Mankelo Fishery Sediakan Khidmat Penghantaran Ke Rumah

ENCIK Razman Abdul Ghani mulanya ragu dengan saranan agar beliau mengembangkan perniagaan jual ikan dengan menyediakan khidmat penghantaran ke rumah.

Namun, saranan anaknya itu dicubanya juga dan ternyata ia mendapat sambutan menggalakkan.

Perniagaan syarikatnya, Mankelo Fishery, melonjak 40-50 peratus sejak dua bulan lalu.

Encik Razman, yang sudah 16 tahun berniaga ikan di pasar Bukit Gombak, menyangka pelanggan lebih gemar ke pasar kerana mahu melihat sendiri ikan-ikan segar sebelum membelinya.

“Yalah, selama berniaga, pelanggan saya lebih suka melihat dan memegang sendiri ikan-ikan dan melihat warna insang ikan untuk mengetahui kesegarannya.

“Jadi, saya agak terkejut apabila sambutan penghantaran ke rumah begitu menggalakkan,” ujarnya ketika ditemui di gerainya di Blok 372, Bukit Batok Street 31.

Encik Razman, yang dikenali dengan nama ‘Mankelo’ sejak tinggal di kampung di Pulau Merlimau, menamakan syarikatnya Mankelo Fishery agar mudah diingati.

Idea membentuk khidmat penghantaran ke rumah dicetuskan anak keduanya, Encik Muhd Tamam Shafiq Razman, yang ingin menceburi bidang niaga selepas tamat perkhidmatan negara (NS).

Setiap hari dari 8 hingga 9.30 pagi, Encik Shafiq memuat naik gambar pelbagai jenis ikan dan makanan laut lain yang dijual di dalam Facebook Mankelo Fishery.

Jenis ikan yang dijual berubahubah berdasarkan hasil tangkapan.

Pelanggan yang berminat boleh membuat tempahan sehingga 11.30 pagi melalui Facebook, Instagram, telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS). Tempahan akan dihantar pada hari yang sama dari 12 tengah hari hingga 4 petang.

“Kami membuat penghantaran pada hari yang sama untuk memastikan kesegarannya.

“Sejauh ini sambutan pelanggan, yang kebanyakannya wanita bekerja, cukup menggalakkan.

“Biasanya mereka telefon kami di tempat kerja dan kami menghantar ikan-ikan itu ke rumah mereka.

“Mereka cukup senang kerana kami juga menyiang dan membersihkan ikan-ikan itu,” kata Encik Shafiq, yang membantu bapanya sejak di menengah dua.

Dua daripada tiga beradiknya, Encik Muhd Tamam Sari dan Encik Muhd Tamam Sufyan, juga membantu dalam perniagaan itu.

Pada hujung minggu, syarikat itu pernah mendapat tempahan sehingga 40 rumah dalam satu hari.

Secara purata, pelanggan membayar $40 hingga $70 bagi setiap kali pembelian.

Syarikat itu mengenakan bayaran minimum $30 dan bayaran penghantaran di serata Singapura $5.

Sejak menjalankan perniagaan penghantaran ke rumah, syarikat itu juga menerima permintaan bagi daging dan ayam, serta makanan lain seperti tempe, tauhu, mi dan sebagainya.

Bagi memenuhi permintaan itu, Mankelo Fishery bekerjasama dengan dua pegerai di pasar Bukit Gombak.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *