Tag: Wanita

  • Fatwa Saudi Bolehkan Wanita ‘Tok Kadi’ Jalankan Pernikahan

    Fatwa Saudi Bolehkan Wanita ‘Tok Kadi’ Jalankan Pernikahan

    Percaya atau tidak, wanita boleh menjalankan pernikahan.

    Demikian menurut fatwa yang dikeluarkan seorang anggota Majlis Masyaikh Arab Saudi, Sheikh Abdullah Al-Manea.

    Beliau memberitahu Okaz Daily bahawa tugas itu sekadar mencatat dokumen kontrak perkahwinan dan “jika Kementerian Kehakiman meluluskannya, maka tidak ada sebarang halangan dari segi undang-undang, lapor laman Arab News.

    Untuk melayakkan diri bagi mendapatkan lesen, pemohon perlu mempunyai tatasusila yang baik dan tiada rekod jenayah, mendapat sokongan daripada dua ulama Islam dan berusia 25 tahun ke atas.

    Ini bukanlah fatwa pertama yang dikeluarkan oleh Al-Manea yang menyebelahi kaum wanita.

    Pada bulan September lalu, beliau berkata wanita-wanita adalah penjaga diri mereka sendiri dan mempunyai hak untuk menguruskan semua ehwal berkaitan diri mereka kecuali dalam perkahwinan, lapor Arab News.

    Peguam Nojoud Qasim memberitahu Arab News tiada halangan dari segi undang-undang bagi wanita untuk menjalankan pernikahan.

    Terdapat permintaan bagi kerjaya itu di kalangan wanita Saudi “jika mereka diberi pelulang”, menurut Qasim seperti yang ditukil Arab News.

    Source: BeritaMediacorp

  • Mengapa Masih Wujud Fahaman Sempit Terhadap Kaum Wanita?

    Mengapa Masih Wujud Fahaman Sempit Terhadap Kaum Wanita?

    Peranan kaum Hawa sering kali tidak diberikan pengiktirafan dan penghargaan yang sewajarnya. Ini meskipun bilangan wanita yang menyandang jawatan berprofil tinggi semakin meningkat. Mengapa pemikiran dan tanggapan yang mempersoalkan keupayaan dan kewibawaan kaum Hawa terus membelenggu minda masyarakat? Muhammed Shahril Shaik Abdullah, Pustakawan Bersekutu di Lembaga Perpustakaan Negara yang juga anggota The Reading Group mengongsi beberapa sebab yang mungkin menyebabkan pemikiran sedemikian menyempitkan persepsi terhadap kaum Hawa.

    Jika dibandingkan zaman sekarang dengan zaman dahulu, boleh dikatakan kaum wanita pada zaman sekarang ini menikmati taraf kehidupan yang lebih tinggi. Ini dapat dilihat dari jumlah wanita yang kian ramai memegang jawatan-jawatan yang suatu ketika hanya dikhaskan buat kaum lelaki, baik di bidang pekerjaan mahupun di arena politik.

    Namun, sejauh manakah perubahan sosial sedemikian mencerminkan arus perubahan yang sehaluan dari segi sikap serta tanggapan sesebuah masyarakat terhadap kaum wanita? Walaupun peluang pekerjaan serta pendidikan buat kaum wanita pada masa kini jauh lebih luas berbanding beberapa dekad yang lalu, tanggapan terhadap wanita masih lagi berdasarkan fahaman sempit yang nyata menghambat kemajuan ke arah masyarakat yang bersifat adil.

    Barangkali ramai di antara kaum suami dan bapa dalam masyarakat kita yang bersifat penyayang terhadap keluarga masing-masing. Kita tidak berada di dalam sebuah masyarakat yang sadis di mana kaum lelaki sewenang-wenang memukul bantai isteri dan anak-anak.

    Namun di sebalik sifat penyayang tersebut, tersembunyi satu ketidaksadaran (subconsciousness) yang terpendam kian dalam di lubuk hati dan sanubari si penyayang. Ketidaksadaran tersebut, yang dibentuk dan didorong oleh pengaruh luaran seperti struktur serta kondisi sosial, lingkungan hidup dan juga penyebaran pengetahuan dalam segala bentuk informasi dari pelbagai sumber termasuk akhbar, filem serta media sosial, tidak akan dapat dikesan di tingkatan sadar (conscious level) dari segi perbualan mahupun perbuatan. Malah, apa yang diucap dan diperlakukan di tingkatan sadar seringkali bertentangan dengan apa yang terpendam di peringkat tidak sedar (subconscious level).

    Sebagai contoh, sebuah negara yang dikuasai oleh pemerintahan yang berasaskan prinsip patriarki akan membentuk serta menjalankan dasar-dasar negara yang mendiskriminasi dan menindas kaum wanita. Dasar-dasar tersebut, jika tidak dipersoalkan, pada gilirannya akan meresapi akar pemikiran masyarakat lantas membuahkan warga-warga negara yang berfikiran patriarkis, meskipun hadir di tingkatan tidaksadar. Barangsiapa yang menentang atau mempersoalkan fahaman tersebut akan dianggap pengkhianat atau pemberontak lantas disingkir sebagai seorang yang tidak sehaluan dengan masyarakat.

    Apabila norma sosial sesebuah masyarakat berlandaskan pemahaman yang tidak mempedulikan kesucian kehidupan malah cenderung terhadap kebinasaan, akibatnya akan ada pengorbanan jiwa-jiwa yang tidak bersalah. Di dalam buku beliau The Great Theft, Khaled Abou El Fadl menceritakan tentang kejadian di Arab Saudi, yang berlaku pada pertengahan bulan Mac 2002, di mana sekumpulan murid perempuan di sebuah sekolah awam terbunuh sewaktu terperangkap di dalam bangunan sekolah yang sedang dijilat api kebakaran.

    Apa yang lebih menyedihkan ialah, menurut Abou El Fadl, pintu-pintu sekolah tersebut telah dikunci dari luar oleh sekumpulan polis agama Saudi yang menghalang dengan kekerasan segala upaya untuk menyelamatkan murid-murid berkenaan. Penjelasan yang diberi atas perbuatan mereka ialah disebabkan murid-murid perempuan tersebut tidak menutup aurat – bermaksud mereka tidak mengenakan hijab serta niqab mereka pada waktu itu – dan juga buat mengelakkan sentuhan fizikal di antara pasukan penyelamat dengan murid-murid perempuan terlibat.

    Dari peristiwa di atas, kita dapat melihat masalah yang timbul, malah yang menjurus kepada pembunuhan, apabila manusia bertindak atas dasar dan pengaruh fahaman yang parokial. Di dalam benak pasukan polis agama Saudi tersebut, hanya satu kekhuatiran yang harus difikirkan, iaitu muka dan rambut murid-murid perempuan terlibat – yang terperangkap di dalam bangunan yang sedang dijilat api – tidak seharusnya kelihatan di tempat awam. Pada mereka, penutupan aurat itu lebih penting dari menyelamatkan nyawa yang sedang dalam bahaya. Demikian akibatnya apabila fikiran dikuasai oleh ketidaksadaran yang sentiasa berlegar di lubuk hati.

    Pengaruh luaran seperti media sosial juga memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk ketidaksadaran sedemikian, selain membentuk minda serta pemikiran seseorang malahan sebuah masyarakat. Tidak boleh dinafikan pentingnya peranan media dalam menyampaikan berita serta informasi buat membina pengetahuan terhadap segala perihal di sekeliling kita. Namun, ini tidak bererti segala apa yang dilapor atau dikongsi harus diterima secara membabi-buta tanpa kritikal.

    Sikap yang kritikal akan membolehkan kita mengesan ideologi di sebalik penulisan yang bersifat cauvinis mahupun patriarkis. Jika disoal, kemungkinan besar si penulis tidak akan bersetuju malah akan menafikan dirinya sebagai seorang yang cauvinis. Malah tidak akan ada seorang lelaki yang akan mengaku dirinya sedemikian. Ramai yang akan mengatakan kaum wanita harus dihormati, disanjungi dan disayangi.

    Namun pernyataan-pernyataan tersebut barangkali hanya hadir di tingkatan sadar. Pada tingkatan tidaksadar, masih ramai yang menganggap serta mempercirikan kaum wanita sebagai satu kaum yang lemah dan serba kekurangan, yang harus patuh dan tunduk pada supremasi kaum lelaki. Amat sukar untuk seseorang yang didorong oleh ketidaksadaran sedemikian mengakui serta menganggap kaum wanita sebagai kaum yang mampu berdikari.

    Seorang isteri harus disayangi, dibelai, dihormati – pada masa yang sama beliau juga wajib patuh dan taat pada suami. Bahkan apa yang diajarkan di merata kelas-kelas agama, di setiap ceramah dan syarahan, dan juga di kaca televisyen melalui drama dan filem, ialah syurga isteri itu terletak di kaki suami. Maka apabila isteri menderhakai suami, beliau tidak akan dapat mencium pun bau syurga.

    Ajaran dan pesanan yang bermasalah sebegini jarang dipersoalkan, oleh kerana kepercayaan mutlak terhadap yang berbicara sebagai pakar dalam bidang yang dibicarakan. Di sini juga kita dapat melihat peranan asatizah serta penulis dan penerbit media dalam membentuk dan mempengaruhi pemikiran masyarakat.

    Sebagai contoh, di dalam filem Suami Aku Ustaz yang ditayangkan pada tahun 2015, kita akan dapat mengesan idea-idea yang amat bermasalah apabila ditontoni dari lensa yang kritikal. Misalnya, ibu bapa yang melihat anak perempuan mereka sebagai sebuah objek yang boleh diperlakukan sekehendak hati tanpa menghiraukan hak si anak sebagai seorang manusia; pendewaan guru-guru agama yang menjurus kepada ketaksuban serta perhambaan diri pada golongan tersebut hingga sanggup melepaskan diri dari tanggungjawab dengan berserah dan mengikut membabi-buta segala apa yang diajarkan sang ustaz, walaupun bercanggah dengan nilai-nilai kemanusiaan; pandangan hidup patriarkis yang menetapkan kaum lelaki sebagai golongan yang dianugerahi Tuhan darjat yang lebih tinggi justeru lebih layak menentukan apa yang baik dan buruk buat kaum wanita.

    Dari filem ini, kita dapat melihat bagaimana industri budaya yang dikuasai golongan inteligensia yang tidak berfungsi, akan mencipta karya-karya yang sarat dengan idea-idea yang bermasalah, yang berasaskan pemikiran feudal dan cauvinis, lantas meluas dan menyerap masuk ke minda masyarakat.

    Kenyataan yang dibuat penerbit filem tersebut sewaktu diwawancara, bahawa cinta serta kepatuhan isteri kepada suami merupakan nilai yang penting dalam rumah tangga, menjadi bukti kepada pemikiran patriarkis beliau. Rumahtangga yang penuh dengan kasih dan sayang bermula dari perasaan saling hormat menghormati serta faham memahami, bukan berasaskan kepatuhan yang bersifat perhambaan dan pengabdian. Tidak akan wujud sifat kasih dan sayang, bahkan tidak akan ada rasa cinta, apabila seseorang menuntut supaya dipatuhi dan ditaati oleh pihak yang lain.

    Lebih bermasalah lagi apabila agama dijadikan sandaran bagi pendirian yang patriarkis. Misalnya menggunakan hadis-hadis daif yang menuntut agar wanita harus patuh dan tunduk pada supremasi kaum lelaki. Nabi telah diutuskan Tuhan untuk membebaskan masyarakat di kota Makkah dari segala bentuk penindasan dan ketidakadilan dengan membasmikan segala praktik jahiliyah Arab yang tidak berperikemanusiaan, seperti menanam hidup-hidup bayi perempuan yang baru dilahirkan.

    Perbuatan jahil sedemikian tiada bezanya dengan pemikiran jahil yang sedang tersebar luas pada hari ini melalui agensi-agensi luaran yang telah disebutkan di atas. Nabi telah berhasil membasmi praktik jahiliyah pembunuhan bayi perempuan. Oleh itu amat penting untuk kita memastikan supaya kita pula tidak terjebak dengan pembunuhan jiwa kaum wanita serta anak-anak dalam masyarakat kita.

    Sebagai permulaan, kita perlu mendidik dan menanamkan dalam diri anak-anak kita sikap adil serta sifat saling hormat-menghormati di antara lelaki dan perempuan, dengan menghindari sebarang perkataan atau perbualan yang bersifat patriarkis. Misalnya, usahlah kita berkata kepada mereka “Jangan nangis seperti perempuan” atau “Kalau nak jadi lelaki, mesti kuat. Tidak boleh lemah seperti perempuan.” dan sebagainya.

    Pendidikan awal akan menentukan cara pemikiran serta pemahaman yang akan mereka terap apabila dewasa kelak. Maka perlunya kita membantu mereka dalam proses tersebut dengan harapan membasmi ideologi-ideologi yang merosak seperti patriarkalisme.

    MENGENAI PENGARANG:
    Muhammed Shahril Shaik Abdullah ialah Pustakawan Bersekutu di Lembaga Perpustakaan Negara

  • KOMENTAR: Pengganasan – Mengapa Ia Tidak Lagi Terhad Kepada Lelaki Sahaja

    KOMENTAR: Pengganasan – Mengapa Ia Tidak Lagi Terhad Kepada Lelaki Sahaja

    Keterlibatan wanita dalam kegiatan pengganasan biasanya tertumpu di luar daripada bidang pertempuran seperti sebagai perantara dan pengumpul dana. Namun sejak kebelakangan ini wanita mula memainkan peranan barisan depan seperti membuat persiapan untuk melancarkan serangan pengganasan.

    Bagaimana gejala ini boleh timbul dan apakah faktor yang mendorong sesetengah wanita sanggup menceburkan diri dengan pengganasan secara langsung menjadi kupasan Chaula Rininta Anindya, penganalisis di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam, NTU.

    Peranan wanita dalam rangkaian pengganas di Indonesia sehingga ke hari ini telah ditentukan oleh hubungan persaudaraan yang terjalin melalui perkahwinan, dengan penglibatan mereka tertumpu kepada memenuhi keperluan logistik dan kewangan bagi tujuan pengganasan.

    Tetapi terdapat trend yang semakin meningkat di mana wanita mula mengambil peranan sebagai penggempur.

    Baru-baru ini, unit anti-pengganasan Indonesia, Detachment 88 (Densus 88) telah menangkap tiga wanita yang didakwa merancang untuk melancarkan serangan bom ke atas Istana Presiden Indonesia.

    Wanita-wanita itu – Dian Yulia Novi, Arida Putri Maharani dan Tutin Sugiarti – ada kaitan dengan rangkaian pengganas pimpinan Bahrun Naim yang berpangkalan di Solo. Bahrun Naim didakwa dalang siri serangan di Jakarta pada tahun lalu.

    Beberapa hari selepas mereka ditangkap, Densus 88 turut menahan Ika Puspitasari di sebuah masjid berhampiran rumahnya di Purworejo, Jawa Tengah.

    Novi dan Maharani merupakan isteri kepada Muhammad Nur Solihin yang dipercayai ketua sel pengganas itu. Novi telah merancang untuk melancarkan serangan bom nekad di Istana Presiden Indonesia.

    Maharani tahu tentang persediaan untuk melancarkan serangan itu dan telah membantu dalam pembiayaannya. Yang menariknya, Sugiarti telah memainkan peranan penting dalam mempengaruhi Novi untuk menjadi radikal walaupun Novi adalah isteri kepada ketua kumpulan itu.

    Wanita terakhir, Puspitasari, telah membuat persiapan untuk melancarkan serangan bom nekad di Bali pada malam Tahun Baru.

    Di dalam Jemaah Islamiyah (JI) sendiri, iaitu kumpulan pengganas paling terkenal di Indonesia, wanita sebelum ini hanya memainkan peranan sebagai perantara dan menghasilkan zuriat.

    Tujuannya adalah untuk meningkatkan hubungan dan menghasilkan para jihadi masa depan sebagai usaha untuk menambah bilangan anggota kumpulan itu. JI juga bergantung kepada wanita untuk mengumpul dana bagi tujuan pengganasan jihad.

