Tag: yuran

  • Jemaah Haji Dan Umrah Kali Kedua Perlu Bayar Yuran Visa S$700

    Jemaah Haji Dan Umrah Kali Kedua Perlu Bayar Yuran Visa S$700

    Bermula bulan Oktober ini, anda yang ingin mengerjakan haji dan umrah untuk kali kedua, akan dikenakan yuran 2,000 riyal atau sekitar S$700.

    Ini merupakan peraturan baru berhubung semakan ke atas yuran visa haji dan umrah.

    Ini bermakna, kos mengerjakan haji dijangka menjadi jauh lebih tinggi bagi masyarakat muslim, berbanding sekarang.

    Langkah itu juga dijangka akan menjejas agensi-agensi pelancongan muslim tempatan, di mana umrah menjadi tukikan perniagaan mereka.

    Peraturan baru itu diumumkan oleh Majlis Menteri-Menteri Arab Saudi yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Putera Mahkota Muhammad Bin Naif.

    LANGKAH BERTUJUAN TINGKATKAN HASIL BUKAN MINYAK

    Menurut Arab News, kabinet negara itu membuat keputusan tersebut berdasarkan saranan Kementerian Kewangan serta Kementerian Ekonomi dan Perancangan bagi meningkatkan hasil bukan minyak di negara itu.

    Ia akan berkuatkuasa mulai 2 Oktober ini.

    Para jemaah umrah dan haji kali pertama bagaimanapun tidak akan dikenakan yuran visa berkenaan.

    Oleh kerana kebanyakan orang melaksanakan ibadah haji sekali seumur hidup, semakan ini dijangka akan lebih menjejas para jemaah umrah.

    Para jemaah haji menjalankan ibadah Sa’i di Makkah. (Gambar hiasan: AFP/MOHAMMED AL-SHAIKH

    HINGGA 50% MERUPAKAN JEMAAH UMRAH BERULANG

    Dua GSA yang kami hubungi berkata jemaah berulang membentuk 20 hingga 50 peratus daripada keseluruhan jemaah mereka yang melaksanakan umrah setiap tahun.

    Pengurus Besar Halijah Travels, Encik Haffidz Abdul Hamid berkata: “Bagi Haji saya rasa, rata-rata yang hendak pergi, 90 peratus belum pergi Haji. Kalau yang dah pergi Haji pun atas sebab-sebab tertentu dibolehkan oleh MUIS untuk mengerjakan Haji sekali lagi. Haji tidak berapa terjejas sangat. Umrah saya rasa mugkin terjejas.

    “Tetapi bagi Umrah, bilangan yang pergi buat kali kedua, ketiga dan seterusnya saya rasa mungkin ada jejas juga – berapa banyak kita tidak pasti tetapi saya rasa kalau kita buat anggaran mungkin menjejas juga niat orang yang melaksanakannya.”

    HIKMAH DI SEBALIK PERATURAN BARU?

    Sebahagian GSA berkata, langkah terbaru ini memberi keyakinan kepada jemaah untuk melaksanakan ibadah mereka.

    “Ini menyenangkan. Maknanya jemaah itu kalau dia sudah pergi sekali, dia hendak pergi dua kali, dia yakin bahawa ia sudah dipastikan, mendapat kelulusan kerajaan Arab Saudi. Dia bayar 2,000 riyal dan bayar dengan yakin.

    “Bagi saya, saya syorkan para jemaah umrah sekarang ini kerana ada peraturan umrah kedua, mereka perlu bayar, lakukanlah umrah yang pertama itu dengan baik, dengan sempurna, dengan teliti”, ujar Pengarah Urusan Shahidah Travel & Tours, Ayoob Angullia.

    Jemaah haji berdoa di depan Kaabah. (Gambar: AP/Mosa’ab Elshamy)

    VISA S$700 AGAK TINGGI

    Bagaimanapun Encik Haffidz berpendapat, yuran visa S$700 yang dikenakan agak tinggi, yang akan menyebabkan kos pakej meningkat 20 peratus bagi jemaah.

    Harga pakej umrah sekarang ini adalah sekitar S$4,000.

    “Saya rasa ini akan menjejas dari segi kos untuk jemaah yang ingin lakukan umrah kerana ramai jemaah pergi umrah buat kali kedua dan seterusmya, mungkin menjangkau 50 peratus setiap tahun.

    “Kalau kita tambah lagi ahli keluarga ikut sama, selalunya umrah ini jarang pergi seorang, pergi dengan suami, isteri, anak-anak dan sebagainya. Mungkin saya rasa 20-30 peratus tidak akan mengerjakan umrah lagi,” ujar Encik Haffidz lagi.

    Yuran visa baru itu juga dijangka akan meningkatkan kos operasi GSA yang menghantar para pegawainya untuk mengiringi para jemaah sepanjang tahun.

    BEBAN KOS BAGI PEGAWAI HAJI/UMRAH

    “Yang timbul masalah adalah GSA kerana mereka perlukan pegawai untuk pergi umrah berapa kali dalam setahun kerana mereka bertugas untuk mengetuai rombongan.

    “Ini faktor kos bagi agensi. Mereka ada pilihan, samada bayar 2,000 riyal Saudi untuk pegawai pergi setiap kali atau mereka membayar 3,000 riyal untuk 6 bulan visa kemasukan berbilang kali,” tambah Encik Ayoob.

    Yuran visa bagi umrah dan haji itu adalah sebahagian daripada beberapa semakan ke atas struktur yuran visa bagi para jemaah, ekspatriat dan pelancong yang memasuki Arab Saudi.

    Semakan lain ke atas warga asing termasuk yuran kemasukan berbilang kali sebanyak 3,000 riyal bagi tempoh 6 bulan, 5,000 riyal bagi tempoh setahun dan 8,000 riyal untuk 2 tahun.

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Faisal Manap Saran Agar Kemansuhan Yuran Peperiksaan Peringkat Nasional Diperluas Kepada Pelajar Sekolah Swasta, Privet Dan Pelajar Sambilan Politeknik, ITE

    Faisal Manap Saran Agar Kemansuhan Yuran Peperiksaan Peringkat Nasional Diperluas Kepada Pelajar Sekolah Swasta, Privet Dan Pelajar Sambilan Politeknik, ITE

    By MP for Aljunied GRC, Muhamad Faisal bin Abdul Manap
    [Delivered in Parliament on 4 Mar 2015]

    Puan,

    Belanjawan 2015, pada pandangan saya, membawa mesej perubahan pada pendekatan pemerintah dalam usaha untuk memperbaiki dan mendatangkan manfaat kepada rakyat Singapura. Dapat dihayati bahawa pendekatan pemerintah pada belanjawan kali ini lebih cenderung kepada pendekatan hala kiri atau pendekatan yang lebih memberatkan aspek-aspek keseimbangan sosial dengan memberi lebih fokus kepada pengagihan sumber-sumber negara kepada segenap lapisan masyarakat Singapura. Peralihan ini adalah sesuatu yang memberangsangkan. Seperti yang diucapkan oleh rakan saya Puan Sylvia Lim, Belanjawan kali ini lebih memberi penekanan kepada pelaburan sumber manusia serta jaringan keselamatan sosial. Penekanan yang sebegini amat diperlukan memandangkan keadaan jurang pendapatan dan pemilikan harta di Singapura yang membimbangkan.

    Puan,

    Dalam ucapan ini, saya ingin menyentuh 3 aspek atau perkara yang telah disampaikan oleh Menteri Kewangan Encik Tharman semasa ucapan belanjawan beliau, iaitu (i) Tabung Simpanan Pekerja atau CPF, (ii) Skim Ihsan Senja dan (iii) Kemansuhan Yuran Peperiksaan Nasional dan yuran peperiksaan Politeknik dan ITE.

    (i) Tabung Simpanan Pekerja atau CPF

    Parti pekerja ingin mengutarakan dua usulan bagi skim CPF.  Usulan yang pertama adalah menurunkan usia kelayakkan bagi pengeluaran wang dari akaun persaraan atau Payout Eligibilty Age, dulu yang dikenali sebagai Draw-Down Age. Buat masa sekarang, para pesara akan menerima pembayaran bulanan dari akaun persaraan CPF apabila mencapai usia 65 tahun, bermula dari 2018. Kami ingin mencadangkan agar had usia pengeluaran ini dikurangkan daripada usia 65 kepada 60 tahun. Kami percaya ini akan memberi keringanan kepada para pencarum jika mereka memilih untuk membuat pengeluaran bulanan lebih awal dari akaun persaraan mereka atas sebab-sebab yang tertentu.

    Usulan kedua Parti Pekerja bagi skim CPF adalah sesuatu yang pernah disuarakan sebelum ini iaitu untuk memisahkan Usia Kelayakan bagi pengeluaran wang dari akaun persaraan atau Payout Eligibility Age daripada usia persaraan. Ini adalah supaya usia yang membolehkan pengeluaran wang dari akaun persaraan akan terus kekal dan tidak terjejas walaupun usia persaraan meningkat. Kami mencadangkan sedemikian kerana sebahagian besar masyarakat Singapura merasa kurang senang pada perubahan had usia kelayakan bagi pengeluaran wang dari akaun persaraan yang sentiasa berubah dan meningkat. Dengan mengekalkan had usia kelayakan ini, ia akan memberi para pencarum lebih jaminan bila mereka boleh mengeluarkan wang dari CPF justeru dapat membuat perancangan yang sepatutnya.

    (ii) Skim Ihsan Senja

    Puan, perkara kedua yang saya ingin sentuh adalah tentang Skim Ihsan Senja. Skim ini adalah satu initiatif yang baik dan memang amat diperlukan. Skim ini membolehkan golongan warga Singapura yang berusia 65 tahun ke atas yang berpendapatan 20 hingga 30 peratus paling bawah menikmati sokongan kewangan seumur hidup.

    Puan, keprihatian saya tentang skim ini adalah tentang proses implementasinya. Proses implementasi adalah satu aspek penting yang akan menentukan betapa efektifnya sesebuah skim dalam mencapai tujuan utamanya. Menerusi pengamatan dan juga pengalaman saya dalam bidang kerja sosial, kriteria dan proses penilian yang terlalu ketat ada masanya boleh menyebabkan kes-kes yang tulen dan memerlukan terlepas peluang untuk mendapatkan bantuan.

    Seperti yang diketahui, tujuan utama skim ini adalah untuk meringankan bebanan kewangan yang dihadapi oleh warga emas yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan Singapura serta untuk mencerminkan nilai kita sebagai sebuah masyarakat yang inklusif. Oleh itu saya harap pemerintah dapat melaksanakan skim Ihsan Senja ini dengan hati dan minda yang terbuka, fleksible dan penuh keihsanan agar skim ini dapat memberi kemanfaatan yang terbaik kepada warga emas kita.

    Puan, sepekara lagi tentang Skim ini adalah mengenai cara pembayarannya. Seperti yang dikatakan oleh Menteri Kewangan, pembayaran kepada warga emas yang layak akan dilakukan tiga bulan sekali. Saya berpendapat agar pembayaran dapat dilakukan sebulan sekali agar lebih mudah bagi penerima untuk mengurus bil-bil dan perbelanjaan bulanan mereka.

    (iii) Kemansuhan yuran Peperiksaan Nasional  dan yuran Peperiksaan Politeknik/ITE

    Perkara ketiga yang ingin saya ketengahkan adalah tentang kemansuhan yuran peperiksaan nasional dan yuran peperiksaan politeknik dan ITE. Saya mengalu-alukan kemansuhan yuran-yuran Peperiksaan Nasional seperti PSLE, GCE Peringkat ’N’, ‘O’ dan ‘A’ dan juga yuran bagi peperiksaan Politeknik serta ITE seperti yang diumumkan. Kemansuhan yuran peperiksaan nasional ini merangkumi setiap pelajar Singapura yang menuntut di sekolah pemerintah sementara kemansuhan yuran peperiksaan Politeknik dan ITE diberikan kepada pelajar-pelajar sepenuh masa.

    Disini, saya ingin meminta agar Kementerian Pedidikan membuat pertimbangan untuk melanjutkan kemansuhan yuran-yuran peperiksaan ini kepada pelajar-pelajar sekolah swasta dan juga kepada pelajar-pelajar politeknik dan ITE yang membuat pengajian secara sambilan.

    Puan, pada tahun 2013 Kementerian Pendidikan telah mengambil keputusan untuk melanjutkan Skim Edusave kepada setiap pelajar-pelajar Singapura yang berusia 7 hingga 16 tahun. Keputusan ini diambil selepas 20 tahun Skim Edusave diperkenalkan iaitu pada 1993. Dalam masa 20 tahun ini, ramai pelajar-pelajar yang tidak menuntut di sekolah-sekolah pemerintah atau awam telah terlepas peluang untuk meraih manfaat dari skim ini.

    Menteri Negara bagi Pendidikan, Puan Sim Ann, dalam ucapan beliau semasa perbincangan Pindaan rang undang-undang Skim Endowmen dan Simpanan  Pendidikan telah menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan telah menjalankan kajian selepas debat COS 2013 untuk melanjutkan Skim Edusave dan setelah pertimbangan yang teliti, Perdana Menteri telah mengumumkan lanjutan sumbangan Edusave kepada semua rakyat Singapura yang berumur tujuh hingga 16 di Rapat Hari Kebangsaan pada tahun 2013.

    Puan, saya ingin meminta agar Kementerian Pendidikan dapat mengadakan kajian dan penelitian yang sama dalam perkara ini iaitu kemungkinan melanjutkan kemansuhan yuran peperiksaan nasional bagi setiap pelajar-pelajar Singapura, tidak terhad kepada pelajar-pelajar yang menuntut di sekolah pemerintah sahaja, serta mengambil langkah yang sama juga terhadap pelajar-pelajar politeknik dan ITE yang membuat pengajian secara sambilan.

    Puan, sepekara lagi yang saya ingin cadangkan adalah agar Kementerian Pendidikan turut membuat pertimbangan untuk melanjutkan skim FAS kepada pelajar-pelajar Singapura yang menuntut di sekolah-sekolah swasta atau privet. Saya rasa adalah penting bagi setiap skim bantuan pendidikan pemerintah dihulurkan kepada kesemua pelajar-pelajar Singapura kerana setiap daripada pelajar-pelajar ini apabila dewasa kelak akan menjadi warga yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

    Puan, akhirkata, saya harap pemerintah dapat membuat penilaian yang serius tentang cadangan-cadangan yang telah diutarakan agar skim-skim yang disebutkan diatas akan mendatangkan lebih maanfaat kepada masyarakat Singapura secara keseluruhannya, ini sesuai dengan objektif pemerintah untuk membina sebuah masyarakat yang saksama dan inklusif.

    Terima Kasih Puan.