Tag: Melayu

  • Mufti: Usaha Semua Pihak Perlu Bagi Raih Manfaat Penuh Sokongan Pemerintah

    Mufti: Usaha Semua Pihak Perlu Bagi Raih Manfaat Penuh Sokongan Pemerintah

    Sokongan pemerintah untuk subjek sekular akan dapat bantu madrasah mencapai lebih banyak kemajuan.

    Namun, ini memerlukan kesungguhan dan usaha semua pihak iaitu Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), masyarakat serta pihak pentadbir madrasah.

    Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Perdana Menteri Lee Hsien Loong untuk memberi bantuan kewangan bagi pendidikan subjek sekular di madrasah setempat.

    Mufti berkata: ” Saya berbesar hati kerana keperluan pendidikan madrasah juga mendapat perhatian pemerintah.

    “Mudah-mudahan bakal pemimpin agama kita akan lebih bersedia menghadapi cabaran akan datang.

    “Agama tidak dapat dipisahkan dalam peranannya untuk membangun masyarakat, begitu juga pemimpin agama perlu mempunyai asas yang kukuh dalam bidang mata pelajaran seperti matematik dan sains.

    “Ia mempunyai kaitan sangat rapat yang tidak boleh dipisahkan daripada memahami agama itu sendiri dan menganjakkan agama agar lebih relevan dalam kehidupan masyarakat.”

    Pengarah Kanan (Madrasah) Muis, Encik Razak Lazim, dalam kenyataan Muis semalam berkata:

    “Madrasah kita merupakan penyumbang utama kepada landskap agama kita, membangunkan pemimpin dan guru agama yang memahami dan menghargai konteks berbilang bangsa dan agama kita.

    “Laporan berita baru-baru ini yang memaparkan kejayaan pelajar dalam bidang seperti perubatan membuktikan bahawa madrasah kita juga berupaya menghasilkan pelajar dengan asas yang utuh dalam mata pelajaran sekular dan bersiap sedia tampil menyumbang kepada ekonomi moden,” katanya.

    Encik Razak berkata Muis menyambut baik sokongan pemerintah mengukuhkan sektor madrasah, termasuk usaha terbaru ini, bagi mempertingkatkan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran sekular.

    “Kami akan bekerja rapat dengan agensi pemerintah relevan tentang perinciannya dan madrasah ini akan melaksana usaha itu sewajarnya nanti,” ujarnya.

     

    Source: http://beritaharian.sg

  • Kemajuan Besar Masyarakat Melayu/Islam Dialu-Alukan, Namun Isu Sosial Harus Diberi Perhatian

    Kemajuan Besar Masyarakat Melayu/Islam Dialu-Alukan, Namun Isu Sosial Harus Diberi Perhatian

    Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata masyarakat Melayu/Islam mencatat kemajuan yang sangat besar dan amat memberangsangkan.

    Hari ini, menurut beliau, masyarakat Melayu diwakili dalam setiap lapisan masyarakat. Encik Lee berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dalam Bahasa Melayu di Rapat Umum Hari Kebangsaan petang ini.

    Encik Lee berkata kini beliau dan rakan-rakan kabinetnya mempunyai banyak pilihan mencari bakal calon-calon pilihan raya Melayu/Islam dari pelbagai sektor – seperti peguam, pegawai bank, pendidik, jurutera dan pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

    Parti Tindakan Rakyat (PAP) baru-baru ini memperkenalkan tiga calon baru Melayu/Islam bagi Pilihan Raya Umum tahun ini – Encik Saktiandi Supaat, 42 tahun, Ketua Kajian Pertukaran Asing di Maybank; Encik Amrin Amin, 36 tahun, peguam korporat di Joseph Tan Jude Benny, dan Cik Rahayu Mahzam, 35 tahun, mantan timbalan pendaftar Mahkamah Syariah.

    Amrin Amin (Gambar: Facebook/Amrin Amin)

    Rahayu Mahzam. (Gambar: Shushan Lam)

    Beliau juga mengambil contoh dua juruterbang muda anak Melayu/Islam di Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF), iaitu Kapten Muhammad Azlan Abdul Latiff, juruterbang helikopter Super Puma, dan Kapten Muhammad Iskandar Dzulfadhli Abdul Rahman, juruterbang jet pejuang F5.

    Menteri Negara Mohd Maliki Osman bersama juruterbang RSAF, Kapten Muhammad Azlan Abdul Latiff (kiri) dan Kapten Muhammad Iskandar Dzulfadhli Abdul Rahman. (Gambar: MINDEF)

    KEJAYAAN MELAYU/ISLAM DICAPAI MENERUSI BUDAYA BERDIKARI

    Encik Lee berkata kejayaan masyarakat Melayu/Islam ini dicapai menerusi budaya berdikari, semangat gotong royong dan juga sokongan pemerintah.

    “Saudara saudari, masyarakat Melayu/Islam gigih memupuk budaya berdikari tetapi mengekalkan semangat gotong-royong anda.

    “Ini dapat dilihat dalam usaha anda membina institusi bantu diri yang penting seperti Yayasan Mendaki dan AMP (Angkatan Karyawan Islam).

    “Pemerintah menyokong kuat kemajuan masyarakat Melayu/Islam dengan menyediakan sumber-sumber, nasihat serta kepimpinan oleh para menteri dan Anggota Parlimen Melayu pemerintah.

    “Orang Melayu juga mendapat faedah daripada dasar untuk semua kaum secara sama rata seperti perumahan, pendidikan dan penjagaan kesihatan,” ujarnya.

    SEBAHAGIAN BESAR YANG TINGGAL DI FLAT SEWA ADALAH MELAYU

    Namun Encik Lee berkata di sebalik kemajuan besar itu, masyarakat Melayu/Islam perlu terus memberi perhatian kepada isu-isu sosial yang mencabar, seperti masalah keluarga-keluarga Melayu/Islam yang masih tinggal di flat-flat sewa.

    Menurut Encik Lee, program pemilikan rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) berjaya membantu lebih 90 peratus penghuni HDB memiliki flat sendiri.

    Namun, segolongan kecil masih tinggal di flat sewa, dan sebahagian besar di antara mereka adalah keluarga Melayu, kata beliau.

    PM LEE: HARUS BANTU MEREKA MILIKI FLAT SENDIRI

    Ramai merupakan keluarga muda dengan masalah rumahtangga dan kewangan – contohnya, mereka mungkin pernah membeli flat sebelum ini, namun selepas bercerai, mereka terpaksa menjual flat dan tinggal di flat sewa.

    “Saya sangat bimbang tentang masa depan keluarga-keluarga ini, khususnya anak-anak mereka. Kemungkinan besar mereka akan terus terjerat dalam kemiskinan sepanjang hayat.

    “Kita harus membantu mereka memulakan hidup baru, jika mereka bersungguh-sungguh mahu memperbaiki kehidupan mereka dengan menstabilkan keluarga, mendapatkan pekerjaan tetap dan memastikan anak-anak kekal di sekolah.

    “Kita mesti membantu mereka memiliki flat sendiri sekali lagi supaya mereka dapat menyediakan sekitaran yang lebih mantap bagi anak-anak mereka,” ujar Encik Lee.

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Amalina Ridzuan Dan Ahmad Abdurrahman Hanifah Marican Ditabal Sebagai Jauhari Harapan

    Amalina Ridzuan Dan Ahmad Abdurrahman Hanifah Marican Ditabal Sebagai Jauhari Harapan

    MEREKA mencipta sejarah beberapa bulan lalu sebagai dua pelajar madrasah pertama yang berjaya melangkah ke Sekolah Perubatan Yong Loo Lin, Universiti Nasional Singapura (NUS), menerusi laluan politeknik.

    Semalam, Cik Amalina Ridzuan, 22 tahun, dan Encik Ahmad Abdurrahman Hanifah Marican, 20 tahun, ditabal sebagai Jauhari Harapan masyarakat Melayu/Islam – kali pertama anugerah yang diperkenalkan Berita Harian pada 2013 itu diberi kepada dua penerima.

    Sedang masyarakat memuji dan menjadikan kisah kejayaan mereka sebagai contoh dan harapan, kededua anak muda itu terus berpijak pada bumi nyata.

    Mereka sedar, banyak mata tertumpu pada mereka dan ingin melihat mereka berjaya.

    “Kami tiba-tiba menjadi contoh kepada pelajar lain, jadi kami perlu berkelakuan dan menunjukkan contoh yang baik. Kami perlu belajar dengan gigih dan kami harus berjaya. Kami perlu menjaga reputasi madrasah dan politeknik kami,” kata Encik Ahmad, bekas pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah dan Politeknik Singapura.

    Beliau, yang lulus Diploma Sains Bioperubatan dengan Mata Gred Purata (GPA) 3.94 daripada gred penuh 4, berharap lebih ramai pelajar madrasah dan sekolah kejiranan kini lebih terdorong mencapai cita-cita mereka.

    “Kita boleh menjadi siapa sahaja yang kita mahu asalkan kita bekerja keras,” kata Encik Ahmad yang sedang menjalani perkhidmatan negara (NS) dan akan memulakan kursus perubatannya pada Ogos tahun depan.

    Bagi Cik Amalina pula, Anugerah Jauhari Harapan yang mengiktiraf pencapaian dan potensi individu Melayu/Islam bawah 30 tahun menjadi pendorong baginya agar terus melakukan yang terbaik di menara gading.

    Beliau, yang sudah memulakan pengajian minggu lalu, berkata ada banyak yang perlu dihafal dan pengajian lima tahun akan datang dijangka ‘berat’ dan mencabar.

    “Namun setelah mengikuti kuliah selama seminggu, saya semakin yakin bahawa inilah bidang yang ingin saya ceburi,” kata Cik Amalina, bekas pelajar Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah dan kemudian lulus Diploma Sains Bioperubatan di Politeknik Temasek dengan GPA 3.98.

    Tekanan tidak dapat dielakkan, katanya, lebih-lebih lagi apabila melihat beliau perlu bersaing dengan pelajar lain yang merupakan bekas pelajar sekolah elit.

    Namun beliau mempunyai strategi – kekal konsisten sepanjang tempoh pengajian dan usaha lebih kuat jika mendapati dirinya ketinggalan di dalam kelas.

    “Bagi saya, jika kita mempunyai minat terhadap sesuatu, kita harus berusaha sedaya upaya untuk mencapainya. Usah biarkan halangan mematahkan semangat kita dan membuat kita fikir kita tidak mampu melakukannya,” kata Cik Amalina.

    Beliau dan Encik Ahmad masing-masing menerima trofi dan cek $5,000 sumbangan Institut Pembangunan Pengurusan Singapura (MDIS) di majlis penyampaian anugerah, semalam.

    Ini tahun ketiga MDIS menaja sumbangan wang tunai kepada penerima Anugerah Jauhari Harapan bagi meraikan pencapaian cemerlang individu dalam masyarakat Melayu/Islam.

    “Di MDIS, kami percaya dalam mengiktiraf pencapai muda (young achievers) dan mendorong mereka agar berjaya dalam kehidupan. Anugerah Jauhari Harapan adalah satu cara memberi pengiktirafan kepada individu muda yang layak yang mempunyai bakat luar biasa untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang pilihan mereka,” kata Setiausaha Agung MDIS, Dr R. Theyvendran.

     

    Source: http://beritaharian.sg

  • 4 Anak Melayu/Islam Jadi Kohort Pertama Mahasiswa Di Sekolah Perubatan NTU

    4 Anak Melayu/Islam Jadi Kohort Pertama Mahasiswa Di Sekolah Perubatan NTU

    Empat anak Melayu/Islam bakal menjadi doktor perubatan ‘perintis’, setelah diterima masuk ke Sekolah Perubatan Lee Kong Chian (LKCMedicine).

    Mereka boleh dianggap istimewa kerana menjadi perintis bagi doktor-doktor Melayu yang dihasilkan Sekolah LKCMedicine kendalian Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Imperial College London.

    Sehingga kini, para pelajar Melayu yang berjaya menjadi doktor, lulus dari fakulti perubatan NUS, ataupun universiti luar negara.

    Namun Shafiqah Shahrin, Muhammad Fadzil Kamarudin, Bureau Nicolas Khairul dan A Johan Saiful Mizra membentuk kohort mahasiswa Melayu/Islam yang pertama untuk mengikuti pengajian perubatan di Sekolah LKCMedicine.

    Mereka bukan sahaja mencatat keputusan cemerlang iaitu sekurang-kurangnya 3A dalam peperiksaan GCE ‘A’ , tetapi mereka juga berjaya mengharungi lapan sesi temuduga yang mencabar.

    KOHORT PALING RAMAI

    Empat mahasiswa Melayu/Islam itu boleh berbangga kerana dipilih setelah ‘bertarung’ dengan lebih 800 pemohon lain. Kesemuanya, 90 mahasiswa dipilih untuk kursus tersebut tahun ini.

    Jumlah itu kenaikan 67% berbanding hanya 54 mahasiswa yang diterima masuk untuk kohort pertama LKCMedicine pada 2013.

    Kohort mahasiswa pada tahun ini adalah yang paling ramai sejak Sekolah LKCMedicine ditubuhkan. Kini sekolah itu mempunyai 222 mahasiswa perubatan.

    Hari ini (17 Ogos), kesemua mahasiswa baru Sekolah LKCMedicine menerima jubah putih yang sering dipakai para doktor, dalam satu upacara khas, sebagai simbol permulaan pengajian mereka.

    Kohort ketiga mahasiswa perubatan NTU membaca perisytiharan pelajar perubatan baru. (Gambar: Universiti Teknologi Nanyang)

    Siapakah anak-anak Melayu tersebut? Mari kita kenali lebih dekat empat mahasiswa Melayu/Islam yang boleh dikatakan menempa nama dalam sejarah Sekolah LKCMedicine.

    Lebih menarik lagi, kesemua mereka datang daripada keluarga yang tidak mempunyai latar belakang perubatan.

    Ini bermakna apabila tamat pengajian kelak, Shafiqah, Fadzil, Nicolas dan Johan akan menjadi yang pertama di kalangan anggota keluarga masing-masing, untuk berkhidmat dalam industri perubatan.

    SHAFIQAH SATU-SATUNYA MAHASISWI MELAYU/ISLAM

    (Gambar: Universiti Teknologi Nanyang)

    Shafiqah Shahrin, 19 tahun merupakan lulusan dari Maktab Rendah Victoria.

    Sejak kecil lagi, Shafiqah memang sudah berminat untuk membantu orang lain. Beliau semakin yakin terhadap minatnya selepas mengikuti “internship” selama sebulan di Hospital NUH awal tahun ini.

    “Saya memang mengagumi doktor dan mendapat inspirasi daripada mereka melalui pengalaman ‘internship’ saya. Saya faham kerapian kerjaya itu namun saya rasa bahawa apa yang boleh mendorong saya ialah minat saya,” kata anak bongsu dalam tiga beradik itu.

    Dan kini Shafiqah menjadi satu-satunya mahasiswi Melayu/Islam yang berjaya masuk ke Sekolah Perubatan NTU.

