Tag: Makkah

  • 48 Jemaah Haji Malaysia Meninggal Dunia Di Tanah Suci Setakat Ini

    48 Jemaah Haji Malaysia Meninggal Dunia Di Tanah Suci Setakat Ini

    Lembaga Tabung Haji (TH) berkata setakat hari ini 48 jemaah haji Malaysia disahkan meninggal dunia di tanah suci.

    Anggota Lembaga Pengarah TH Prof Emeritus Dr Abdul Shukor Husin berkata angka itu rendah berbanding 32 orang keseluruhannya tahun lalu, selepas diambil kira pertambahan 10,000 jemaah bagi musim haji kali ini.

    “Pada tahun ini, kita lebih ketat dalam pemeriksaan kesihatan dan setiap doktor diminta untuk benar-benar memastikan tahap kesihatan jemaah sebelum memberikan kelulusan.

    “Jika ada sakit, perkara itu hendaklah dimaklumkan  lebih awal kepada TH dan jika didapati ada doktor yang meluluskan mereka yang tidak sihat, mereka boleh dikesan kerana setiap doktor diberikan nombor pengenalan khusus TH,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi waris Mohd Sufian Resli, 38 tahun, yang meninggal dunia di Makkah pada 6 September lalu akibat jangkitan paru-paru.
     
    Katanya TH akan sedaya upaya menziarah semua waris jemaah haji yang meninggal dunia di tanah suci.

    “Program ziarah ini adalah bagi kami menzahirkan rasa simpati kepada waris dan menyampaikan sedikit sumbangan daripada TH untuk meringankan beban waris selain mahu mengadakan tahlil kepada arwah di rumah mereka. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama pejabat TH setiap negeri,”jelas beliau lagi.

    Dr Abdul Shukor menambah sehingga hari ini, TH selesai menziarahi 17 waris jemaah dan berhasrat ziarah terhadap 31 waris lagi dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

    Beliau  juga berkata penerbangan terakhir  jemaah haji Malaysia  pulang ke tanah air dijadualkan pada 5 Oktober depan.

     

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Sultan Kedah Gesa Bakal Jemaah Haji Berdisiplin; Jangan Jejaskan Imej Negara & Hubungan Dengan Arab Saudi

    Sultan Kedah Gesa Bakal Jemaah Haji Berdisiplin; Jangan Jejaskan Imej Negara & Hubungan Dengan Arab Saudi

    Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah meminta lebih 4,000 bakal jemaah haji dari negeri itu supaya menjaga nama baik negara sepanjang tempoh berada di Tanah Suci.

    Beliau berkata jemaah perlu menjaga adab dan mengelak sebarang perbalahan ketika berada di sana demi menjaga hubungan negara dengan Arab Saudi.

    “Jemaah haji negara diiktiraf sebagai jemaah yang berdisiplin dan sebab itu, patuhillah arahan pihak berkuasa di sana. Jangan terbabit dalam sebarang kegiatan haram ketika di sana.

    “Sekiranya berlaku, ia nanti menjejaskan imej negara dan hubungan dengan negara Arab Saudi,” ujarnya di majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Bakal Jemaah Haji Kedah malam semalam (16 Ogos).

    Seramai 4,564 jemaah haji dari Kedah dan Perlis akan menunaikan rukun Islam kelima itu pada musim haji kali ini.

    Sultan Kedah juga menasihatkan bakal jemaah haji supaya memberikan tumpuan sepenuhnya dalam mengerjakan ibadat tersebut.

    “Beta mengharapkan jemaah haji meningkatkan amal ibadat dan dapat melaksanakan rukun wajib haji serta menjaga akhlak yang baik untuk mendapatkan haji yang mabrur,” katanya sambil meminta mereka menjaga kesihatan kerana cuaca yang panas di Tanah Suci.

    Pada majlis itu, Raja Muda Kedah turut beramah mesra dengan 287 bakal jemaah haji yang akan berlepas terus ke Makkah pada 3.30 pagi tadi melalui Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim.

     

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Gerhana Bulan Separa Kelihatan Di Makkah; Solat Khusuf Didirikan Di Masjidil Haram

    Gerhana Bulan Separa Kelihatan Di Makkah; Solat Khusuf Didirikan Di Masjidil Haram

    Fenomena gerhana bulan separa mula kelihatan di Tanah Suci pada 6.50 petang waktu tempatan Isnin (11.50 malam Isnin waktu Singapura).

