Tag: NDR2015

  • Isu Di Malaysia Boleh Bawa Kesan Kepada Singapura

    Isu Di Malaysia Boleh Bawa Kesan Kepada Singapura

    Masyarakat dan ekonomi Singapura dan Malaysia saling bergantung rapat antara satu sama lain.

    Disebabkan pergantungan tersebut, masalah Malaysia dengan mudah boleh menjadi masalah Singapura, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

    “Jika Malaysia mengalami masalah, tidak mantap atau berpecah-belah, ia akan menjejas ekonomi kita, masyarakat kita dan keselamatan kita juga,” jelas Encik Lee.

    Justeru, Perdana Menteri berkata Singapura memantau dengan dekat apa jua perkembangan yang berlaku di Malaysia.

    Encik Lee menggariskan beberapa masalah dan isu yang menjadi kebimbangan utama Malaysia.

    Pertama, sesetengah rakyat Malaysia menjadi radikal termasuk beberapa anggota pasukan bersenjatanya.

    Sesetengahnya telah pergi ke Timur Tengah bagi menyertai pertempuran militan Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS) di sana dan apabila mereka pulang, mereka akan membawa ideologi pengganasan itu bersama ke tanah air.

    Kedua, Malaysia juga bimbang tentang ketegangan kaum dan agama.

    Masyarakat boleh berpecah-belah dengan mengikut sentimen perkauman.

    Insiden rusuhan di Plaza Low Yat antara orang Cina dan Melayu misalnya boleh menegangkan isu sentimen perkauman.

    Ketiga, Malaysia juga bimbang tentang isu politik wang.

    Isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjadi bahan berita setiap hari.

    Encik Lee juga berkata Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak baru menubuhkan sebuah panel nasional bagi membangunkan undang-undang mengenai “pembiayaan politik dengan kewibawaan”.

     

    Source: http://beritaharian.sg

  • Cabaran Di Sebalik Hubungan Baik Dengan Indonesia

    Cabaran Di Sebalik Hubungan Baik Dengan Indonesia

    Indonesia negara yang penting bagi Singapura kerana sebagai negara besar ia menentukan “nada” bagi rantau ini.

    Justeru, apabila Indonesia mantap, semua negara jirannya akan meraih faedah.

    Tetapi jika Indonesia berada dalam keadaan yang tidak menentu, Asia Tenggara boleh terjejas, seperti yang berlaku semasa Konfrontasi, ujar Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

    Menurut beliau, Singapura menikmati hubungan yang baik dengan Indonesia buat bertahun-tahun lamanya.

    Ini termasuk dengan Presiden Suharto sejak 1970-an dan kemudian dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pada dekad yang lalu.

    “Saya mengalu-alukan dapat meneruskan hubungan yang baik ini dengan Presiden Jokowi (Joko Widodo),” ujar Encik Lee.

    Namun, beliau mengingatkan bahawa Indonesia negara yang besar dan kompleks dan terdapat banyak pandangan dalam negara itu sendiri berhubung dengan negara jiran mereka.

    Satu pandangan biasa warga Indonesia mengenai Singapura, katanya, ialah Singapura negara kecil yang menikmati kejayaan yang tidak sepatutnya.

    Semasa Hari Kebangsaan Singapura, sebuah akhbar Indonesia menerbitkan rumusan hubungan antara Singapura dengan Indonesia.

    Laporan itu menukil seorang ahli politik kanan di sana mengenai jerebu.

    “Saya akan hanya menimbangkan meminta maaf (bagi jerebu) jika Singapura dan Malaysia berterima kasih dengan oksigen yang dinikmati (daripada hutan Indonesia) bagi selama 11 bulan (setiap tahun).”

    Encik Lee berkata walaupun pandangan tersebut tidak mencerminkan pandangan pemerintah Indonesia, Singapura harus memberi perhatian.

    “Ia satu set minda yang sudah berdarah daging – satu titik merah yang kecil ini harus tahu tempatnya di dunia ini – dan pandangan ini tidak akan lesap bagi masa yang lama,” tambah beliau.

     

    Source: http://beritaharian.sg

  • Mufti: Usaha Semua Pihak Perlu Bagi Raih Manfaat Penuh Sokongan Pemerintah

    Mufti: Usaha Semua Pihak Perlu Bagi Raih Manfaat Penuh Sokongan Pemerintah

    Sokongan pemerintah untuk subjek sekular akan dapat bantu madrasah mencapai lebih banyak kemajuan.

    Namun, ini memerlukan kesungguhan dan usaha semua pihak iaitu Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), masyarakat serta pihak pentadbir madrasah.

    Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Perdana Menteri Lee Hsien Loong untuk memberi bantuan kewangan bagi pendidikan subjek sekular di madrasah setempat.

    Mufti berkata: ” Saya berbesar hati kerana keperluan pendidikan madrasah juga mendapat perhatian pemerintah.

    “Mudah-mudahan bakal pemimpin agama kita akan lebih bersedia menghadapi cabaran akan datang.

    “Agama tidak dapat dipisahkan dalam peranannya untuk membangun masyarakat, begitu juga pemimpin agama perlu mempunyai asas yang kukuh dalam bidang mata pelajaran seperti matematik dan sains.

    “Ia mempunyai kaitan sangat rapat yang tidak boleh dipisahkan daripada memahami agama itu sendiri dan menganjakkan agama agar lebih relevan dalam kehidupan masyarakat.”

    Pengarah Kanan (Madrasah) Muis, Encik Razak Lazim, dalam kenyataan Muis semalam berkata:

    “Madrasah kita merupakan penyumbang utama kepada landskap agama kita, membangunkan pemimpin dan guru agama yang memahami dan menghargai konteks berbilang bangsa dan agama kita.

    “Laporan berita baru-baru ini yang memaparkan kejayaan pelajar dalam bidang seperti perubatan membuktikan bahawa madrasah kita juga berupaya menghasilkan pelajar dengan asas yang utuh dalam mata pelajaran sekular dan bersiap sedia tampil menyumbang kepada ekonomi moden,” katanya.

    Encik Razak berkata Muis menyambut baik sokongan pemerintah mengukuhkan sektor madrasah, termasuk usaha terbaru ini, bagi mempertingkatkan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran sekular.

    “Kami akan bekerja rapat dengan agensi pemerintah relevan tentang perinciannya dan madrasah ini akan melaksana usaha itu sewajarnya nanti,” ujarnya.

     

    Source: http://beritaharian.sg