Terus Terang Hal Ehwal Kewangan Dan Elak Berhutang

Lelaki harus berterus terang kepada keluarga bakal isterinya mengenai kemampuan kewangannya dan elak berhutang untuk mengadakan wang hantaran.

Keluarga perempuan pula tidak harus menggunakan wang hantaran semata-mata untuk majlis perkahwinan gah. Ia harus digunakan bagi kelengkapan kediaman pasangan baru berumah tangga itu.

Demikian gesaan beberapa naib kadi yang diminta mengulas mengenai adat wang hantaran.

Ustaz Dr Firdaus Yahya berkata masyarakat harus memberi keutamaan pada perkara wajib, misalnya mas kahwin, daripada berlumba-lumba meletakkan wang hantaran tinggi hingga memaksa pihak lelaki berhutang atau bakal suami isteri berbohong mengenai wang hantaran.

“Masyarakat kita mewajibkan perkara tidak wajib dan memandang remeh perkara wajib. Ini perlu diperbetul.

“Jika kita berlumba-lumba dalam soal wang hantaran, ditakuti perkahwinan tidak membawa berkat kerana melibatkan hutang dan sebagainya,” ujar beliau.

Beliau menekankan dalam perkahwinan Islam, yang wajib ialah mas kahwin atau mahar, bukan wang hantaran.

Kadar minimum mas kahwin di Singapura ialah $100, walaupun ada pasangan lelaki memilih memberi $150 atau $200 atau dalam bentuk barang kemas bernilai lebih daripada kadar minimun itu.

Seorang lagi naib kadi, Ustaz Syakir Pasuni, berkata pemberian wang hantaran serta hadiah “berdulang-dulang” hanya sekadar adat.

“Kita harus sedar bahawa wang hantaran bukanlah tuntutan agama. Ia hanya hadiah dan memberi hadiah sangat digalakkan agama Islam. Wang hantaran juga boleh membantu meringankan perbelanjaan,” ujar beliau.

Beberapa naib kadi berkata jumlah wang hantaran sekarang antara $8,000 dengan $15,000 biasanya bergantung pada faktor seperti kelulusan mempelai wanita, keadaan ekonomi keluarga, dan apakah wanita itu pernah berkahwin.

“Wang hantaran ialah adat kebiasaan orang Melayu, bukan tuntutan agama. Jadi kalau wang hantaran sampai memaksa seorang lelaki meminjam bank atau berhutang, itu tidak elok dan tidak mengikut ajaran sebenar Islam,” ujar Ustaz Noor Rawi, 60 tahun.

Beliau menggesa pihak lelaki berterus terang tentang kemampuannya kepada pihak perempuan agar tidak sampai berhutang untuk memberi wang hantaran di luar kemampuan.

Naib kadi berpengalaman 30 tahun itu menambah bahawa wang hantaran sebenarnya bagi keperluan mempelai membeli kelengkapan rumah seperti katil, almari, perabot lain dan sebagainya bagi kegunaan mereka.

“Ada ibu bapa perempuan menggunakan wang hantaran untuk makan minum majlis perkahwinan. Ini tidak patut kerana duit hantaran ialah bagi keperluan pasangan pengantin,” kata Ustaz Noor.

Ustaz Syakir turut menasihatkan ibu bapa supaya usah terpengaruh oleh orang lain mengenai wang hantaran.

“Kadang-kadang ada saudara-mara sibuk memperkata tentang wang hantaran hingga menjejas ibu bapa mempelai dalam membuat keputusan dan menyusahkan pengantin.

“Ibu bapa perlu mempunyai pendirian sendiri dan bijaksana dalam membuat keputusan,” kata beliau.

Seorang lagi naib kadi, Ustaz Muhammad Zahid Mohd Zin, 31 tahun, berkata idea mengadakan wang hantaran memang ada baiknya dan ia boleh jadi satu komitmen bagi pasangan kepada perkahwinan mereka.

Ini juga boleh menggalak amalan menabung bagi lelaki yang hendak berumah tangga.

“Cuma, perkara ini disalah tanggap hingga ada orang menyangka ia satu kewajipan. Ada ingin menunjuk-nunjuk kepada orang lain atau kononnya tidak mahu keluarganya malu. Apabila ini terjadi dan mereka terpaksa mengambil pinjaman, ia satu perkara yang dikesalkan.

“Mendapatkan pinjaman bagi wang hantaran tidak sepatutnya terjadi,” kata Ustaz Muhammad Zahid.

Ustaz Syakir juga berkata mendapatkan wang pinjaman bank adalah langkah kurang bijaksana kerana ia berpotensi besar meruntuhkan sesebuah rumah tangga ekoran masalah kewangan dan persefahaman.

“Saya harap ia tidak dijadikan satu perlumbaan dalam masyarakat kerana berlumba-lumba dan menunjuk-nunjuk dalam soal ini berdosa.

“Kedua, wang hantaran tidak harus dijadikan ukur tara status wanita kerana ini bukan soal menjual anak. Keluarga perempuan pula tidak harus meminta-minta wang hantaran tinggi.

“Rasulullah saw berkata yang paling berkat ialah wanita yang rendah maharnya, maksudnya yang paling sedikit wang hantarannya,” kata Ustaz Dr Firdaus.

Mengenai tidak menggunakan wang tunai bagi wang hantaran, Ustaz Noor berkata: “Saya nasihatkan pengantin perempuan, kalau lelaki nak kasi cek, minta perintah juruwang, atau cashier order, sebab ini lebih selamat daripada cek memandangkan wang sudah ada di dalam akaun.

“Kalau cek, jika ia cek tendang, macam mana sekalipun awak pangkah, wang tetap tidak ada. Baik-baik nak bersilaturahim, jadi pergaduhan pula nanti.”

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *