Cadbury

    cadbury4 cadbury3 cadbury2 cadbury1

    KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

    KENYATAAN AKHBAR

    PENGESANAN DNA PORCINE DALAM COKLAT SUSU DENGAN KACANG HAZEL – CADBURY DAIRY MILK

    Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum isu pengesanan DNA khinzir (porcine) dalam produk Coklat Susu dengan Kacang Hazel – Cadbury Dairy Milk yang tersebar luas melalui aplikasi media sosial pada 23 Mei 2014. Di dalam media sosial tersebut telah memaparkan keputusan analisis DNA khinzir (porcine) dikesan di dalam produk Coklat Susu dengan Kacang Hazel – Cadbury Dairy Milk.

    Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 adalah bertujuan untuk melindungi orang awam daripada bahayanya dari segi kesihatan dan penipuan pada penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan dan perkara-perkara berkaitan dengannya.

    Hasil siasatan oleh KKM mendapati tiga (3) sampel coklat Cadbury telah diambil untuk analisis DNA khinzir (porcine) bagi tujuan pemantauan. Keputusan analisis mendapati dua (2) sampel telah dikesan mengandungi DNA khinzir (porcine) iaitu:

    • Coklat Susu dengan Kacang Hazel – Cadbury Dairy Milk Hazelnut dengan nombor kelompok (batch no.) 200813M01H I2 yang bertarikh luput 13 November 2014; dan
    • Coklat Susu dengan Buah Badam – Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kelompok (batch no.) 221013N01R I1 yang bertarikh luput 15 Januari 2015.

    Manakala, satu (1) lagi sampel Coklat Susu – Cadbury Dairy Milk Chocolate tidak dikesan DNA khinzir (porcine).

    Pihak pengeluar iaitu Cadbury Confectionery Malaysia Sdn. Bhd. telah memberi jaminan akan memanggil balik produk-produk yang terbabit dari pasaran dengan serta-merta.

    KKM menasihatkan orang ramai supaya membaca nombor kelompok (batch no.) pada label produk sebelum membeli atau memakannya.

    Sekiranya pengguna mempunyai sebarang persoalan, pengguna boleh mengemukakan kepada KKM melalui laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://fsq.moh.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhq

    DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
    KETUA PENGARAH KESIHATAN
    KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

    24 Mei 2014

     

     

    letters to R1C

     

     

    EDITOR’S NOTE

    Sebaiknya baca label sebelum membeli. Harap maklum.

    READ MORE HALAL RELATED ARTICLES HERE