Mufti: Usaha Semua Pihak Perlu Bagi Raih Manfaat Penuh Sokongan Pemerintah

Sokongan pemerintah untuk subjek sekular akan dapat bantu madrasah mencapai lebih banyak kemajuan.

Namun, ini memerlukan kesungguhan dan usaha semua pihak iaitu Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), masyarakat serta pihak pentadbir madrasah.

Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Perdana Menteri Lee Hsien Loong untuk memberi bantuan kewangan bagi pendidikan subjek sekular di madrasah setempat.

Mufti berkata: ” Saya berbesar hati kerana keperluan pendidikan madrasah juga mendapat perhatian pemerintah.

“Mudah-mudahan bakal pemimpin agama kita akan lebih bersedia menghadapi cabaran akan datang.

“Agama tidak dapat dipisahkan dalam peranannya untuk membangun masyarakat, begitu juga pemimpin agama perlu mempunyai asas yang kukuh dalam bidang mata pelajaran seperti matematik dan sains.

“Ia mempunyai kaitan sangat rapat yang tidak boleh dipisahkan daripada memahami agama itu sendiri dan menganjakkan agama agar lebih relevan dalam kehidupan masyarakat.”

Pengarah Kanan (Madrasah) Muis, Encik Razak Lazim, dalam kenyataan Muis semalam berkata:

“Madrasah kita merupakan penyumbang utama kepada landskap agama kita, membangunkan pemimpin dan guru agama yang memahami dan menghargai konteks berbilang bangsa dan agama kita.

“Laporan berita baru-baru ini yang memaparkan kejayaan pelajar dalam bidang seperti perubatan membuktikan bahawa madrasah kita juga berupaya menghasilkan pelajar dengan asas yang utuh dalam mata pelajaran sekular dan bersiap sedia tampil menyumbang kepada ekonomi moden,” katanya.

Encik Razak berkata Muis menyambut baik sokongan pemerintah mengukuhkan sektor madrasah, termasuk usaha terbaru ini, bagi mempertingkatkan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran sekular.

“Kami akan bekerja rapat dengan agensi pemerintah relevan tentang perinciannya dan madrasah ini akan melaksana usaha itu sewajarnya nanti,” ujarnya.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *