Tag: perniagaan

  • Mankelo Fishery Sediakan Khidmat Penghantaran Ke Rumah

    Mankelo Fishery Sediakan Khidmat Penghantaran Ke Rumah

    ENCIK Razman Abdul Ghani mulanya ragu dengan saranan agar beliau mengembangkan perniagaan jual ikan dengan menyediakan khidmat penghantaran ke rumah.

    Namun, saranan anaknya itu dicubanya juga dan ternyata ia mendapat sambutan menggalakkan.

    Perniagaan syarikatnya, Mankelo Fishery, melonjak 40-50 peratus sejak dua bulan lalu.

    Encik Razman, yang sudah 16 tahun berniaga ikan di pasar Bukit Gombak, menyangka pelanggan lebih gemar ke pasar kerana mahu melihat sendiri ikan-ikan segar sebelum membelinya.

    “Yalah, selama berniaga, pelanggan saya lebih suka melihat dan memegang sendiri ikan-ikan dan melihat warna insang ikan untuk mengetahui kesegarannya.

    “Jadi, saya agak terkejut apabila sambutan penghantaran ke rumah begitu menggalakkan,” ujarnya ketika ditemui di gerainya di Blok 372, Bukit Batok Street 31.

    Encik Razman, yang dikenali dengan nama ‘Mankelo’ sejak tinggal di kampung di Pulau Merlimau, menamakan syarikatnya Mankelo Fishery agar mudah diingati.

    Idea membentuk khidmat penghantaran ke rumah dicetuskan anak keduanya, Encik Muhd Tamam Shafiq Razman, yang ingin menceburi bidang niaga selepas tamat perkhidmatan negara (NS).

    Setiap hari dari 8 hingga 9.30 pagi, Encik Shafiq memuat naik gambar pelbagai jenis ikan dan makanan laut lain yang dijual di dalam Facebook Mankelo Fishery.

    Jenis ikan yang dijual berubahubah berdasarkan hasil tangkapan.

    Pelanggan yang berminat boleh membuat tempahan sehingga 11.30 pagi melalui Facebook, Instagram, telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS). Tempahan akan dihantar pada hari yang sama dari 12 tengah hari hingga 4 petang.

    “Kami membuat penghantaran pada hari yang sama untuk memastikan kesegarannya.

    “Sejauh ini sambutan pelanggan, yang kebanyakannya wanita bekerja, cukup menggalakkan.

    “Biasanya mereka telefon kami di tempat kerja dan kami menghantar ikan-ikan itu ke rumah mereka.

    “Mereka cukup senang kerana kami juga menyiang dan membersihkan ikan-ikan itu,” kata Encik Shafiq, yang membantu bapanya sejak di menengah dua.

    Dua daripada tiga beradiknya, Encik Muhd Tamam Sari dan Encik Muhd Tamam Sufyan, juga membantu dalam perniagaan itu.

    Pada hujung minggu, syarikat itu pernah mendapat tempahan sehingga 40 rumah dalam satu hari.

    Secara purata, pelanggan membayar $40 hingga $70 bagi setiap kali pembelian.

    Syarikat itu mengenakan bayaran minimum $30 dan bayaran penghantaran di serata Singapura $5.

    Sejak menjalankan perniagaan penghantaran ke rumah, syarikat itu juga menerima permintaan bagi daging dan ayam, serta makanan lain seperti tempe, tauhu, mi dan sebagainya.

    Bagi memenuhi permintaan itu, Mankelo Fishery bekerjasama dengan dua pegerai di pasar Bukit Gombak.

     

    Source: http://beritaharian.sg

  • Hjh Maimunah Restaurant & Catering Pte Ltd Terus Berkembang

    Hjh Maimunah Restaurant & Catering Pte Ltd Terus Berkembang

    ADA yang mengatakan restoran Hajah Maimunah diambil alih usahawan Cina. Ada pula yang kata ia bakal ditutup.

    Namun pada hakikatnya, Hajah Maimunah Restaurant & Catering Pte Ltd masih bertahan walaupun menghadapi saingan dan kos yang meningkat.

    Pemiliknya, Cik Mahiran Abdul Rahman, 49 tahun, ketika menjelaskan kedudukannya berkata:

    “Semua khabar angin itu tidak benar. Mungkin ia tersebar ketika saya menggajikan seorang penyelia restoran berbangsa Cina baru-baru ini.

    “Mungkin ada yang menyangka ia telah diambil alih usahawan Cina. Atau mungkin ketika kami mengambil sijil halal Muis. Ketika itu ramai menganggap restoran kami telah diambil alih usahawan Cina.

    “Mereka mempersoalkan restoran Melayu memerlukan sijil halal sedangkan ini antara strategi kami meluaskan perniagaan.”

    Malah, desas-desus mengenai restoran itu telah lama tersebar.

    Anak Cik Mahiran yang juga Pengurus Besar restoran tersebut, Cik Masturah Didih, 28 tahun, turut menyangkal khabar angin itu.

    “Sebenarnya, kami merancang meluaskan sayap membuka sebuah lagi cawangan di kawasan ramai penduduk Melayu. Ia mungkin di Punggol, Woodlands atau Jurong.

    “Kami masih membuat kajian dan mencari lokasi terbaik untuk membuka cawangan terbaru.”

    Menurut Cik Mahiran lagi, mungkin khabar-khabar angin itu tersebar apabila beliau mula dilihat menyepi daripada pengurusan restoran di Jalan Pisang dan Joo Chiat Road.

