Tag: restoran

  • Cef Bob Rasai Hikmah Di Sebalik Kegagalan Perniagaan Restoran

    Cef Bob Rasai Hikmah Di Sebalik Kegagalan Perniagaan Restoran

    NAMANYA amat terkenal dalam industri hiburan setempat selaku seorang cef.

    Sejak 2007 Encik Shahrizal Salleh atau lebih dikenali sebagai Cef Bob, telah berkecimpung dalam rancangan-rancangan masakan setempat.

    Beliau bukan sekadar mengacarakan rancangan masakan, malah statusnya sebagai cef selebriti sering membuatnya terpilih sebagai anggota juri bagi pertandingan masakan.

    Biarpun rambutnya hampir tiada, tubuh berisi dan pipinya tembam, perwatakan Encik Shahrizal yang lucu, ramah dan sering mengukir senyuman menjadikannya calon yang sesuai untuk tampil dalam banyak rancangan televisyen.

    Yang terbaru ialah beliau telah mengadili rancangan King Juara Memasak bersama seorang lagi cef setempat, Encik Amri Abdul Azim. Rancangan ini disiarkan setiap Selasa di saluran Suria.

    Namun, di sebalik keriangan yang sering terpancar di wajahnya, terselit kebimbangan yang membelenggu dirinya sejak kebelakangan ini.

    “Sejak beberapa bulan lalu restoran milik saya selama tujuh tahun di Simpang Bedok telah ditutup.

    “Ini selepas perniagaan saya terjejas – daripada sudut masakan dan khidmat layanannya – akibat kesukaran mendapatkan tenaga kerja.

    “Kini, saya bimbang kerana saya masih ada hutang rumah dan kereta, selain baru menimang cahaya mata yang perlukan tanggungan saya,” kata Encik Shahrizal, 34 tahun, yang pernah tampil dalam rancangan kanak-kanak Mat Yoyo pada 1980-an.

    Beliau berkongsi kisah kehidupannya semasa ditemui di flat lima biliknya di Pasir Ris Drive 10.

    Menurut Encik Shahrizal, beliau kini menghabiskan lebih banyak masa di rumah di samping isterinya, Cik Kamisah Khamis, 36 tahun, serta anak mereka, Umar, tiga bulan.

    Jika dahulu beliau lebih banyak menyediakan hidangan di restoran atau mengongsi masakannya dengan penonton televisyen, kini Encik Shahrizal lebih banyak menyediakan masakan untuk keluarga.

    “Terus terang sebagai cef, kami tidak begitu gemar memasak di rumah kerana perlu bersihkan sendiri perkakas selepas memasak.

    “Ini berbeza dengan memasak di hotel atau dalam rancangan televisyen di mana ada yang bersihkan selepas kami memasak.

    “Memandangkan saya lebih banyak menghabiskan masa di rumah, jadi saya akan sediakan hidangan, tapi masakan yang senang-senang saja. Selepas memasak, biasanya isteri saya yang bersihkan,” katanya berseloroh.

    Kini, selain bergantung kepada program televisyen yang melibatkan dirinya, Encik Shahrizal juga memberi khidmat konsultasi berkaitan masakan bagi menampung pendapatannya.

    Beliau juga sedang giat memperhalusi modul-modul bagi kursus memasak yang telah pun beliau mulakan sejak kebelakangan ini.

    “Saya reda dengan apa yang sedang saya lalui kini. Mungkin ada hikmahnya. Ia bak satu ujian buat saya kerana saya yakin sesuatu bakal menanti saya tidak lama lagi,” katanya, yang menutup perniagaannya pada bulan Ramadan lalu.

    Menurut Encik Shahrizal lagi, keputusan menutup perniagaannya itu dibuat sekembalinya beliau daripada menunaikan umrah. Mujur isterinya, yang kini sedang menjalani cuti bersalin, masih bekerja sebagai pakar terapi pergigian.

    Cik Kamisah, yang merupakan pemain bola jaring sebuah kelab setempat dan juga sering menyertai acara maraton, akan kembali bekerja selepas cuti bersalinnya itu berakhir pada bulan ini.

    Mungkin benar apa yang dikatakan Encik Shahrizal.

    Di sebalik cabaran yang sedang ditempuhinya kini tampak hikmahnya.

    Jika dahulu beliau menganggap dirinya sebagai seorang yang gemar berpesta dan ‘lupa’ tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim, kini sebaliknya pula berlaku pada dirinya.

    “Dulu saya leka dengan hal-hal duniawi dan suka berpesta. Saya hanya solat dua kali setahun… tak pernah mengaji dan hanya berpuasa pada hari pertama dan terakhir Ramadan,” dedah anak bongsu empat beradik itu secara terbuka.

    Air matanya mula berlinangan tatkala menceritakan kisah-kisah lamanya yang dianggap ‘tanpa arah tuju’ dan ‘lupa diri’.

    Kisahnya itu turut dimuatkan dalam sebuah video terbitan Jaringan Pendidikan Islam Swasta (PIENet) dengan sokongan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam usaha menarik lebih ramai belia agar mendapatkan pendidikan Islam seawal mungkin.

    Antara kandungan video selama empat minit 45 saat itu terselit kisah amalan seorang bekas pekerjanya yang baru berusia 14 tahun yang mendirikan solat lima waktu sehari – seolah-olah memberi kesan rohani kepadanya.

    Sambil memandang wajah isteri tersayangnya dan anaknya yang comel, beliau menarik nafas panjang sambil berkata:

    “Saya berjanji akan menjadi suami dan bapa yang lebih baik dalam usaha membimbing isteri dan membesarkan anak saya menjadi Muslim yang sempurna, insya-Allah.”

    “Saya reda dengan apa yang sedang saya lalui kini. Mungkin ada hikmahnya. Ia bak satu ujian buat saya kerana saya yakin sesuatu bakal menanti saya tidak lama lagi… Saya berjanji akan menjadi suami dan bapa yang lebih baik dalam usaha membimbing isteri dan membesarkan anak saya menjadi Muslim yang sempurna, insya-Allah.”

    – Encik Shahrizal Salleh yang lebih dikenali sebagai Cef Bob

     

    Source: http://beritaharian.sg

  • Restoran Hajah Maimunah Tidak Menepati Masa Penghantaran Untuk Iftar

    LEWAT MENGHANTAR TEMPAHAN MAKANAN: Restoran Hajah Maimunah tidak menepati masa penghantaran makanan ke beberapa rumah pelanggan di bahagian timur Singapura kelmarin hingga mengakibatkan segelintir pelanggan tidak berpuas hati. - Foto BH
    LEWAT MENGHANTAR TEMPAHAN MAKANAN: Restoran Hajah Maimunah tidak menepati masa penghantaran makanan ke beberapa rumah pelanggan di bahagian timur Singapura kelmarin hingga mengakibatkan segelintir pelanggan tidak berpuas hati. – Foto BH

    MEREKA menanti juadah untuk berbuka puasa. Namun, tempahan yang dinanti tidak kunjung tiba.

    Akibatnya, ramai pelanggan yang melanggani pakej Ramadan Hjh Maimunah Restaurant & Catering Pte Ltd terpaksa mencari pilihan lain untuk mengisi perut yang sudah berkeroncong.

    Penyelaras penghantaran pakej Ramadan Hajah Maimunah, Encik Ismail Didih, ketika dihubungi Berita Harian hari ini berkata, penghantaran makanan yang tiba selewat lapan malam bagi pelanggan di bahagian timur Singapura berlaku “akibat cuaca buruk semalam” dan “kurang kecekapan penghantar makanan akan laluan yang perlu diambil ke rumah-rumah pelanggan”.

    ____

    HASRAT di hati mahu berbuka puasa dengan lauk-pauk tradisional Melayu daripada sebuah restoran popular setempat.

    Namun, Encik Z Ismail sekeluarga terkilan dan terpaksa berpuas hati dengan hidangan daripada restoran makanan segera.

    Itulah nasib yang menimpa Encik Z sekeluarga setelah tempahan juadah berbuka puasa yang dibuat dengan Restoran Hajah Maimunah tidak kunjung tiba semalam.

    Encik Z, yang berusia lewat 30-an tahun dan enggan nama penuhnya disiarkan, telah menjadi pelanggan setia khidmat penghantaran juadah berbuka restoran popular itu sejak beberapa tahun lalu. Beliau merupakan antara beberapa pelanggan terjejas yang memberikan maklum balas kepada BH.

    “Saya kesal sekali,” ujar beliau ketika dihubungi Berita Harian (BH) semalam.

    “Kami sekeluarga sudah menjadi pelanggan tetap Hajah Maimunah (pada bulan Ramadan) sejak beberapa tahun lalu. Sepatutnya dengan pengalaman bertahun-tahun, mereka seharusnya ada pelan kecemasan jika ada perkara yang tidak diingini berlaku dan menjejas penghantaran,” tambahnya.

    Sementara itu, penyelaras penghantaran pakej Ramadan Hajah Maimunah, Encik Ismail Didih, memberitahu BH bahawa juadah yang ditempah bagi promosi Ramadan dihantar lewat ke sejumlah rumah pelanggan ekoran hujan lebat yang mengendalakan penghantaran.

    Beliau menambah bahawa kakitangan penghantar makanan yang kurang berpengalaman di jalan raya juga memburukkan lagi keadaan. Menurut Encik Ismail, juadah berbuka pelanggan sudah pun sedia dibungkus pada 3 petang dan mula dihantar sekitar 4 petang.

    “Kami akui kesilapan kami. Pada tahun-tahun lepas, walau tidak seteruk kali ini, kami memang mengalami sedikit masalah pada hari pertama penghantaran. Tapi keadaannya akan bertambah baik selepas itu,” ujarnya yang mendakwa hanya sekitar 20 pelanggan daripada hampir 300 yang terjejas.

    Encik Ismail menambah sebilangan pelanggan yang terjejas tempoh hari sudah pun dihubungi.

    “Kami akan menghubungi yang lain untuk meminta maaf,” ujarnya sambil menambah bahawa pelanggan yang terjejas boleh menerima pampasan dari segi bayaran balik penuh atau baucar makan Restoran Hajah Maimunah.

    Sumber: http://beritaharian.sg/premium/setempat/makanan-buka-puasa-tak-kunjung-tiba

    letters to R1C banner

     

    YOUTUBE: youtube.com/user/rilek1corner

    FACEBOOK: facebook.com/rilek1corner

    TWITTER: twitter.com/Rilek1Corner

    WEBSITE: rilek1corner.com

    EMAIL: [email protected]

    FEEDBACK: rilek1corner.com/hubungir1c/