Tag: Mufti

  • Berjoget Bersenam tidak salah pada pandangan Islam?

    Event_30b

    Tertarik dengan dialog yg Saya dengar ketika di dalam MRT tadi. Perbualan ini adalah antara dua orang wanita, seorang antaranya adalah muslimah yg bertudung.

    Muslimah A: Semalam seronok parti kat rumah si dektu. All female party, no guys allowed, and sorry lah – takde alcoholic drink pun. Aku ajak kau, tapi banyak lah excuse kau.

    Muslimah B (bertudung): Aku ada gym session. Dah plan siang2 event tuh.

    Muslimah A: gym? Itu gym kau all female gym ke? Apa korang buat?

    Muslimah B: Ah ah, all female gym lah – no guys allowed….Semalam ada Zumba Sh’bam. Berpeluh aku dibuatnya…tapi syiok lah

    Muslimah A: Semalam all-female parti aku pun Ada session berdansa juga. Latin dance pun ada….alaaa macam zumba juga. And chances are si dektu tuh nak organize lagi every week….macam pergi gym juga lah aku nampak2nya…tak salah kalau kau join aku one of these days…don’t worry, it is all female event. Kita joget happy2…kita joget to feel good, kau boleh joget macam Zumba sh’bam lah, atas niat exercise….i’m sure tak salah kan dalam agama kalau niat kau masih betul berexercise….common, boleh lah join aku next week? Ok?

    Begitu lah perbualan mereka hingga mereka berdua keluar Dari MRT.

    Apabila di fikirkan balik kuliah ahad yg lalu, teringat pula ayat yg di sebut kan oleh mufti ketika itu. Bahawa syaitan telah berjanji kepada Allah bahawa dia Akan Cuba menyesatkan manusia selagi dia hidup di dunia….sedikit Demi sedikit…perlahan-lahan…

    Moga boleh kita mengambil pengajaran dari peristiwa ini.

    Wallahu a’lam

    Riduan Mazlan

    Sumber: https://www.facebook.com/riduan.mazlan

  • Isu Tudung: Teruskan Perjalanan Dengan Niat Murni

    Teman-teman,

    Assalamualaikum.

    Tiga hari sudah sejak pertemuan dengan Perdana Menteri Sabtu lalu. Pelbagai reaksi juga telah diluahkan terhadap hasil pertemuan tersebut, juga terhadap ulasan-ulasan pandangan orang-orang yang menghadirinya. Termasuk saya.

    Terimakasih kepada semua. Kepada yang bersetuju dengan pendirian saya, terimakasih saya ucapkan di atas keyakinan dan kepercayaannya. Kepadayang membantah dan memarahi saya, juga saya ucapkan setulus terimakasih, kerana memberi kesedaran yang berterusan kepada saya bahawa kita adalah insan yang penuh dengan kelemahan. Bahawa keagungan dan kekuasaan hanya milik mutlaq Dia, sementara kita akan senantiasa bernafas dengan kekerdilan dan kekurangan. Di sebalik semua reaksi yang telah dan akan diluahkan, menjadi kewajipan saya untuk melafazkan “Alhamdulillah”.

    Teman,
    apabila dalam setiap rakaat solat kita diwajibkan membaca “ihdinassiratalmustaqim” (tunjukilah kami jalan yang lurus), ia bukan hanya menjadi doa yang dipinta, tetapi juga merupakan didikan yang diatur Allah untuk kita senantiasa mengingatkan diri betapa kehidupan ini adalah satu perjalanan. Siapa sahaja yang bergelar manusia, selagi usia masih diizin Tuhan, selagi itu ia tetap dalam sebuah perjalanan. Namun, nikmat besar yang dirasakan insan yang beriman, ialah perjalanannya ini punya matlamat tujuan yang amat jelas, iaitu Allah.

    Dalam perjalanan utama hidupnya itu menuju Allah, insan beriman juga menyedari bahawa ada perjalanan-perjalanan kecil atau singkat yang perlu dilalui, dengan matlamat-matlamat tertentu yang perlu dicapai. Langkah kita bersama untuk mengusahakan agar permintaan untuk muslimat kita berhijab diberikan keizinan, adalah salah satu perjalanan yang saya sebutkan tadi. Kelihatannya, selesai satu lagi putaran roda, namun kita belum sampai lagi di destinasinya.

    Di sini, saya ingin mangajak teman-teman semua yang amat saya kasihi, tidak kira sama ada yang meminati saya atau yang membenci, untuk kita meneruskan langkah dalam perjalanan suci ini. Ayuh bersama-sama saya, dengan berbekalkan kemurnian niat di hati, dengan keindahan bicara dan budi, dengan kejernihan berfikir, dan pergantungan tawakkal serta doa kepada Yang Maha Tinggi, kita gerakkan putaran roda yang berikutnya. Insan beriman tidak kenal putus asa, bukan? Kekecewaan dan kehampaan tidak wujud dalam kamus perjalanan hidup insan beriman, bukan?

    Ada sebahagian teman meminta saya sarankan strategi selanjutnya. Teman, perjalanan ini adalah perjalanan kita bersama. Bukan perjalanan saya seorang diri. Pastinya pencerahan bersama pemikiran ramai adalah jauh lebih unggul daripada pemikiran saya seorang. Untuk itu, dengan ikhlas saya meminta, runtuhkanlah tembok pemisah yang menjarakkan antara kita. Hanya dengan itu kita akan mampu bergerak ke hadapan, tidak tersungkur ke belakang.

    Oleh yang demikian juga, dengan penuh rasa rendah hati, saya merayu kepada teman-teman yang sepanjang tiga hari ini bersemangat menyusun bicara menyuarakan sokongan terhadap saya, memadailah sekadar ini sumbangan kebaikan kalian untuk saya. Saya hargai curahan kebaikan itu. Allah sahaja yang mampu membalasnya dengan limpahan rahmatNya. Namun, isu yang sebenarnya bukan isu saya. Bukan isu Mufti. Saya rasa bersalah sangat apabila masa dan pemikiran ramai teman-teman saya banyak berkisar pada saya, ulasan saya, pandangan saya. Cukuplah tiga hari ini kita meniup lafaz menyalakan bara untuk berbicara mengenai “Mufti” dan pandangannya. Jadikanlah satu putaran roda yang baru selesai ini kesempatan untuk menDEWASAkan diri, bukan medan untuk menDEWAkan sesiapa.

    Ada juga yang bertanya saya, kenapa saya hanya bercakap tentang adab? Bukankah isu utama ialah pemakaian hijab yang masih dilarang dalam sektor-sektor yang tertentu? Tidakkah sibuk berkata tentang adab hanya mengalihkan perhatian daripada isu sebenar? Terimakasih kepada yang sudi mengajukan pertanyaan itu kepada saya.

    Teman,
    mengusahakan perubahan kepada keadaan yang sedia ada dalam kehidupan bukanlah sesuatu yang mudah dan ringkas. Kita disuruh berusaha, dan kita dijanjikan balasan yang besar di atas usaha yang dilakukan. Namun insan beriman juga memiliki sepenuh keyakinan bahawa dalam perjalanan menuju Tuhan, keputusan mutlaq sama ada sesuatu usahanya berjaya atau tidak adalah terletak di dalam genggaman kekuasaan Tuhan. Maka begitulah juga dalam isu hijab ini. PM dan pemerintah telah menyatakan bahawa mereka faham betapa hijab adalah sesuatu yang amat penting bagi masyarakat Islam. Mereka juga samasekali tidak mempertikaikan pendirian masyarakat kita bahawa hijab adalah satu kewajipan yang ditetapkan agama. Namun pemerintah masih sangat berhati-hati dengan berbagai faktor yang mereka pertimbangkan, dan untuk itu belum bersedia memberikan kelonggaran yang kita harapkan. Akhirnya, siapakah yang sebenarnya berkuasa mengubah fikiran mereka yang membuat polisi berkenaan? Siapakah yang sebenarnya berkuasa menghilangkan keraguan dan meredakan kekhuatiran di dada mereka untuk memberikan persetujuan? Dan kalaulah memang kebimbangan mereka itu terbit daripada kerisauan sebahagian masyarakat bukan Islam terhadap tuntutan-tuntutan kita untuk beragama dalam ruang-ruang bersama, siapakah akhirnya yang berkuasa menghapuskan kebimbangan itu dan digantikan dengan rasa selesa mereka untuk memahami dan menghargai kewajipan agama kita?

    Bagi insan beriman, jawapannya jelas sekali. Allah. Maka dengan itu, dalam keadaan seperti ini, insan beriman semakin teguh pegangannya dengan Allah. Tidak sesaat terlepas dari ingatannya bahawa matlamatnya semata-mata adalah Allah. Dengan demikian, perjalannya akan diteruskan dengan berpandukan sinaran nur yang dipancarkan Allah. Insan beriman tidak akan sesekali mengejar impian dengan melakukan perkara yang dibenci Allah, merobek ikatan yang diperintah Allah.

    Teman,
    mungkin bagi sebahagian orang ini perkara kecil, atau bukan isu pokok bila kita berbincang mengenai hijab. Namun bagi saya, ini halangan pertama yang perlu kita atasi bersama. Pagarilah langkah kita dengan naungan keridhaan Allah. Pasti sepanjang jalan malaikat mengiringi kita dengan doa kemuliaan. Kalau ditaqdirkan sampai ke matlamat sempat merasakan kemanisan kejayaan, maka itu adalah kelebihan anugerah pemberian Allah. Tetapi kalau perjalanan diteruskan tanpa sedikitpun kesudian untuk mengumpamakan perintah dan adab yang digariskan Allah, ditakuti malaikat mengiringi kita dengan doa kehancuran. Bila berjaya, hati tidak semakin lembut mensyukuri kemurahan Allah. Bila gagal pula menabur cemuhan seolah-olah tidak wujud Yang Maha Mendengar, Yang Maha Melihat, Yang Maha Menentukan, Yang Maha Adil Dalam Memberi Pembalasan.

