Tag: Melayu

  • Norshahril Saat: Tingkatkan Takrif Kesederhanaan Ke Paras Lebih Tinggi Lagi

    Norshahril Saat: Tingkatkan Takrif Kesederhanaan Ke Paras Lebih Tinggi Lagi

    Siapakah sebenarnya seorang Muslim sederhana? Menolak pengganasan atau pun sekadar menghormati orang lain dengan memberikan ucapan selamat tidak cukup untuk menunjukkan sikap sederhana. Menurut Dr Norsharil Saat, masyarakat Islam perlu pergi lebih jauh lagi dengan benar-benar menyerap nilai-nilai sejagat yang diajarkan Islam sebelum kita boleh menggelarkan diri kita Muslim sederhana.

    MASYARAKAT Melayu/Islam yang menetap di rantau ini sering dilihat sebagai satu kelompok yang mengamalkan Islam secara sederhana. Walaupun mereka kuat beragama, mereka masih memberi ruang terhadap budaya lokal.

    Orientasi kesederhanaan sedemikian mungkin natijah daripada cara Islam disebarkan ke rantau Asia Tenggara. Salah satu golongan yang memainkan peranan penting dalam penyebaran Islam di sini adalah golongan Sufi dan pedagang.

    Islam tidak disebarkan dengan cara paksa. Sebaliknya, kumpulan yang membawa Islam ke sini menitikberatkan soal akhlak selain soal ketuhanan. Mereka juga memberi masyarakat tempatan waktu untuk mengubah cara mereka berdagang, berkeluarga, bekerja, mengamalkan budaya atau adat istiadat, dalam masa yang sama mengaku sebagai seorang Muslim.

    Disebabkan peranan yang dimainkan oleh ulama-ulama terdahulu, banyak sekali aspek budaya yang masih kekal hingga ke hari ini, dan ia tidak dilihat sebagai bercanggah dengan nilai-nilai Islam. Misalnya, adat bersanding dalam majlis perkahwinan masih dikekalkan walaupun ia bukan berasal daripada Islam. Begitu juga dengan diet orang-orang Melayu, tarian Melayu, dan muzik Melayu; semuanya dikekalkan dan dianggap sebati dengan ajaran Islam.

    Tambahan lagi, kesederhanaan dinilai dari aspek masyarakat Islam yang tidak canggung bergaul dengan masyarakat bukan Islam. Prinsip ini diterapkan dalam perlembagaan negara-negara jiran kita yang majoriti Muslim.

    Perlembangaan Indonesia dan Malaysia menggaris-bawahi aspek menghormati hak-hak bukan Islam atau golongan minoriti. Ini adalah contoh bahawa pendiri-pendiri negara-negara tersebut percaya pada nilai Islam dan menghormati perbezaan.

    Merenung pada pengalaman peribadi saya sebagai seorang yang lahir pada awal 80an, dan belajar di sebuah sekolah kejiranan, saya tidak ada masalah bergaul dengan rakan-rakan sedarjah yang bukan Islam.

    Malah kita melakukan kegiatan riadah bersama, makan bersama di kantin sekolah, dan menurut serta dalam kegiatan luar darjah bersama-sama. Saya masih ingat apabila muncul musim-musim perayaan, seperti Hari Raya Puasa, Tahun Baru Cina, Krismas, atau Deepavali, pengetua sekolah kami akan menyuruh setiap pelajar untuk memberikan ucapan selamat kepada pelajar-pelajar yang lain.

    MRT bertema Krismas. (Gambar: Ernest Chua, TODAY)

    Tidak timbul pada masa itu bahawa saya seorang yang mengamalkan Islam sederhana kerana memberi ucapan tersebut, kerana itu adalah nilai universal yang dianjurkan bukan sahaja oleh agama Islam, tetapi agama-agama lain juga.

    Namun, gelaran “moderat” atau “ekstrim” dinilai dari ukuran yang berbeza hari ini. Semasa di zaman sekolah, persoalan sama ada saya boleh mengucapkan “Merry Christmas”’ kepada rakan-rakan beragama Kristian tidak timbul.

    Masyarakat Islam kita secara umumnya juga tidak meminta sebarang fatwa atau pandangan orang alim sebelum mengucapkannya. Tiada keraguan sama-sekali bahawa ucapan tersebut boleh menyebabkan saya kurang Islam.

