Tag: Melayu

  • RIA 89.7FM Ingin Jadi Lebih Interaktif Sempena Ulang Tahun Ke-26

    RIA 89.7FM Ingin Jadi Lebih Interaktif Sempena Ulang Tahun Ke-26

    Stesen radio tempatan RIA 89.7FM ingin menjadi satu saluran yang lebih interaktif bagi mereka yang berusia dari lingkungan 15 hingga 29 tahun sempena ulang tahun mereka yang ke-26 pada 1 Disember.

    Salah satu daripada usaha mereka adalah untuk lebih melawat sekolah-sekolah agar para pelajar dapat mendekati DJ-DJ dan lebih mempelajari tentang balik tabir dunia penyiaran radio.

    Demikian menurut Pemangku Pengarah Program RIA 89.7FM, Penyiaran Melayu Mediacorp, Aura Shai, selepas acara sambutan ulang tahun itu hari ini.

    Menurut beliau, langkah ini perlu diambil bagi menghadapi cabaran generasi ‘Snapchat’ yang inginkan pencernaan maklumat yang padat.

    Malah, sambutan ulang tahun RIA 89.7FM yang ke-26 kali ini juga penuh bermakna bagi stesen radio tersebut.

    Aura Shai memberitahu BERITAMediacorp: “DJ kami Fiza O baru melahirkan cahaya matanya yang kedua dan Dzar Ismail juga sedang menunaikan ibadah umrah. Kami rapat seperti sebuah keluarga dan sudah mencapai pelbagai kejayaan bersama-sama.”

    “Dan ia juga bermakna kerana kami juga disajikan dengan persembahan-persembahan oleh bakat tempatan yang tentunya dari kumpulan sasaran kami,” tambahnya.

    BUKAN SEKADAR STESEN RADIO

    Acara tertutup yang diadakan di Kaw Kaw Sg itu turut dimeriahkan oleh 90 hadirin, termasuk mantan DJ-DJ RIA, 18 pendengar bertuah dan barisan bakat muda setempat.

    Antara yang membuat persembahan ialah ARUS Band, Didicazli, Haqim Mokhtar, Farhan Shah dan Sunny Jackson.

    Sambutan ulang tahun itu juga diwarnai dengan kehadiran penyanyi terkenal Indonesia, Rossa, selama setengah jam, yang turut menyumbangkan sebuah lagu di acara tersebut.

    “Kami berharap agar kami dapat sentiasa berhubung dengan para pendengar melalui wadah Facebook atau menerusi panggilan. Anggaplah kami seperti keluarga dan bukan sekadar sebuah stesen radio,” kata Aura Shai kepada BERITAMediacorp.

    Sambutan selama dua jam itu juga diakhiri dengan sesi pemotongan kek.

    Acara itu turut dirakam di Facebook Live dan dapat didengar secara langsung melalui stesen RIA 89.7 FM.

    Source: Berita MediaCorp

  • Terengganu – Denda RM3,000 , Penjara Jika Tidak Tunaikan Solat Jumaat

    Terengganu – Denda RM3,000 , Penjara Jika Tidak Tunaikan Solat Jumaat

    Lelaki Muslim yang tidak menunaikan solat Jumaat di Terengganu bakal berdepan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun tidak lama lagi.

    Ia susulan pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah (Takzir) Terengganu 2001 yang disokong sebulat suara oleh para Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menghadiri persidangan dewan hari ini.

    Pindaan Seksyen 16 berkaitan perkara tidak menunaikan solat Jumaat dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri Ghazali Taib.

    Selain pindaan Seksyen 16, beberapa pindaan lain turut dibuat iaitu Seksyen 19 (tidak menghormati Ramadan) dan Seksyen 53 (mengganggu perempuan di tempat awam).

    Ghazali mengemukakan cadangan pindaan itu kerana berpendapat enakmen itu mengangungi peruntukan yang sukar dilaksanakan dan dikuatkuasakan selain hukuman denda agak rendah dan tidak dapat memberi pengajaran serta kesedaran kepada masyarakat.

    Bagi solat Jumaat, sebelum ini enakmen itu menetapkan mana-mana lelaki yang mukallaf yang tidak menunaikan solat Jumaat di masjid tiga kali berturut-turut tanpa uzur syarie atas sebab yang munasabah boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

    Bagi kesalahan tidak menghormati Ramadan termasuk menjual makanan dan minuman kepada orang Islam serta makan secara terbuka, hukuman pindaan itu membabitkan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.

    Sebelum ini, enakmen itu menetapkan jumlah denda sama dan penjara enam bulan sahaja.

    Bagi perbuatan tidak sopan di tempat awam, pindaan itu melibatkan hukuman denda RM1,000 atau penjara dua tahun, berbanding hukuman sebelum ini membabitkan denda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya.

    Seksyen bagi pesalah yang mengganggu perempuan di tempat awam juga melibatkan penambahan hukuman penjara iaitu daripada enam bulan kepada maksimum dua tahun.

    Ketika membentangkan pindaan itu, Ghazali berkata ia dibuat bagi memudahkan kerja pegawai penguat kuasa, pendakwa syarie dan Mahkamah Syariah.

    Katanya pindaan hukuman penjara daripada minimum enam bulan hingga maksimum satu tahun kepada minimum dua tahun hingga maksimum tiga tahun adalah untuk memberi kesedaran dan keinsafan kepada masyarakat.

    “Pindaan ini menunjukkan keprihatinan dan sokongan kerajaan negeri terhadap cadangan pindaan Akta 355 bagi memartabatkan Mahkamah Syariah khususnya di negeri Terengganu,” katanya.

    Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Anggota Parlimen Marang hari ini membawa usul Rang Undang-Undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.

    Ia bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau dikenali Akta 355.

     

    Source: www.malaysiakini.com

  • DJ KC: Jangan Memandang Manusia Dari Gambaran Luaran Sahaja

    DJ KC: Jangan Memandang Manusia Dari Gambaran Luaran Sahaja

    Jangan hanya memandang manusia dari luaran sahaja. Walau rambut dan pakaian mereka macam ni, mereka juga punyai hati dan berperikemanusiaan. #kauadabuat

    Ada sesetengah individu gambar profil Facebook pakai Hijab, Kopiah, gambar dengan keluarga nampak baik sangat akan tetapi bila komen di media sosial guna kata kesat, menghina, mengutuk dan mencarut. Yang paling dahsyat mula menghukum orang mati masuk neraka! ???

    Jadi jangan mudah menghukum orang hanya dengan dari pandangan mata sahaja.

     

    Source: DJ KC

  • Seniwati Zaiton Dan Artis-Artis Veteran Jalan Ampas Muncul Di Kg Gelam

    Seniwati Zaiton Dan Artis-Artis Veteran Jalan Ampas Muncul Di Kg Gelam

    Mereka sudah lama tidak muncul di khalayak ramai. Namun seniwati Zaiton, K. Fatimah, Sri Dewi, Rahmah Hassan, dan seniman Zaini Sattar berkumpul di Singapura baru-baru ini.

    Lebih 70 orang peminat dan pengunjung juga berkesempatan untuk bergambar bersama artis-artis veteran Jalan Ampas itu, yang pernah menempa kemasyhuran di era kegemilangan zaman filem hitam-putih di Singapura.

    Semua ini anjuran Ahli Filem & Muzik Klasik Melayu Singapura, sebuah kelab berwadahkan media sosial. Para anggotanya menganjurkan program lawatan ke studio Jalan Ampas, diikuti dengan acara santai berhibur sambil menjamu selera di kafe Kaw Kaw Sg, di Aliwal Street, Sabtu lalu (5 Nov).

    Acara perjumpaan berkenaan diadakan demi mengingati dan menghargai pengorbanan dan sumbangan para seniman dan seniwati Jalan Ampas itu.

    ZAITON DARI BUJANG LAPOK SIBUK LAYAN PEMINAT

    Seniwati Zaiton (Zaiton Abdullah) yang cukup dikenali sebagai watak ‘Jeyton’ di dalam filem Seniman Bujang Lapok, dilihat cukup berseri dan sibuk melayani para peminat yang ingin bergambar dengannya.

    Perjumpaan ‘Mengenang Pelakon Malay FIlem Productions’ oleh aktivis-aktivis peminat filem-filem klasik Melayu Singapura itu hasil inisiatif Encik Nazran Hamid, 56 tahun, penulis blog Ukhti Aminah serta rakan-rakan lain seperti, Azlan Mohamed Said, Pengaji muzik Nusantara, Saedah Samat-Alkaff seorang guru muzik professional serta penyanyi Fir Ramlee dan Rudy Djoharnaen.

    Menurut Encik Nazran, menerusi program ini, diharapkan para ahli Filem & Muzik Klasik Melayu di Singapura khususnya, dapat mengetahui lebih dalam lagi mengenai sejarah perfileman Melayu Singapura di masa dahulu.

    “Saya berpendapat, dengan mengadakan acara di Singapura ini peminat-peminat kelab di sini boleh menghadirinya dengan mudah dan dapat melihat sendiri bagaimana gahnya arena seni perfileman Melayu kita pada suatu masa dahulu, terutama sekali dunia perfileman di era tahun 1950-an dan 1960-an.