    Sebagai contoh, Noralwizah Lee Binti Abdullah, seorang wanita keturunan Cina Sabah yang merupakan isteri kepada bekas komander operasi JI Hambali, yang dipercayai menjadi ketua akauntan JI.

    Ajaran Islam klasik tidak menggalakkan wanita mengambil peranan berperang. Tetapi, dengan kebangkitan kumpulan militan sebagai Daesh (ISIS), peranan wanita dalam melakukan tindakan pengganasan semakin berkembang.

    Dengan matlamat untuk mewujudkan sebuah negara Islam dengan apa jua cara sekalipun, IS terpaksa meluaskan peranan wanita dalam pertubuhan mereka dengan lebih melibatkan mereka dalam misi-misi pertempuran dan melakukan serangan-serangan nekad.

    IS telah menubuhkan Briged Al-Khansaa, sebuah unit wanita yang melakukan rondaan di sekitar bandar-bandar seperti Raqqa dan Mosul untuk menguatkuasakan nilai-nilai Islam yang berlandaskan tafsiran fundamentalis ISIS. Wanita-wanita juga berjuang di barisan hadapan untuk ISIS di Libya.

    Peranan lebih besar dalam pertempuran dan perancangan yang kian dimainkan wanita dalam sel keganasan Indonesia menggambarkan pengaruh dan rangkaian sekutu-sekutu ISIS di Asia Tenggara yang semakin meluas.

    Kumpulan pengganas Mujahideen Indonesia Timur (MIT), yang mengikrarkan taat setia kepada ISIS, telah menjalankan latihan senjata untuk anggota wanitanya termasuk isteri komander MIT. Kita boleh menjangkakan lebih banyak pembabitan secara langsung wanita dalam kegiatan pengganasan pada masa depan.

    Dengan menggunakan wanita sebagai pengebom nekad, rangkaian-rangkaian pengganas meraih kelebihan dari segi taktikal dan strategi.

    Wanita tidak dianggap agresif atau akan melakukan perbuatan keganasan, jadi mereka boleh melindungi diri daripada dikesan dengan lebih mudah. Wanita juga boleh menyembunyikan senjata atau bom dengan lebih baik di dalam pakaian mereka.

    Ini menimbulkan masalah di pusat-pusat pemeriksaan kastam, di mana bilangan pegawai kastam wanita yang terhad untuk melakukan pemeriksaan fizikal yang ketat boleh memberi pengebom nekad wanita peluang untuk melancarkan serangan.

    Yang jelas, langkah merekrut wanita telah menambah bilangan pejuang di dalam rangkaian pengganas. Tetapi ini mungkin juga menandakan bahawa kumpulan-kumpulan berkenaan kekurangan pejuang-pejuang lelaki dan terdesak untuk mendapatkan lebih ramai rekrut.

    Idea bahawa wujudnya pengebom nekad wanita sering dianggap sensitif dan boleh mencetuskan reaksi berlebihan dan yang dibesar-besarkan. Tetapi reaksi berlebihan daripada orang ramai dan pemerintah adalah sesuatu yang diinginkan dan dieksploitasi kumpulan-kumpulan pengganas.

    Agensi-agensi yang memerangi pengganasan perlu memberi lebih banyak perhatian kepada peranan wanita yang semakin berubah-ubah dalam kegiatan pengganasan di Indonesia untuk mengenal pasti pendekatan terbaik dalam menangani pelibatan wanita dalam pengganasan.


    MENGENAI PENULIS:
    Chaula Rininta Anindya adalah pembantu penyelidik Agama dalam Program Indonesia di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang. 

     

    Source: BeritaMediacorp

  • Zuraidah Abdullah Terima Anugerah Jauhari 2016

    Zuraidah Abdullah Terima Anugerah Jauhari 2016

    Penolong Pesuruhjaya Kanan yang juga Pengerusi Yayasan Warisan Melayu, Cik Zuraidah Abdullah dijulang sebagai penerima Anugerah Jauhari 2016.

    Anugerah Jauhari Harapan 2016 pula diberikan kepada juara silat dunia, Sheik Farhan Sheik Alau’ddin.