    KONSISTEN DALAM PEMIKIRAN

    Bagi saya, hal yang lebih meruncing dalam mengamalkan Islam sederhana adalah bersikap konsisten dalam pendirian. Sikap konsisten ini perlu dinilai dari sudut pandangan terhadap dunia.

    Sebagai contoh, umat Islam tentu marah dengan sikap Presiden Amerika, Donald Trump, yang berbaur perkauman dan Islamofobik. Mereka marah dengan sekatan kemasukan imigran dari tujuh buah negara Islam.

    Kita mahu Presiden Amerika itu bersikap sederhana terhadap Muslim. Namun, apakah sikap kita terhadap pemimpin negara-negara Islam yang menghambur bibit-bibit permusuhan terhadap orang bukan Islam? Kita harus jujur tentang kelemahan pemimpin-pemimpin Islam yang bertindak di luar landasan Islam.

    Dalam masa yang sama, kita perlu muhasabah diri dalam memerhatikan tindakan kita terhadap golongan yang berbeza pandangan daripada kita. Sebagai contoh, kita seringkali mengecam golongan yang tidak berfahaman Ahlus Sunnah Wal Jamaah (Sunni) dan terus mengatakan mereka kafir.

    Begitu juga dalam pertembungan Sufi dan Wahhabi, bila mana kedua-dua golongan sering mengatakan pendirian mereka sahaja yang betul.

    Tetapi sejauh mana masyarakat kita didedahkan dengan Deklarasi Amman, di mana tokoh-tokoh Islam terkemuka dunia bersetuju bahawa banyak sekali fahaman, Sunni, Sufi, Wahhabi, dan beberapa golongan Syiah adalah termasuk dalam golongan Islam? Seorang yang berjiwa sederhana harus berani menyatakan pendirian yang benar walaupun ia ia boleh menjejas populariti sendiri atau dikecam sebagai salah.

    (Gambar hiasan: AFP/MOHD FYROL)

    CIRI-CIRI SEDERHANA

    Di sini saya menyeru masyarakat kita agar menaikkan takrifan sederhana ke satu aras yang lebih tinggi. Isu seperti bolehkah kita memberi salam kepada penganut agama lain adalah perkara lama, dan saya tidak fikir seorang boleh digelar sederhana hanya dengan membolehkannya. Ia dibolehkan oleh majoriti ulama di merata dunia.

    Contoh yang kedua, seseorang tidak boleh digelar moderat hanya dengan mengutuk keganasan. Kutukan terhadap keganasan bukanlah ukuran bahawa seseorang berjiwa sederhana. Isu keganasan adalah isu yang jelas keluar daripada agama, bukan hanya bagi penganut agama Islam, tetapi agama-agama lain juga.

    Dalam erti kata lain, terorisme adalah masalah universal. Yang harus diberikan perhatian adalah sama ada golongan yang mengutuk terorisme ini berlaku adil terhadap masyarakat minoriti yang berbeza pandangan daripada.

    Yang lebih mendukacitakan sekali, kita hanya bersuara apabila sesuatu hal menjejas masyarakat kita atau kelompok kita, tetapi membisu apabila nilai-nilai kemanusiaan dicantas terhadap masyarakat lain.

    Kesederhanaan, pada hemat saya, adalah seorang yang benar-benar menyerap nilai-nilai universal yang diajarkan dalam agama. Ini termasuk prinsip keadilan, kejujuran, dan kemanusiaan.

    Sebelum kita menggelar agama kita sebagai sebuah agama rahmat untuk seluruh alam, kita perlu mengambil masa untuk fikirkan sejauh masa kita mendekati golongan berfahaman lain. Kalau masih ada bibit-bibit kebencian yang ditanamkan terhadap golongan minoriti—dari sudut agama, fahaman, dan gender — seseorang itu masih belum boleh bergelar moderat.


    MENGENAI PENULIS:
    Seorang pakar dan pengamat politik Asia Tenggara, Dr Norshahril Saat adalah Zamil di ISEAS – Institut Yusof Ishak.

