Akhirnya Erra Fazira diceraikan dengan talak satu oleh suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam, Selangor, sebentar tadi.
Mereka bercerai di hadapan Hakim Syarie, Mohammad Adib Husain yang kemudian mengesahkan lafaz yang dibuat oleh Engku Emran itu selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk berpisah secara baik.
Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chik, 40, kelihatan tenang manakala Engku Emran, 39, sebak ketika melakukan lafaz tersebut.
Pasangan itu terdahulu tiba di mahkamah secara berasingan kira-kira pukul 11.45 pagi. Erra ditemani pelakon Erma Fatima dan Datin Umie Aida.
Erra dan Emran berkahwin pada 25 Oktober 2007 dan dikurniakan seorang anak perempuan Engku Aleesya yang kini berusia lima tahun.
Sebelum mengahwini Engku Emran, Erra juga pernah berkahwin dengan penyanyi Yusry Abdul Halim pada 15 Jun 2003 dan bercerai tiga tahun kemudian. Hasil perkahwinan pertama itu mereka tidak mempunyai cahaya mata.
Sumber: Myartis