    Kedua-duanya menerima anugerah akhbar Berita Harian itu daripada Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam satu majlis penyampaian di Hotel Furama Riverfront yang sedang berlangsung malam tadi (30 Ogos).

    Wanita pertama yang menyandang jawatan Penolong Pesuruhjaya Kanan – jawatan ketiga tertinggi dalam Pasukan Polis Singapura.

    Lulusan universiti Melayu pertama dan wanita keenam yang menyertai pasukan polis melalui program kemasukan langsung.

    Kini, Cik Zuraidah Abdullah, 54 tahun, adalah wanita ketiga selepas Speaker Parlimen, Cik Halimah Yacob dan pereka tari, Cik Som Said, menjadi penerima anugerah berprestij itu, yang mengiktiraf sumbangan dan pencapaian cemerlang individu Melayu/Islam setempat.

    Atas kegigihannya selama 30 tahun dalam pasukan polis, Cik Zuraidah dinaikkan pangkat untuk memegang jawatan-jawatan kanan.

    Beliau kini dipinjamkan kepada Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) sebagai komander kawalan utama.

    “Dengan memberikan yang terbaik, masyarakat akan percaya pada kita. Kepercayaan masyarakat sangat penting kerana tanpa kepercayaan mereka ia akan membuat pekerjaan kita susah dalam mencegah jenayah dan juga pengganasan,” ujar beliau.

    Tidak setakat cemerlang dalam kerjaya, Cik Zuraidah juga menabur bakti kepada masyarakat melalui Yayasan Mendaki dan Yayasan Warisan Melayu.

    Beliau mengatakan lagi: “Saya harap kerja-kerja masyarakat saya akan memberangsang lebih ramai lagi untuk tampil ke hadapan dan menghulur tangan, membantu kepada badan-badan bantu Melayu Singapura.”

    Anugerah Jauhari disampaikan buat tahun ke-18 malam tadi (30 Ogos).

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Siapa Kata Wanita Tidak Boleh Race Motor?

    Siapa Kata Wanita Tidak Boleh Race Motor?

    Penglibatan wanita di dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2016 bukanlah hanya terbatas kepada gadis litar yang memayungi para pelumba di grid permulaan sahaja. Semakin hari sukan yang dahulunya dimonopoli oleh lelaki ini semakin diterap oleh penglibatan penunggang wanita yang kini mampu diterima ramai akan kemampuan mereka.

    Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim 2016 ini menyaksikan pertambahan kepadaningkatan jumlah penunggang wanita kepada empat berbanding hanya dua pada musim lepas. Siti Norafizah Mohamad, Siti Fatimah Husna Muslim, Nasha Edziera Bahauddin dan Nuraina Halisya Hamirudin, kini dapat disaksikan beraksi dalam kelas perlumbaan terbuka.

    Mungkin ramai pembaca lebih biasa mendengan nama Fifie atau  Siti Norafizah yang telah mula beraksi dalam kejuaraan Cub Prix sejak tahun 2011. Fifie yang kini berusia 21 tahun telah berjaya menggugat kemampuan pelumba lelaki sejak mula berkecimpung dalam kategori Wira dan beralih ke kelas Pro-AM. Fifie kini menunggang untuk pasukan BHPetro Dash Tabuan Racing dalam kelas CP115 bermula musim ini.

    Nasha

    Nasha Edziera Bahauddin mula menyertai kejohanan ini sejak penghujung tahun 2009. Bermula dalam kelas Wira, gadis ini beraksi pula dalam kategori Pro-Am dan mampu menaiki dua podium dalam kategori tersebut pada musim lepas.
    Musim kali ini memperlihatkan dua lagi pelumba, Siti Fatimah Husna Muslim dan Nuraina Halisha Hamirudin. Siti Fatimah membawa cabaran pasukan PETRONAS Yamaha-CKJ di dalam kategori CP115 manakala Nuraina pula merupakan pelumba bersendirian dalam kategori Wira.

    Siti Fatimah

    Aina sedang beraksi

    Mungkin satu hari nanti kita kan menyaksikan jejaka litar pula memayungi putri putri litar kita ini……?

     

    Dari kanan: Aina, Nasha, Fatimah dan Fifie

     

    Source: http://careta.my