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Kisah Menarik Dua Gerai Melayu Rancakkan ‘Bazar Raya’ Tahun Baru Cina

    Kisah Menarik Dua Gerai Melayu Rancakkan ‘Bazar Raya’ Tahun Baru Cina

    Siapa kata anda tidak boleh membeli makanan halal sambil menikmati suasana perayaan Tahun Baru Cina di Chinatown? Dan siapa kata anda tidak boleh mendapatkan kuih dan kek tradisional Melayu dan sebagainya di ‘bazar raya’ Tahun Baru Cina?

    Itulah yang ditawarkan dua kedai anak Melayu, bernama Ovenly Sweet dan Word, di bazar-bazar sedemikian sempena Tahun Baru Cina yang bakal menjelang.

    BERITAMediacorp meninjau-ninjau keunikan berniaga di pasar malam Tahun Baru Cina yang terletak di Temple Street di kawasan Chinatown dan juga menyelam pengalaman anak Melayu yang menyewa sebuah kedai sementara bagi Tahun Baru Cina di pusat beli-belah Bedok Mall.

    WORD – SATU-SATUNYA KEDAI MUSLIM TEMPATAN DI CHINATOWN

    Kedai Word memang dikenali dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam tempatan. Bukan setakat memiliki sebuah kafe di kawasan Upper Thomson, Word juga pernah menyertai pasar malam-pasar malam tempatan seperti bazar Hari Raya di Geylang Serai.

    Namun bagi pasar malam di Chinatown, ia adalah pengalaman pertama Word terjun berniaga dalam pasaran Cina. Cik Toni Lee Anwar Ali, 37 tahun, dari Word berkata tujuan Word membuka kedai di pasar malam berkenaan adalah untuk mencuba nasib di pasaran yang berbeza. Jadi, beliau menganggap pasar malam Chinatown tahun ini sebagai masa dan platform yang terbaik untuk melakukannya.

    Antara hidangan menarik Word. (Gambar: Facebook/ Word)

    Terkenal dengan hidangan ringan seperti ‘bagel’ pelangi dan minuman yang berwarna-warni, Word menyatakan ia tidak membuat sebarang penukaran kepada hidangan yang ditawarkan di Chinatown. Makanan-makanan dan minuman-minuman yang unik itu adalah bagi menarik golongan belia yang mengunjungi pasar malam tersebut.

    YOUTHEATS@TEMPLE STREET

    Matlamat yang disasarkan Word sesuai sekali dengan pasar malam di Temple Street. Ini kerana BERITAMediacorp difahamkan buat julung-julung kalinya pasar malam anjuran Jawatankuasa Perundingan Rakyat Kreta Ayer-Kim Seng (KA-KS CCC) itu memperuntukkan satu bahagian khas di pasar malam tersebut buat para usahawan muda.

    Diberi nama YouthEats@Temple Street, KA-KS CCC menyatakan, tahun ini pihaknya mengkhususkan tempat bagi para usahawan muda menawarkan pelbagai makanan perayaan dan makanan yang unik. Ia berlangsung dari 6 hingga 27 Januari.

    Itulah yang dimanfaatkan Word bagi memperkenalkan makanan jualannya dan menempa nama dalam pasaran yang berbeza daripada yang pernah ia sertai sebelum ini.

    PERBEZAAN PELANGGAN MELAYU DENGAN CINA

    Cik Toni memberitahu BERITAMediacorp walaupun hidangan yang ditawarkan Word tidak berbeza daripada pasar malam di Geylang dahulu, cabaran utama yang dialami beliau adalah tujuan para pelanggan yang berkunjung ke Chinatown.

    “Jika pasar malam di Geylang, para pelanggan, lebih-lebih lagi orang Melayu, mereka memberi tumpuan untuk membeli makanan. Tetapi di sini, para pelanggan lebih tertumpu untuk membeli persiapan Tahun Baru Cina,” jelas Cik Toni kepada BERITAMediacorp.

    Jadi, ini juga bermakna, bukan ‘beli sini makan sini’.

    BUAT KAJIAN DAHULU SEBELUM INI

    Botol kuih Ovenly Sweet yang siap dengan hiasan perayaan Tahun Baru Cina. (Gambar: Facebook/ Ovenly Sweet)

    Bagi Pengurus Operasi Ovenly Sweet Fakhrul Arifin, pengalaman bergaul dengan kawan berbangsa Cina membantu beliau membuka kedai sementara di pusat beli-belah Bedok Mall. Beliau yang juga boleh bertutur dalam bahasa Mandarin dan Hokkien memberitahu BERITAMediacorp bahawa pengalaman itu membuat beliau mengenali budaya pelanggan yang disasarkan Ovenly Sweet.