    “Sebenarnya saya dan suami dalam proses peralihan menyerahkan pengurusan restoran kepada anak-anak kami,” katanya.

    Cik Mahiran menambah, beliau dan suaminya, Encik Didih Ibrahim, 58 tahun, kini giat menguruskan sebuah resort di Puncak, Bogor, Indonesia, iaitu Villa Dlima.

    Resort di atas bukit itu menempatkan 10 vila lengkap dengan kolam renang untuk disewa dan telah beroperasi sejak tiga tahun lalu.

    Beliau dan suaminya, seorang warga Indonesia, turut menguruskan sebuah sekolah di Bogor, iaitu Darul Arham, yang kini mempunyai sekitar 450 pelajar menengah yang memberikan pendidikan sehingga prauniversiti madrasah dan sekular.

    Dari segi tempoh peralihan restoran itu, keluarganya menyasarkan sehingga Oktober depan bagi memberi masa sepenuhnya sebelum diambil alih oleh anak-anaknya.

    Selepas pengambilalihan itu, Cik Mahiran dan Encik Didih akan bertindak sebagai penasihat.

    Bagi memantapkan pengurusan restoran tersebut, anak-anaknya diberi pendidikan berkaitan. Cik Masturah memiliki ijazah dalam bidang sains pemakanan dan teknologi dari Universiti New South Wales (UNSW), Australia.

    Seorang lagi anaknya, Encik Ismail, 29 tahun, memiliki ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti South Florida, Amerika Syarikat. Beliau dijangka memegang jawatan Pengurus Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan restoran itu.

    Cik Maria, 27 tahun, pula lulusan bidang Usuluddin dari Universiti Malaya dan bertindak sebagai Pengurus Operasi.

    Encik Ibrahim, 25 tahun, pula adalah lulusan Universiti Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT). Beliau kini membantu menguruskan resort Villa Dlima.

    Seorang lagi anaknya, Cik Maryam, masih menuntut di Politeknik Temasek.

    Cik Mahiran, ibu lima anak dan dua cucu, berkata:

    “Anak-anak saya akan berusaha mengembangkan perniagaan dan memastikan restoran Hajah Maimunah kekal relevan. Mereka akan menyesuaikannya mengikut perkembangan teknologi, trend semasa dan mengetahui semua aspek perniagaan. Ini termasuk mengembangkan khidmat katering untuk majlis-majlis dan perkahwinan.”

    Khidmat kateringnya juga menyumbang 20 peratus daripada hasil pendapatan syarikat.

    Anak-anaknya, tambah Cik Mahiran, akan memastikan dapur pusat – Hajah Maimunah Manufacturing – yang terletak di Bedok North dipertingkat sesuai dengan keadaan semasa.

    Usaha Cik Mahiran itu juga dilihat sebagai mewarisi usaha yang dibuat Allahyarhamha ibunya, Hajah Maimunah Haji Abdul Karim, seorang usahawan yang juga terkenal sebagai syekh haji satu masa dulu.

    “Restoran Hajah Maimunah telah wujud sekitar 25 tahun dan kami mahu ia kekal dari generasi ke generasi,” ujar Cik Mahiran.

    Menurut beliau lagi, kini pengurusan restoran tidak kurang mencabar untuk mendapatkan pekerja yang berkemahiran.

    “Pekerja biasa mudah dicari tetapi pekerja yang boleh memasak masakan tradisional Melayu amat sedikit. Kami perlu melatih mereka selama enam bulan untuk membolehkan mereka memasak dan ada kemahiran yang lain.

    “Apabila kami melatih seorang pekerja, kami juga mahu tiga atau empat pekerja lain turut tahu masakan yang sama agar mudah diurus.

    “Ini bertujuan memastikan restoran kami mampu bertahan dan terus berkembang. Saya akan terus melatih mereka dan tidak akan menunggu mereka berhenti kerja untuk melatihnya.”

    Syarikatnya kini mempunyai lebih 60 pekerja termasuk dari India dan Malaysia.

    Bagi memastikan pekerja setia dengan syarikatnya, beliau turut menyediakan asrama, pengangkutan, insurans dan perubatan yang dibayar sepenuhnya oleh syarikat.

    Ini tidak termasuk makanan yang boleh mereka makan di restoran dengan percuma.

    Tidak hairanlah jika ada di antara pekerjanya mampu bertahan bekerja dengannya selama lebih 10 tahun.

    Dalam masa yang sama, beliau juga akur bahawa agak sukar mendapatkan bekalan makanan kampung seperti pucuk paku dan ulam-ulaman sehingga memaksa beliau memilih Indonesia dan Thailand sebagai sumber bekalan alternatif.

    Malah, beliau yakin restorannya mampu bertahan kerana tiga unit di Jalan Pisang telah dibeli walau cawangannya di Joo Chiat masih disewa.

    Beliau turut melihat potensi masakan tradisional Melayu kerana restorannya turut dikunjungi para pelancong terutama dari Indonesia, Malaysia dan Brunei untuk menikmati lebih 40 jenis hidangan seperti lemak siput, tahu telur, rendang daging dan kuih- muih.

    “Anak-anak sayalah yang akan melihat potensi dan trend ini untuk meneruskan kesinambungan restoran Hajah Maimunah,” ujar Cik Mahiran.

     

    Source: http://beritaharian.sg