    “Tiada kerjaya lain, selain dalam perubatan untuk saya dan saya rasa sangat bersyukur kerana pada akhirnya, saya diterima masuk ke dalam kursus yang saya mahukan.

    “Sepanjang pengajian lima tahun ini, saya akan meluaskan ilmu pengetahuan dalam bidang perubatan supaya dapat bantu masyarakat Melayu/Islam,” kata Shafiqah ketika dihubungi BERITAMediaCorp.

    FADZIL: PENTING DIANJAKKAN BILANGAN DOKTOR MELAYU

    (Gambar: Universiti Teknologi Nanyang)

    Muhammad Fadzil Kamarudin, 22 tahun muncul sebagai salah seorang lulusan terbaik dari Maktab Rendah Pioneer.

    Fadzil berasa terharu menjadi salah seorang mahasiswa perubatan Melayu yang pertama di NTU.

    “Tidak ramai doktor Melayu di Singapura, nisbah doktor Melayu kepada pesakit Melayu adalah tidak sama,” kata Fadzil kepada BERITAMediaCorp.

    Beliau menambah: “Saya rasa adalah penting untuk mempunyai doktor Melayu kerana mereka boleh memahami masyarakat Melayu dengan lebih baik, adat dan kepercayaan yang unik. Dan oleh itu, menyampaikan jagaan yang lebih baik kerana perubatan bukan tentang sains sahaja, tetapi juga mengenai hubungan antara pesakit dan doktor mereka.”

    Pada tahun 2007, bapanya pulih daripada penyakit angin ahmar selepas menetap di hospital untuk satu bulan. Tempoh itulah yang mengukuhkan tekad Fadzil untuk menceburi bidang perubatan.

    “Saya lihat tugas doktor dan jururawat setiap hari dan saya tertarik kepada pengorbanan dan dedikasi mereka terhadap tugas mereka. Hasil usaha mereka, bapa saya dapat sembuh sepenuhnya.

    “Saya berharap satu hari nanti, saya akan dapat melakukan perubahan yang sama dalam kehidupan pesakit-pesakit saya yang akan datang, dan keluarga mereka,” ujar Fadzil.

    “Saya harap untuk menjadi sumber inspirasi dan motivasi kepada para pelajar Melayu, yang walau datang daripada keluarga yang bukan doktor, untuk percaya dalam diri dan kejar impian mereka,” ujar Fadzil.

    NICOLAS FASIH BAHASA MELAYU, PERANCIS, INGGERIS & PERUBATAN

    (Gambar: Universiti Teknologi Nanyang)

    Namanya begitu unik bagi seorang anak Melayu. Bureau Nicolas Khairul, 19 tahun mempunyai darah kacukan Melayu dan Perancis. Ayahnya berasal dari Perancis dan ibunya orang Melayu.

    Nicolas mengambil bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda, di samping juga fasih dalam bahasa Perancis dan Inggeris.

    Lulusan ACS(I) itu juga ‘fasih’ dalam bahasa perubatan, terutamanya mengenai fungsi organ-organ dalam tubuh. Sejak kecil lagi, beliau sudah mendalami mata pelajaran biologi.

    “Saya inginkan tugas yang mana ia tidak rasa seperti tugas kerana saya melakukan apa yang saya suka. Dan saya suka membantu orang.

    “Jadi saya pilih perubatan kerana ia menggabungkan dua minat saya (biologi dan membantu orang). Saya mahu berinteraksi lebih dekat dengan pesakit secara ‘firsthand’,” Nicolas memberitahu BERITAMediaCorp.

    JOHAN: TUGAS DOKTOR LEBIH ISTIMEWA

    (Gambar: Universiti Teknologi Nanyang)

    A Johan Saiful Mizra, 19 tahun merupakan lulusan Maktab Rendah Raffles.

    Johan sebenarnya berbelah untuk menerima tawaran daripada NUS dalam bidang undang-undang, atau perubatan di LKCMedicine.

    “Saya membuat keputusan untuk memilih perubatan kerana ia menawarkan kerjaya yang lebih memuaskan dalam jangka masa panjang.

    “Tugas sebagai doktor lebih istimewa kerana terdapat kepercayaan yang unik antara pesakit dan doktor. Doktor yang bagus memainkan peranan istimewa dalam hidup seseorang,” kata Johan.

    Anak sulung dalam dua beradik itu berkata, beliau mahu membantu orang ramai, terutamanya masyarakat Melayu/Islam.

    “Tumpuan saya sekarang adalah untuk menjadi seorang doktor yang sangat bagus supaya saya boleh menyumbang kepada masyarakat. Itu matlamat saya sekarang.”

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Yaacob Ibrahim: Nilai AP Melayu Pada Kemajuan Masyarakat

    Yaacob Ibrahim: Nilai AP Melayu Pada Kemajuan Masyarakat

    Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, menekankan bahawa rekod beliau dan rakan-rakan Anggota Parlimen (AP) Melayu daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) harus dinilai dari sudut pembangunan masyarakat Melayu setempat secara menyeluruh, meliputi kemajuan yang dicapai dalam pelbagai bidang seperti pendidikan dan sosial.

    Berkata demikian kepada Berita Harian (BH) setelah memperkenalkan pasukan PAP bagi Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) Jalan Besar yang diterajuinya pagi semalam, Dr Yaacob berkata beliau berharap pengundi Melayu akan berfikiran luas dan tidak hanya menilai AP-AP Melayu PAP berdasarkan satu-satu isu yang belum terhurai.

    “Masyarakat kita masih berdepan dengan beberapa isu, masih mempunyai cabaran, saya tidak menafikannya.

    “Tapi cabaran ini sedang ditangani bukan hanya oleh badan-badan Melayu/Islam, malah dengan kerjasama agensi pemerintah,” ujar beliau yang tidak menyebut isu-isu yang dimaksudkan secara khusus.

    Di peringkat nasional pula, Dr Yaacob menekankan bahawa dasar perumahan, kesihatan, pendidikan dan sosial yang diperkenalkan pemerintah turut memberi manfaat kepada masyarakat Melayu.

    Inisiatif SkillsFuture, menurutnya, akan memberi manfaat besar kepada pelajar dan pekerja Melayu.

    Lantaran itu Yayasan Mendaki telah pun membentuk divisyen khas bagi meneroka cara memastikan masyarakat merebut peluang penuh skim pemerintah itu.

    Dalam pada itu, Dr Yaacob berkata pemerintah telah membuktikan ia sentiasa terbuka kepada kerjasama dengan masyarakat Melayu/Islam dalam memperbaiki hidup mereka dalam segala aspek.

    Antaranya menerusi perubahan dasar pendidikan yang memberi manfaat kepada pelajar di madrasah.

    “Jadi, saya rasa jika kita jujur dalam penilaian kita, pengundi Melayu akan melihat bahawa pemerintah hari ini prihatin dan jujur berkhidmat bagi pembangunan masyarakat.

    “Dan pada masa yang sama, pemerintah ini juga memerlukan sokongan masyarakat Melayu untuk ia memimpin negara kita mengharungi tempoh mencabar pada masa-maa akan datang,” kata Dr Yaacob, yang juga Menteri Perhubungan dan Penerangan dan Menteri Bertanggungjawab bagi Keselamatan Siber.

    Sementara itu, selain Dr Yaacob, melengkapi pasukan PAP di GRC Jalan Besar ialah Menteri Negara Kanan (Pejabat Perdana Menteri), Encik Heng Chee How; Mayor Central Singapore, Cik Denise Phua; dan AP veteran, Dr Lily Neo.

    GRC Jalan Besar dibentuk semula dalam semakan sempadan kawasan undi baru-baru ini, menggantikan GRC Moulmein-Kallang.

     

    Source: http://beritaharian.sg