    “Saya belajar daripada para pelanggan saya tentang citarasa mereka dan selepas itu, saya memberitahu dan memberikan idea-idea kepada isteri dan ibu mertua saya yang merupakan pembuat kuih muih Ovenly Sweet,” ujar beliau yang berusia 37 tahun.

    Encik Fakhrul dan isterinya, serta pemilik Ovenly Sweet, Cik Juliana, 36 tahun, mendapati beberapa perubahan kepada kuih yang dijual juga perlu dilakukan bagi mengikut citarasa para pelanggan mereka yang lebih 90 peratus terdiri daripada kaum Cina.

    “Kami tidak tertumpu kepada kuih muih yang terlalu manis seperti Tapak Kuda dan Nutella Tart yang lazimnya menjadi tempahan utama kami semasa perayaan Hari Raya,” tambah beliau.

    Encik Arifin sempat berkongsi kepada BERITAMediacorp, bahawa cara operasi beliau juga harus menjalani beberapa perubahan. Ini kerana para pelanggan beliau semasa musim perayaan Tahun Baru Cina mahukan rasa yang segar dan ‘baru dibuat sendiri’.

    Jika semasa musim perayaan Hari Raya, para pelanggan tidak kisah membelinya lebih awal sebelum perayaan bermula. Perkara itu berbeza sekali bagi perniagaan untuk bazar Tahun Baru Cina. Menurut Encik Arifin, para pelanggan beliau akan membayar deposit sahaja dan hanya mahu mengambil kuih muih itu beberapa hari sebelum hari perayaan.

    PELANGGAN CINA SUKA LIDAH KUCING, LEBIH NENAS PADA KUIH TART KERANA ADA ‘ONG’

    Pasti ramai tertanya lakukah penjualan kuih muih Melayu semasa perayaan Tahun Baru Cina. Encik Arifin berkata: “Yang saya dan isteri terkejut, kuih lidah kucing kami yang paling laku dijual sehinggakan sudah habis bekalan kami.

    Antara kuih yang dijual Ovenly Sweet semasa perayaan Tahun Baru Cina. (Gambar: Facebook/ Ovenly Sweet)

    “Pelanggan saya memberitahu saya ‘Wah sangat warna-warni! Saya suka! Moga-moga ia membawa keceriaan kepada rumah dan keluarga saya semasa perayaan itu nanti.’”

    Jika rasa kuih itu penting bagi masyarakat kita apabila mahu membeli kuih muih semasa perayaan Hari Raya, bagi para pelanggan Cina makna-makna kuih itu lebih menjadi perkara utama yang harus dipertimbangkan.

    “Walaupun pelik tetapi benar. Mereka lebih suka kuih tart yang kelihatan keemas-emasan dan bukan yang gelap. Inti nenas pula harus berlebihan pada tart. Ini kerana nenas dalam bahasa mereka bermakna ‘mendatangkan kemewahan’ atau ada ‘ong’ (rezeki). Jadi mereka mahukan kuih tart sebegitu. Baru-baru apabila saya jual, saya rasa pelik juga,” seloroh Encik Arifin kepada BERITAMediacorp.

    Walau apa-apapun pelibatan Word dan Ovenly Sweet dalam perayaan Tahun Baru Cina membuktikan kepada kita bahawa ada peluang untuk kita sama-sama menikmati suasana meriah sambutan Tahun Baru Cina. Bak kata pepatah, ‘tak kenal maka tak cinta’.

    Source: BeritaMediacorp

  • KOMENTAR: 30 Saat Yang Memperlihatkan Wajah Sebenar Kita! Fikirlah

    KOMENTAR: 30 Saat Yang Memperlihatkan Wajah Sebenar Kita! Fikirlah

    Baru-baru ini pemain bola sepak Malaysia, Faiz Subri mencatat sejarah bagi negaranya apabila beliau merangkul Anugerah Puskas bagi gol tercantik FIFA untuk tahun 2016. Namun, anugerah breprestij itu nampaknya disambut bercampur-campur oleh Faiz Subri, yang disaat menerima kemenangan, juga mengalami ujian yang dahsyat. Di saat Faiz di puncak kejayaanlah, kutukan terbesar diterima.


    Dari soal baju yang dipakainya, sehinggalah kepada bahasa Inggeris yang dituturkannya semasa menerima Anugerah Puskas.

    Wartawan Bernama, Ali Imran Mohd Noordin mempersoalkan dan mengupas kesantunan orang Malaysia dalam artikel Komentar tulisan beliau ini, yang mahu pembaca negaranya “Tanya balik diri sendiri, bagus sangatkah kita?”.

    Kekurangan Faiz Subri itulah menampakkan wajah sebenar kita.
    Sejak saat Faiz menjaringkan gol menentang Pahang awal tahun lalu, ada semacam asbab baharu untuk rakyat Malaysia bersatu.

    Daripada saat desakan di media sosial supaya FAM hantar pencalonan untuk Anugerah Puskas, kemudian dolak-dalik FAM jawab itu ini dilawan balik oleh rakyat, akhirnya FAM meneruskan dengan urusan menghantar penyertaan.

    Buat peminat bola sepak negara, itu adalah kemenangan yang pertama. Sesudah dicalonkan, kisah Faiz Subri senyap seketika. Pasukan Pulau Pinang menamatkan saingan dengan keputusan yang ala kadar sahaja.

    Buat sementara nama Faiz lekang daripada bualan peminat bola sepak negara.

    Kejayaan JDT memenangi Liga Super buat kali ketiga dan hebatnya Tan Cheng Hoe serta anak-anak buahnya memenangi Piala Malaysia menjadi tumpuan kita.

    Tidak lama selepas itu, negara diberitahu bahawa undian sudah dibuka, kebetulan pada masa sama pelawak sensasi Harith Iskander juga memerlukan sokongan rakyat Malaysia untuk pertandingan manusia paling lucu di dunia yang disertainya.

    Tanpa berdalih kita kerja tanpa disuruh. Dengan kekuatan sebahagian besar daripada 20.1 juta, pengguna internet berganding bahu. Ada yang berkempen dengan pelbagai cara kempennya.

    Bagi yang mengundi pula pukul canang beritahu sudah mengundi dan mengajak orang lain pun turut serta.

    Di mana sahaja kita dapat melihat kempen yang begitu gigih kita kerjakan secara bersama. Di Facebook, Instagram, Twitter, bahkan dalam grup Whatsapp surau dan masjid pun ada yang kempen juga!

    Ia seakan sebuah pesta yang kita sama-sama raikan dan sama-sama nikmati. Ia adalah satu saat yang indah buat kesatuan bangsa di negara ini.

    Kerja keras ini membuahkan hasil. Faiz tersenarai antara tiga penerima undi tertinggi. Sekali lagi rakyat Malaysia berpadu tenaga untuk memastikan Faiz menjulang kemenangan!

    Kempen kembali dibuat. Kali ini memang tekan minyak sepenuhnya. Bak kata orang putih, “It is now or never!”

    Modal yang diguna dalam mesej yang diterima penulis menggunakan sentimen emosi ‘Faiz kini di tangga ketiga, ini mungkin kali pertama dan terakhir pemain Malaysia berpeluang menang anugerah FIFA’. Ternyata strategi ini menjadi.

    Sampai saat akhir pada 9 Jan, masih ada yang berkempen. Di jam-jam terakhir sebelum undian tutup, pelbagai ruangan sukan dan bola sepak merayu undi rakyat Malaysia melalui Facebook, Twitter dan Instagram.

    Ya, memang ada undian orang dari negara lain tetapi apa yang ditekankan di sini, sebagai rakyat negara ini kita nampak kepentingan untuk menaikkan nama negara di persada dunia.

    Malangnya, sudah menjadi lumrah mana-mana perjuangan, di saat hampir sangat ke kemenangan itulah terjadinya ujian yang dahsyat.

    Dimulakan dengan pakaian Faiz dijadikan isu. Baju Melayu yang mana nak

    dipakai, mana yang lebih sesuai?

    Terjadilah peperangan di Facebook. Yang sokong Baju Melayu dengan hujahnya,

    yang pro keris pula ada jusitifikasi sendiri, yang tak kisah baju apa pun mahu juga bersuara.