    Ada sesuatu yang saya pendamkan selama ini. Semoga Allah mengampunkan saya jika meluahkannya hari ini menjadi satu kesalahan dalam pandanganNya. Bahawa saya akan tersungkur malu di hamparan kemuliaan Allah sekiranya kemarin para muslimat kita diizinkan berhijab bukan kerana anugerah Allah, tetapi kerana jengkelnya hati orang-orang berkenaan mendengar desakan kita yang diisi cacian, makian dan penghinaan. Seandainya itu berlaku, maka sesungguhnya saat itu adalah saat kemenangan nafsu serakah kita, bukan kejayaan iman yang murni kepada Sang Pencipta.

    Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram

    Sumber: http://on.fb.me/1mVF1Hn

  • Sesi Dialog PM Lee, Pemimpin Islam tentang isu Tudung

    Foto: The Straits Times

    Sesi dialog tadi berjalan lancar.  Saya gembira kerana para peserta berkongsi pandangan mereka dengan jujur dan secara terus terang, objektif dan matang.  Kami berbincang dari hati ke hati.

    Saya akur isu tudung ini suatu isu penting dan sensitif bagi masyarakat Islam Singapura.  Tapi sebenarnya isu pokok bukan tentang tudung tetapi lebih luas lagi iaitu apakah bentuk masyarakat yang kita inginkan di Singapura.

    Pendirian pemerintah atas soalan pokok ini terang dan kita telah mengambil pendirian ini sejak merdeka 50 tahun lalu iaitu kita mahu bina di Singapura sebuah masyarakat yang berbilang kaum dan berbilang agama dan yang memberi peluang saksama kepada semua kaum dan semua agama di Singapura.

    Kita juga harap kaum-kaum minoriti akan dapat ruang yang cukup untuk menjalankan kewajipan mereka dan cara hidup mereka untuk mengambil bahagian dalam kejayaan dan kemajuan negara Singapura.

    Seberapa boleh pemerintah akan menolong dan memberi sokongan yang lebih kepada kaum-kaum minoriti kerana kita harap mereka akan maju ke hadapan dengan kaum-kaum lain dan termasuk kaum Melayu/Islam.

    Tapi untuk capai matlamat besar kita ini, kita harus bersikap tolak ansur supaya semua kaum selesa dengan satu sama lain.  Kita tidak boleh berbincang tiap-tiap satu isu secara terpencil kerana kalau kita berbincang secara begitu dan berbincang mengenai hak, wajib dan bagaimana kita mesti dapat sesuatu isu, boleh jadi segala-gala objektif kita yang lebih penting akan dihapuskan.  Itu saya fikir sangat buruk untuk Singapura.

    Jadi kejayaan Singapura tidak diukur berdasarkan satu-satu perkara sahaja tetapi dalam konteks yang lebih besar – sama ada kaum-kaum yang berbeza hidup secara harmoni; sama ada semua rakyat berpeluang untuk maju dan hidup dengan aman dan selamat.  Inilah perspektif yang lebih luas yang saya ambil dalam perbincangan tadi dan saya percaya peserta-peserta faham dan terima pandangan saya.

    Jika kita lihat selama 10 tahun lalu, jelas dalam isu tudung telah ada kemajuan.  Banyak badan berkanun telah membenarkan kakitangan mereka memakai tudung bersama pakaian uniform mereka.
    Dan keadaan yang kita lihat hari ini, saya tidak fikir, akan selalu kekal begini kerana masyarakat kita sedang berubah, dunia sedang berubah, negara sedang maju ke depan. Saya fikir setiap tahun secara beransur-ansur, perlahan-lahan, apa yang kita buat di Singapura dalam masyarakat kita akan juga berubah.  Tetapi perubahan ini mesti berjalan dengan teliti, dengan berhati-hati, mesti berjalan tidak terlalu cepat atau menghapuskan apa yang kita telah capai iaitu suatu masyarakat di mana semua kaum dapat hidup dengan harmoni dan dapat menjadi orang Islam yang dapat menunaikan wajib Islam dan pada masa yang sama seorang warga Singapura yang menunaikan kewajiban sebagai warga Singapura.

    Jadi pemerintah inginkan yang terbaik untuk masyarakat Singapura dan untuk masyarakat Melayu/Islam. Dalam isu ini ada pandangan-pandangan yang berlainan tetapi hasrat kita tidak berbeza.  Kita harap yang terbaik untuk kaum Melayu/Islam dan kita harap kita boleh bekerjasama dengan kaum Melayu/Islam untuk mewujudkan hasrat kita.

    Tadi dalam dialog ada yang kata kita patut bertanding antara satu sama lain supaya dapat menjelaskan isu ini.  Saya kata tidak.  Kita patut menari bersama, supaya kita boleh bekerjasama, supaya kita boleh capai apa yang kita sama-sama harapkan.