    “Di samping itu juga, saya dapat mengetahui kisah dan penglibatan ibu-bapa saya sendiri ketika mereka bekerja di Jalan Ampas dahulu,” jelas Encik Nazran yang merupakan anak kepada bintang terkenal seniwati jelita, Mariani (Allahyarhamah) atau nama sebenarnya Mariam Ismail. Bapanya pula adalah seorang Penolong Pengarah dan Penulis Lirik lagu, Allahyarham H.M. Rohaizat.

    ADIK AZIZ SATTAR MAHU PROGRAM PERJUMPAAN DITERUSKAN

    Acara privet itu, walaupun kecil mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para ahli kelab itu dan juga peminat-peminat filem-filem klasik.

    Para hadirin diserikan dengan nyayian lagu-lagu Melayu klasik malar segar dendangan merdu dari artis-artis popular seperti Kamaliah Latiff, Rudy Djoharnaen, Fir Ramlee dan bakat baru di persada seni suara, Mai Dhaniyah. Pengarah muzik bagi acara ini adalah, Cik Saedah Samat-Alkaff.

    Bagi pelakon Zaini Sattar, iaitu adik kepada seniman Aziz Sattar, program perjumpaan sebegini harus diteruskan oleh peminat-peminat atau penggiat filem Melayu setempat. Menurut Pak Zaini lagi, perjumpaan sebegini boleh menggamit kenangan dan mengingati kisah-kisah manis ketika bekerja di Jalan Ampas dahulu, sambil mengeratkan lagi silaturrahim sesama mereka.

    “TINGGAL BERAPA KERAT SAJA…”

    “Bayangkanlah tinggal berapa kerat saja lagi orang-orang lama (pelakon Jalan Ampas) yang masih hidup. Kami semua memang rapat. Bagi Uncle, acara sebegini memang baik dan harus diteruskan. Mungkin boleh buat lebih besar dan gah lagi.

    Uncle berharap generasi muda dapat mengetahui sejarah perfileman Melayu kita waktu dulu. Artis-artis ini memang hebat dan berbakat besar! Mereka semua berkarya dengan sungguh ikhlas dan dari hati,” ujar anak seni veteran berusia 83 tahun dan dianggap sebagai ‘wakil’ dari Jalan Ampas ini.

    Antara yang turut menghadiri acara ini adalah Cik Som Said, Pengasas Sri Warisan, Presiden Perkamus, Cikgu Yusnor Eff, Kartunis tersohor dari Malaysia, Datuk Lat, dan wakil dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

    Penulis lirik terkenal, Cikgu Yusnor Eff, 80 tahun berpendapat, acara murni sebegini seperti mengingati artis-artis lama Jalan Ampas harus diteruskan dan dipelihara sejarah demi mengetahui perkembangan dan perindustrian perfileman Melayu kita sendiri.

    “Bagi saya, mereka ini bak ‘khazanah’ dan permata perfileman dan warisan Melayu kita. Generasi akan datang perlu mengambil tahu dan mengetahui asal usul dunia perfileman Melayu kita, khsususnya di Jalan Ampas.

    “Oleh yang demikian, saya telah pun menyiapkan rancangan dokumentari sebanyak 39 episod, menyingkap sejarah dan perkembangan dunia perfileman Melayu kita sendiri, agar kisah ini tidak hanyut ditelan zaman” ujar Encik Yusnor, yang enerima anugerah Pingat Budaya pada tahun 2011.

    Di akhir acara ini, setiap seniman dan seniwati telah pun diberikan cendarhati lukisan water colour dari Rudy Djoharnaen sendiri sebagai menghargai sumbangan besar mereka di persada seni dan perfileman Melayu, suatu ketika dulu.

    SEDIKIT LATAR BELAKANG FILEM MELAYU LAMA

    Tahukah anda, filem Melayu pertama telah diterbitkan di Singapura pada tahun 1933, dan pada tahun 1939 Momo Latiff telah menjadi heroin dalam filem Laila Majnun terbitan Shaw. Malangnya filem-filem ini telah pupus sewaktu perang dunia kedua tercetus.

    Setelah tamat peperangan, pasangan adik-beradik dari China, Runme dan Run Run Shaw atau juga dikenali sebagai Shaw Brothers, sekali lagi membina semula studio perfileman mereka pada tahun 1945 dan menamakan studio itu dengan panggilan studio ‘Malay Film Productions’(MFP) yang masih utuh bangunannya dan terletak di lokasi yang sama, iaitu di No 8, Jalan Ampas.

    Ketika di studio Jalan Ampas inilah bermulanya perjalanan seni dan lahirnya nama-nama hebat seniman dan seniwati seperti Tan Sri P.Ramlee, Puan Sri Saloma, Datuk Aziz Sattar, Datuk Mustapha Maarof, Datuk Sarimah Ahmad, S. Shamsudin, Zaiton dan ramai lagi yang telah menghiasi dan mewarnai dunia perfileman Melayu kita.

    Walaupun ada yang sudah meninggalkan kita lebih empat dekad yang lalu, namun lakonan mereka masih diingati dan disanjungi hingga kini dan diminati juga oleh generasi muda kita.

    Apa yang lebih menarik lagi, para legenda ini pernah mendapat jolokan sebagai bintang ‘Hollywod Filem Melayu’ suatu ketika dulu.

    Source: Berita MediaCorp

  • Masyarakat Melayu Singapura Tiada Krisis Identiti

    Masyarakat Melayu Singapura Tiada Krisis Identiti

    Masyarakat Melayu Singapura tiada masalah krisis identiti.

    Sikap inklusif, terbuka serta identiti yang berbilang sudah lama ada dalam diri masyarakat Melayu dan ini dibuktikan sejarah.

    Lantaran itu, masyarakat Melayu perlu menggali sejarahnya, yang sudah banyak diabaikan.

    Demikian antara pandangan para sarjana semasa mengupas tentang apakah Identiti Melayu Kini Dalam Krisis, dalam satu seminar baru-baru ini, anjuran ISEAS – Institut Yusof Ishak.

    Ia berdasarkan buku tulisan Profesor Anthony Milner berjudul ‘Kerajaan Budaya Politik Melayu di Ambang Pemerintahan Penjajah, yang dilancarkan dalam sesi ini.

    SEJARAH BEGITU DIABAIKAN

    Menurut Profesor Milner, mantan Profesor Pelawat Raffles di Jabatan Sejarah NUS dan Penyampai Seminar untuk memahami pendekatan orang dan negara Melayu seperti Malaysia tentang Laut China Selatan atau hubungan etnik di Malaysia, jawapannya ada dalam lipatan sejarah.

    “Saya fikir terdapat pengabaian besar terhadap sejarah – bukan kerana sejarah penghurai segalanya, tetapi ia membantu menyediakan rujukan bagi apa yang berlaku di rantau ini.
    Bahawa dunia pra penjajahan merupakan peringatan tentang suatu masa di mana bangsa tidak begitu penting,” kata Prof Milner.

    Beliau yang banyak menulis tentang kaum Melayu dan sejarah Malaysia, dalam bahasa Inggeris menambah: “Perkembangan tentang perasaan bangsa Melayu yang jelas adalah perkembangan moden,” menurut Profesor Milner.

    Para sarjana dalam sesi itu juga berhujah bahawa sejarah juga berguna untuk mengupas identiti Melayu Singapura.

    Ini lebih relevan di tengah-tengah perbahasan tentang isu berbilang bangsa dan pengaruh agama Islam.

    ORANG MELAYU BERSIKAP TERBUKA, TAAT, INKLUSIF

    Penolong Profesor di Jabatan Pengajian Melayu NUS, Dr Sher Banu merupakan antara sarjana yang berpandangan bahawa masyarakat Melayu di Singapura tidak mengalami masalah identiti krisis.

    “Sebab, kalau kita tengok bahagian sejarah, masyarakat Melayu selalu sudah berpeluang untuk menyesuaikan diri dan juga mereka selalu bersikap cara terbuka, bersikap secara inklusif. Kalau kita lihat pemerintahan yang lalu, yang berasaskan kepimpinan Islam, kita boleh dapat contoh ciri-ciri pemerintahan yang bagus, yang dapat disesuaikan dalam konteks di Singapura dan juga di Malaysia.

    “Jadi kalau mereka ada identiti berbeza, ketaatan berbeza, ia sesuatu yang mereka berupaya menyesuaikan diri,” kata Dr Banu, yang juga menjadi Pengulas Seminar Identiti Krisis Melayu itu.

    Lantaran itu juga, penganjur seminar tersebut cuba mengupas mengapa perbincangan mengenai politik Melayu tidak boleh dikupas tanpa mengambil kira aspek budaya dan sejarah Melayu itu sendiri.

    Kalangan peserta seminar termasuklah peminat sejarah, antropologi dan budaya, selain pelajar seperti Muhd Suhail Mohd Yazid.

    Mengulas perbincangan seminar tersebut, beliau berkata: “Kita tidak boleh lupa bahawa Singapura terletaknya di nusantara, di alam Melayu. Jadi sejarah Melayu juga sejarah Singapura. Pada masa yang sama kita harus kritikal juga adakah cara pemikiran orang Melayu di zaman kerajaan juga relevan pada zaman modern kini?”

    Seminar dua jam itu dihadiri sekitar 60 peserta.

    Source: http://berita.mediacorp.sg