    Akhirnya Faiz memilih berpakaian formal ala barat, sekali lagi beliau menjadi sasaran sindiran netizen. Tambahan pula seorang daripada pengacara majlis pakai baju yang menampakkan bahu, bertambah-tambah lagi kritikan dilemparkan terhadap Faiz.

    Sekali lagi ada yang mengutuk dan ada juga yang mempertahankan. Namun kisah ini belum berakhir.

    Di saat beliau diumumkan sebagai juara. Seluruh negara semua bersorak gembira. Faiz berjalan gagah ke pentas untuk terima plak kemenangan daripada legenda Brazil, Ronaldo.

    Bukan sedikit antara kita yang berjaga malam untuk menonton majlis ini secara langsung. Apabila keputusan diumumkan, masing-masing mengurut dada tanda bangga.

    Datang satu lagi ujian. Di saat Faiz di puncak kejayaanlah, kutukan terbesar diterima.

    Dalam masa tak sampai 30 saat daripada pengumuman yang mana kita semua berlinang air mata tadi, kegagalan beliau menghidupkan telefon, membuka teks ucapan dan menyampaikan ucapan dalam Bahasa Inggeris yang fasih dijadikan asas baharu serangan terhadapnya.

    “Kenapa letak ucapan dalam telefon?”

    “Kenapa tak cakap Melayu sahaja?”

    “Malulah cakap Inggeris tergagap-gagap”

    “This is not the reflection of real Malaysians English standard” (ini tidak
    menunjukkan standard sebenar banasa Inggeris di Malaysia).

    Pelbagai komen dilontar. Bermulalah satu lagi pertandingan kutukan yang sekali lagi menjadikan kita terbahagi kepada yang mengeji dan yang mempertahankan.

    Meminjam kata pengkiritik sukan, Daniyal Kadir, kejayaan Faiz menjaringkan gol itu atas kapasiti kemampuan individu.
    Cuma kali ini sebab dia di sana dan ada perkataan ‘Malaysia’ di kulit passport beliau, rakyat Malaysia seluruhnya merasa punya ‘saham’ dalam proses kemenangan ini.

    Ya, kita memang ada saham untuk menyokong beliau dengan mengundi. Namun itu tidak menjadikan kita sebagai ‘tuan besar’ yang harus dipuaskan hatinya olah Faiz Subri.

    Mudah cerita, rentetan kisah Faiz inilah sebenarnya wajah kita. Orang Malaysia yang acap kali berbangga sebagai bangsa yang santun, berpekerti tinggi, punya kualiti dan bijak serba-serbi.

    Tanya balik diri sendiri, bagus sangatkah kita?

    Tangan kanan kita bekerja keras membangun kejayaan. Dan di saat kejayaan menjelma kita serahkan piala ke tangan kiri yang menukar ia kepada kemusnahan.

    Cuma 30 saat. Itulah sela masa yang diperlukan untuk menjatuhkan kejayaan
    yang gigih dibina kita semua sepanjang tahun 2016.

    (Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian BERNAMA akan apa yang dinyatakan oleh penulis)

    Source: BeritaMediacorp

  • Aku Tak Kenal Siapa Shia

    Aku Tak Kenal Siapa Shia

    I never had a friend who is Shia or anything other than Sunni. I was brought up in Singapore as a normal Muslim child. went to school, had a decent education and made several friends of different ethnicity.

    As i grew older, i had to fill up more forms like the G50, insurance papers or even resume and interview details of myself, and i got to know about my sect. that was when i learnt that i am a sunni. embarrassingly, i was a drop out from religious school back then when i was younger due to certain circumstances so this was something new to me. “Ini kau letak je sunni”, that was what i was told to write by a friend without any hesitation. And i still remembered it till today.

    So out of curiosity i asked him what the other side of sunni was (if there is any) and i was told about Shia. A small community of muslims that are of different teachings from us that we should not really speak of or supposed to know of. It was a surprise to me but i did not pursue the issue any further. Perhaps i would never know anything more anyway.

    I don’t know anything about shia or who are these shias in singapore. some people say that they may be among us and we would not know it. the question now comes down to how can we effectively embrace everyone in Islam, if there are like “closeted” muslims living around us though abiding by the same religion Islam? can they come out? Or are they not supposed to come out?

     

    Teh O

    Reader’s Contribution

  • POPULAR Perkenal Buku Melayu Di 7 Cawangan Tahun Depan

    POPULAR Perkenal Buku Melayu Di 7 Cawangan Tahun Depan

    Selepas lebih 90 tahun dalam industri penjualan buku-buku Cina dan kemudiannya Inggeris, kedai buku POPULAR kini mahu membuat kehadiran lebih ketara dalam penjualan buku-buku bahasa Melayu pula.

    Menjelang pertengahan tahun depan, POPULAR akan mengedarkan buku-buku bahasa Melayu di tujuh cawangannya di serata negara.

    Ini bermakna, lagi tiga cawangannya akan menjual buku-buku Melayu iaitu di pusat beli-belah Tampines Mall, Lot 1 dan Northpoint, selain daripada empat cawangan yang sudahpun berbuat demikian tahun ini.

    POPULAR yang juga merupakan gedung menjual alat tulis menyatakan, langkah tersebut merupakan sebagain usaha untuk menggalak kedwibahasaan di kalangan para pembaca.

    Ia kini mempunyai koleksi buku Melayu di empat cawangannya, iaitu One KM Mall, Bedok Mall, Causeway Point dan Jurong Point.

    SUDAH ‘POPULAR’, TAPI MAHU LUASKAN JANGKAUAN PASARAN

    POPULAR sebenarnya hanya mula menawarkan buku berbahasa Melayu lebih dua tahun lalu, menerusi buku masakan Chef Wan.

    Sekarang ini, mempunyai sekitar 700 tajuk buku Melayu merangkumi genre masakan, novel, agama dan kanak-kanak di empat cawangannya di One KM, Bedok Mall, Causeway Point dan Jurong Point.

    Selain menambah cawangan yang mengedarkan buku-buku bahasa Melayu, POPULAR juga akan menambah lebih banyak tajuk buku Melayu, terutama bagi genre masakan dan novel.

    Menurut POPULAR, sambutan yang menggalakkan dari para pembeli Melayu yang mendorong kedai buku itu untuk meluaskan jangkauannya dalam pasaran Melayu.

    JUALAN BUKU MELAYU NAIK 23%

    Tahun ini sahaja, ia menyaksikan peningkatan 23% penjualan buku bahasa Melayu berbanding tahun lalu.

    Perincian itu didedahkan di acara pelancaran POPULAR Bookfest@Singapore pagi tadi yang dirasmikan Menteri Perhubungan dan Penerangan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim.

    Dalam ucapannya Dr Yaacob berharap dengan langkah POPULAR menambah bahan bacaan dalam bahasa Ibunda, lebih ramai pembaca akan memupuk minat membaca buku-buku dalam bahasa Ibunda mereka.

    “Saya juga gembira bahawa memandang ke hadapan, POPULAR akan meluaskan sayapnya dalam sektor buku-buku Melayu. Menerusi usaha sebegini, kami berharap lebih ramai akan meneroka menjangkaui buku-buku bahasa Inggeris dan memupuk minat dalam bahasa Ibunda mereka sendiri. Siapa tahu anda mungkin berminat untuk mempelajari bahasa ketiga dan budayanya.” kata Dr Yaacob.

    Beliau juga mahu menggalak agar lebih banyak penerbit dan kedai buku menyumbang kepada matlamat mewujudkan budaya membaca yang aktif di Singapura.

    POPULAR BOOKFEST 2016 TAWAR AKTIVITI MESRA KELUARGA & PELBAGAI PRODUK

    Tahun ini, acara Bookfest yang merupakan acara buku dan alat tulis terbesar dari segi saiz yakni seluas 130,000 kaki persegi di Suntec Convention Hall menampilkan lebih banyak jenis barangan.

    Ini termasuk produk perkakas elektrik, kanak-kanak dan makanan.

    Buat pertama kalinya juga, POPULAR Bookfest@Singapore menyediakan pelbagai acara untuk dinikmati seisi keluarga termasuk acara memasak.

    Pada acara Bookfest tahun hadapan, POPULAR juga berhasrat untuk menyediakan lebih banyak aktiviti dalam bahasa Melayu termasuk Pertandingan Membaca Secara Kreatif Melayu Kebangsaan.

    Ini merupakan tahun ke-10 acara POPULAR Bookfest@Singapore diadakan.

    Source: Berita MediaCorp