Tag: wang hantaran

  • Terus Terang Hal Ehwal Kewangan Dan Elak Berhutang

    Terus Terang Hal Ehwal Kewangan Dan Elak Berhutang

    Lelaki harus berterus terang kepada keluarga bakal isterinya mengenai kemampuan kewangannya dan elak berhutang untuk mengadakan wang hantaran.

    Keluarga perempuan pula tidak harus menggunakan wang hantaran semata-mata untuk majlis perkahwinan gah. Ia harus digunakan bagi kelengkapan kediaman pasangan baru berumah tangga itu.

    Demikian gesaan beberapa naib kadi yang diminta mengulas mengenai adat wang hantaran.

    Ustaz Dr Firdaus Yahya berkata masyarakat harus memberi keutamaan pada perkara wajib, misalnya mas kahwin, daripada berlumba-lumba meletakkan wang hantaran tinggi hingga memaksa pihak lelaki berhutang atau bakal suami isteri berbohong mengenai wang hantaran.

    “Masyarakat kita mewajibkan perkara tidak wajib dan memandang remeh perkara wajib. Ini perlu diperbetul.

    “Jika kita berlumba-lumba dalam soal wang hantaran, ditakuti perkahwinan tidak membawa berkat kerana melibatkan hutang dan sebagainya,” ujar beliau.

    Beliau menekankan dalam perkahwinan Islam, yang wajib ialah mas kahwin atau mahar, bukan wang hantaran.

    Kadar minimum mas kahwin di Singapura ialah $100, walaupun ada pasangan lelaki memilih memberi $150 atau $200 atau dalam bentuk barang kemas bernilai lebih daripada kadar minimun itu.

    Seorang lagi naib kadi, Ustaz Syakir Pasuni, berkata pemberian wang hantaran serta hadiah “berdulang-dulang” hanya sekadar adat.

    “Kita harus sedar bahawa wang hantaran bukanlah tuntutan agama. Ia hanya hadiah dan memberi hadiah sangat digalakkan agama Islam. Wang hantaran juga boleh membantu meringankan perbelanjaan,” ujar beliau.

    Beberapa naib kadi berkata jumlah wang hantaran sekarang antara $8,000 dengan $15,000 biasanya bergantung pada faktor seperti kelulusan mempelai wanita, keadaan ekonomi keluarga, dan apakah wanita itu pernah berkahwin.

    “Wang hantaran ialah adat kebiasaan orang Melayu, bukan tuntutan agama. Jadi kalau wang hantaran sampai memaksa seorang lelaki meminjam bank atau berhutang, itu tidak elok dan tidak mengikut ajaran sebenar Islam,” ujar Ustaz Noor Rawi, 60 tahun.

    Beliau menggesa pihak lelaki berterus terang tentang kemampuannya kepada pihak perempuan agar tidak sampai berhutang untuk memberi wang hantaran di luar kemampuan.

    Naib kadi berpengalaman 30 tahun itu menambah bahawa wang hantaran sebenarnya bagi keperluan mempelai membeli kelengkapan rumah seperti katil, almari, perabot lain dan sebagainya bagi kegunaan mereka.

    “Ada ibu bapa perempuan menggunakan wang hantaran untuk makan minum majlis perkahwinan. Ini tidak patut kerana duit hantaran ialah bagi keperluan pasangan pengantin,” kata Ustaz Noor.

    Ustaz Syakir turut menasihatkan ibu bapa supaya usah terpengaruh oleh orang lain mengenai wang hantaran.

    “Kadang-kadang ada saudara-mara sibuk memperkata tentang wang hantaran hingga menjejas ibu bapa mempelai dalam membuat keputusan dan menyusahkan pengantin.

    “Ibu bapa perlu mempunyai pendirian sendiri dan bijaksana dalam membuat keputusan,” kata beliau.

    Seorang lagi naib kadi, Ustaz Muhammad Zahid Mohd Zin, 31 tahun, berkata idea mengadakan wang hantaran memang ada baiknya dan ia boleh jadi satu komitmen bagi pasangan kepada perkahwinan mereka.

    Ini juga boleh menggalak amalan menabung bagi lelaki yang hendak berumah tangga.

    “Cuma, perkara ini disalah tanggap hingga ada orang menyangka ia satu kewajipan. Ada ingin menunjuk-nunjuk kepada orang lain atau kononnya tidak mahu keluarganya malu. Apabila ini terjadi dan mereka terpaksa mengambil pinjaman, ia satu perkara yang dikesalkan.

    “Mendapatkan pinjaman bagi wang hantaran tidak sepatutnya terjadi,” kata Ustaz Muhammad Zahid.

    Ustaz Syakir juga berkata mendapatkan wang pinjaman bank adalah langkah kurang bijaksana kerana ia berpotensi besar meruntuhkan sesebuah rumah tangga ekoran masalah kewangan dan persefahaman.

    “Saya harap ia tidak dijadikan satu perlumbaan dalam masyarakat kerana berlumba-lumba dan menunjuk-nunjuk dalam soal ini berdosa.

    “Kedua, wang hantaran tidak harus dijadikan ukur tara status wanita kerana ini bukan soal menjual anak. Keluarga perempuan pula tidak harus meminta-minta wang hantaran tinggi.

    “Rasulullah saw berkata yang paling berkat ialah wanita yang rendah maharnya, maksudnya yang paling sedikit wang hantarannya,” kata Ustaz Dr Firdaus.

    Mengenai tidak menggunakan wang tunai bagi wang hantaran, Ustaz Noor berkata: “Saya nasihatkan pengantin perempuan, kalau lelaki nak kasi cek, minta perintah juruwang, atau cashier order, sebab ini lebih selamat daripada cek memandangkan wang sudah ada di dalam akaun.

    “Kalau cek, jika ia cek tendang, macam mana sekalipun awak pangkah, wang tetap tidak ada. Baik-baik nak bersilaturahim, jadi pergaduhan pula nanti.”

     

    Source: http://beritaharian.sg

  • Bila Hantaran Jadi Beban: Ada Terpaksa Pinjam Bank Atau Guna Cek Tendang

    Bila Hantaran Jadi Beban: Ada Terpaksa Pinjam Bank Atau Guna Cek Tendang

    Pinjam bank atau berbohong, termasuk memberi cek tendang.

    Itulah yang dilakukan sebahagian lelaki dan ibu bapa mereka – kadangkala dengan berpakat bersama tunang mereka tanpa pengetahuan ibu bapanya – gara-gara wang hantaran tinggi.

    Ini dinyatakan beberapa orang yang pernah mengendalikan kes sedemikian.

    “Bakal suami dan isteri ini berpakat. Hutang dengan bank untuk bayar hantaran. Inilah kenyataannya sekarang…,” dedah Cik Azhanani Kamis, seorang kaunselor bersama firma Apkim Resources yang turut mengendalikan kes kaunseling yang dirujuk Mahkamah Syariah.

    Penolong Pengurus Pusat Nasihat Hutang (DAC) Angkatan Karyawan Islam (AMP), Encik Saiful Nizam Jemain, juga berkata pusat itu ada menguruskan kes sukar membayar kembali hutang yang didapatkan bagi majlis perkahwinan, termasuk wang hantaran.

    “Pihak lelaki tidak menjelaskan kepada pasangannya bahawa beliau tidak mempunyai wang sebanyak itu. Beliau meminjam wang itu kerana dikehendaki memenuhi persetujuan,” kata beliau mengenai kes eksekutif berusia 28 tahun itu.

    “Pinjaman bermasalah itu bermula dengan $10,000 bagi duit hantaran dan perbelanjaan lain. Tetapi dengan duit bunga, ia meningkat menjadi $15,000. Isterinya hanya tahu setelah mereka bernikah apabila bank menghantar surat tuntutan,” singkap Encik Saiful Nizam.

    Lelaki itu sedang berusaha melangsaikan hutang tersebut secara ansuran selepas perbincangan dengan bank dan Kaunseling Kredit Singapura (CCS).

    Encik Saiful Nizam berkata meskipun jumlah mereka yang mendapatkan bantuan DAC berhubung masalah menyelesaikan hutang majlis perkahwinan agak kecil, ia sesuatu yang tidak seharusnya berlaku.

    Sebanyak 20 daripada sekitar 900 kes yang diurus DAC sejak ia ditubuh dua tahun lalu kes melibatkan hutang majlis perkahwinan atau berkaitan dengannya, sama ada oleh pengantin atau ibu bapa pengantin.

    Pengantin terlibat berusia antara 24 dengan 35 tahun manakala ibu bapa antara 50 hingga 60 tahun.

    Cik Azhanani berkata ada pasangan bercerai sebelum hutang majlis perkahwinan atau wang hantaran dilangsai.

    “Ada mati-mati hendak berpisah sedangkan hutang wang hantaran dan majlis kahwin belum habis dibayar. Bagi wang hantaran, suami dan isteri masing-masing pinjam $5,000 daripada bank. Isteri turut berhutang ibunya $18,000 untuk katering dan hiasan majlis perkahwinan.

    “Isteri kata beliau akan selesaikan sendiri hutangnya pada ibunya. Dia kata, ‘saya tak kisah, saya tetap nak cerai’,” singkap Cik Azhanani.

    Seorang guru Al-Quran dan tuisyen pelajar madrasah, Ustazah Nurul Huda Khamsani, yang berumah tangga November lalu, berkata beban mengadakan wang hantaran tinggi adakala dirasa juga oleh pihak perempuan.