    Jemaah yang berada di kawasan Masjidil Haram dan penduduk di sekitar kota suci Makkah dapat menyaksikan fenomena berkenaan dengan jelas selama kira-kira lima jam, dengan kemuncaknya pada 9.21 malam waktu Arab Saudi (2.21 pagi Selasa waktu Singapura).

    Fenomena yang djangka berlaku sekali lagi pada Julai 2019 itu, berakhir pada 11.30 malam (4.30 pagi waktu Singapura)

    Berikutan fenomena itu, solat sunat khusuf (gerhana bulan) diadakan di Masjidil Haram, dan diikuti bacaan khutbah kira-kira 15 minit yang disampaikan imam masjid itu.

    Menurut portal astronomi amatur Malaysia falakonline, gerhana bulan separa berlaku apabila sebahagian daripada cahaya matahari yang jatuh pada permukaan bulan, terlindung oleh jasad bumi.

    Secara amnya, gerhana ini berlaku apabila bumi berada antara matahari dan bulan.

    Walaupun ia nampak seperti sebaris, jika dilihat dari permukaan yang rata, bulan berada sedikit ke atas daripada garisan matahari dan bumi. Ini akan menyebabkan ia tidak akan dilindungi sepenuhnya oleh bayang-bayang bumi.

    Daripada sudut pandangan Islam, berikutan fenomena itu, semua umat Islam disarankan menunaikan  solat sunat khusuf di masjid atau surau berdekatan, bersedekah dan memperbanyakkan doa.

     

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Dalam 3 Minggu Sahaja, 5.7 Juta Jemaah Sudah Tunaikan Ibadah Umrah Ramadan

    Dalam 3 Minggu Sahaja, 5.7 Juta Jemaah Sudah Tunaikan Ibadah Umrah Ramadan

    Seramai 5.7 juta jemaah menunaikan ibadah umrah sejak awal Ramadan dan 5.2 juta daripada mereka sudahpun pulang ke tanah air masing-masing sejauh ini.

    Menurut laporan Saudi Gazette, para jemaah itu datang dan pulang melalui pelbagai laluan keluar udara, darat dan marin. Jabatan Pasport juga sedang meneruskan usahanya untuk menyediakan sumber manusia dan teknologi maju kepada para jemaah.ma

    Lebih 148 kaunter turut dilengkapi dengan teknologi terbaru seperti mesin cap jari dan sofwe pengesan penipuan bagi mengesan para penjahat.

    Leftenan Jeneral Khalid Al-Jiaid, penolong pengarah bagi ehwal haji dan umrah, juga berkata beliau melakukan lawatan pemeriksaan ke atas dewan-dewan umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah.

    Awal dari itu, para jemaah umrah dan pelawat ke Masjidil Haram di Makkah turut menolak dakwaan bahawa mereka dilarang daripada memasuki kawasan tersebut berdasarkan kerakyatan mereka.

    “Kami tidak melalui pengalaman seperti apa yang disebarkan,” kata Encik Rasheed Al-Minsawi, seorang jemaah umrah dari Maghribi, seperti ditukil Saudi Gazette.

    “Itu tidak mungkin berlaku kerana beribu-ribu jemaah dan pelawat memasuki Masjidil Haram melalui pintu-pintunya. Tiada sesiapa yang dilarang masuk berdasarkan kerakyatan mahupun warna kulit,” dedahnya kepada Saudi Gazette.

    “Di Masjidil Haram di Makkah ini, kita semua orang Islam,” kata jemaah umrah warga Turki yang berusia 50 tahun, Encik Ahmet M.

    “Tiada sesiapa yang tanya dari mana asal kita apabila memasuki pintu-pintu Masjidil Haram kerana ia tidak penting. Kita datang dari pelbagai pelusuk dunia, hanya untuk ke satu arah: Rumah Allah.”

     

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Mufti Wilayah & JAKIM Tolak Khidmat Valet Doa Sebagai Mengelirukan Dan Tidak Mengikut Syariat

    Mufti Wilayah & JAKIM Tolak Khidmat Valet Doa Sebagai Mengelirukan Dan Tidak Mengikut Syariat

    Pernahkah anda mendengar tentang ‘Valet Doa’? Secara ringkas, khidmat ini menawarkan khidmat ‘Doa anda, Kami baca, di Makkah’.

    Itulah satu perkhidmatan baru yang ditawarkan di Malaysia oleh seorang warga negara itu menerusi Facebook, yang membahasakan dirinya sebagai Haji Nasrin, atau nama sebenarnya Nasrin Harin, berusia 40 tahun.

    BERITAMediacorp mendapati, harganya bukan murah. Khidmat itu, yang akan bermula bulan depan (Mac) mengenakan bayaran antara RM500 (S$160) hingga RM5,000 (S$1,600) untuk menyampaikan doa pelanggannya di Makkah.

    Namun baru sekitar seminggu Nasrin Harin memperkenalkan dirinya dan membuat promosi khidmat tersebut, dia kini dikritik hebat oleh pihak-pihak berkuasa agama di Malaysia termasuk golongan Mufti.

    JAKIM: JANGAN TERPEDAYA DENGAN TAWARAN VALET DOA

    Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Tan Sri Othman Mustapha menasihatkan umat Islam supaya jangan terpedaya dengan individu atau pertubuhan yang menawarkan pakej khidmat valet doa di Makkah dengan harga tertentu, seperti yang ditularkan di media sosial ketika ini.

    Tan Sri Othman menambah, pakej valet doa itu jelas menunjukkan unsur perniagaan, menjaja serta menggunakan ibadat serta doa untuk tujuan perniagaan yang tidak dibenarkan Islam.

    Malah, Valet Doa dengan berani menjanjikan bahawa doa-doa pelanggan “confirm makbul cepat”.

    Ini dia antara kata-kata promosi yang ditulis Valet Doa di Facebooknya: “Dah bertahun berdoa tapi hajat belum makbul juga?…Valet Doa bantu anda berdoa depan Kaabah – Confirm makbul cepat!!…Bermula Mac 2017.”

    Ini antara jawapan JAKIM kepada Valet Doa itu seperti ditukil agensi berita Bernama: “Adalah sangat tidak wajar doa dijadikan produk atau perkhidmatan komersil kerana ia mempergunakan agama untuk habuan dunia dan mencemarkan kesucian agama Islam. Hak termakbulnya doa adalah milik Allah semata-semata, bukan terletak kepada manusia.”

    Ketua Pengarah JAKIM dalam satu kenyataan hari ini menambah: “Ia tidak boleh diqiyaskan dengan badal haji kerana bukan haji mabrur yang diupahkan tetapi amalan badal haji itu sendiri yang boleh menerima upah.”

    MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN: VALET DOA TIDAK IKUT SYARIAT

    Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, juga nampaknya mahu segera menangani fenomena Valet Doa ini dengan mengeluarkan satu kenyataan hari ini.

    Mufti tersebut menyatakan: “Setelah kami meneliti isu Valet Doa yang disertakan pula dengan pakej-pakej dengan harga yang berbeza seolah-olah mengikut tahap kemustajaban doa, dengan ini kami berpendapat, ia adalah sama sekali tidak menepati Islam yang sebenarnya, dan tidak mengikut syariat.”

    Mufti Wilayah Persekutuan itu, menerusi laman rasmi pejabatnya menambah, penamaan pakej-pakej seperti Pakej Raja Salman dan Pakej VIP adalah “sangat tidak berakhlak dan mengelirukan”.

    JAKIM juga menyatakan, tidak wajar mana-mana individu menjamin doanya termasuk doa untuk orang lain akan dimakbulkan Allah.

    PENGASAS VALET DOA MAHU TERUSKAN KHIDMAT WALAU DIHENTAM

    Dalam tulisannya di Facebook, pengasas Valet Doa, Nasrin Harin mengakui dia “bukanlah Ustaz, jauh sekali alim. Apatah lagi ulamak”.

    (Gambar-gambar: Valet Doa/ Facebook)

    Di laman Facebooknya, Valet Doa juga banyak dihentam kerana konsep tersebut diragui ramai netizen.

    Namun, semasa diwawancara oleh laman MalaysiaKini, Encik Nasrin Harin berkata dia akan tetap meneruskan perkhidmatannya itu.

    Diminta mengulas tulisan Mufti Wilayah Persekutuan yang menolak Valet Doa, Encik Nasrin Harin menjawab, “kami ada dalil masing-masing”.

    Source: http://berita.mediacorp.sg