    “Saya tahu ada daripada kawan-kawan saya berkongsi bersama pasangan mereka untuk mengumpul wang hantaran. Si perempuan kasihankan pihak lelaki, jadi dia bantu kumpulkan wang itu.

    “Mereka olok-olok kononnya itu duit pihak suami, sebenarnya bukan. Mak bapa perempuan tak tahu. Sebenarnya, ramai yang buat perkara ini.

    “Oleh kerana duit yang ada sudah digunakan buat wang hantaran dan majlis hendak diadakan dengan gah, ada pula pinjam bank bagi majlis perkahwinan.

    “Lepas bernikah, bergaduh pasal duit, pasal hutang,” ujar Ustazah Nurul Huda, 28 tahun.

    Seorang naib kadi, Ustaz Noor Rawi, 60 tahun, pula berkata beliau pernah mendapat aduan pihak perempuan yang diberi cek tendang bagi wang hantaran.

    Seorang lagi naib kadi, Ustaz Dr Firdaus Yahya, berkata perbuatan memberi cek kosong itu mungkin dek wang hantaran tinggi yang diminta pihak perempuan dan telah disetujui pihak lelaki.

    “Keluarga perempuan minta, dan keluarga lelaki setuju sebab takut malu tidak dapat sediakan. Akhirnya, pihak lelaki beri cek kosong.

    “Semasa akad nikah, ditulis wang hantaran sudah diberi tetapi sebenarnya wang itu tidak ada. Ini sebab nak jaga air muka,” ujar beliau.

    Usahawan khidmat pengantin, Cik Fatimah Mohsin, 39 tahun, berkata tekanan rakan sebaya dan orang sekeliling antara punca perkara itu.

    “Orang Melayu selalu fikir tentang apa orang lain kata. Kita tidak harus begitu. Lakukanlah sesuatu berdasarkan kemampuan diri.

    “Jangan kerana orang lain, anak kita pun harus adakan wang hantaran atau belanja perkahwinan tinggi.

    “Apabila tidak cukup duit, mereka pinjam sana sini, sekali gus memulakan perkahwinan dengan pelbagai masalah,” ujar beliau.


    “Bakal suami dan isteri ini berpakat. Hutang dengan bank untuk bayar hantaran. Inilah kenyataannya sekarang…,”

    – Cik Azhanani Kamis, seorang kaunselor bersama firma Apkim Resources.

    “Pihak lelaki tidak menjelaskan kepada pasangannya bahawa beliau tidak mempunyai wang sebanyak itu. Beliau meminjam wang itu kerana dikehendaki memenuhi persetujuan.”

    – Penolong Pengurus Pusat Nasihat Hutang AMP, Encik Saiful Nizam Jemain.


    PERIHAL MAS KAHWIN DAN WANG HANTARAN

    ANGGARAN KADAR WANG HANTARAN DI SINGAPURA

    – Tiada: Satu atau dua daripada setiap 10 pasangan memilih tiada wang hantaran

    – $1,000 – $3,000: Sebagai tanda hadiah

    – $3,000: Pasangan muda berusia awal 20-an tahun.

    – $5,000 – $7,000: Kadar pertengahan.

    – $8,000: Lulusan politeknik.

    – $10,000 – $15,000: Lulusan universiti atau daripada keluarga berkemampuan

    – Jumlah paling popular: $8,000 hingga $10,000.

    (Berdasarkan maklumat beberapa naib kadi)

    PERBEZAAN ANTARA MAS KAHWIN DENGAN WANG HANTARAN

    – Mas kahwin: Hadiah yang wajib diberi suami kepada isteri dalam bentuk wang tunai atau barang.

    Di sini jumlahnya sekurang-kurangnya $100 tunai atau barang bernilai sekurang-kurangnya $100.

    – Hantaran: Hadiah dalam bentuk wang tunai dan/atau barang yang diberi mengikut adat masyarakat Melayu.

    Mengikut kebiasaan, jumlah wang hantaran diumum kepada hadirin semasa majlis pertunangan dan dipersembah dalam bentuk gubahan atau dimasukkan di dalam bingkai gambar dan diletak di atas dulang semasa majlis pernikahan.

    Kini ada keluarga memberinya dalam bentuk cek semasa majlis pernikahan.

    Ada pengantin menggunakan wang hantaran untuk membeli kelengkapan seperti katil, almari, dan lain-lain bagi rumah barunya.

    Hadiah hantaran diberi pasangan suami isteri kepada satu sama lain pada majlis perkahwinan. Ia biasanya merupakan barang keperluan harian seperti pakaian, jam tangan, kasut, dan kini telefon bimbit serta tablet, kelengkapan solat seperti sejadah dan telekung, serta makanan. Barang-barang itu biasanya diberi dalam bentuk pelbagai gubahan.

     

    Source: http://beritaharian.sg