Malaysia Akan Bentangkan Kertas Putih Untuk Memperincikan Ancaman Dari IS

KUALA LUMPUR: Ancaman pengganasan di Malaysia telah mencapai tahap baru di mana terdapat hubungan di antara militan asing dengan tempatan melalui media sosial yang telah membawa kepada pembiayaan dan dana untuk aktiviti keganasan yang lebih besar.

Kini, militan asing cuba mempengaruhi parti politik tempatan melalui ahli-ahli mereka.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, dijangka membentangkan Kertas Putih di Dewan Rakyat hari ini, yang akan memperincikan “ancaman sebenar” kumpulan militan Negara Islam (IS) dan lain-lain di rantau ini ke atas Malaysia, menurut laporan The Star semalam.

Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Kertas Putih itu akan menyentuh mengenai langkah yang dicadangkan bagi memerangi dan menghalang keganasan.

“Ancaman itu adalah benar dan kami berharap ia (Kertas Putih) akan mewujudkan lebih kesedaran di antara kedua-dua belah pihak yang mempunyai jurang politik dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

“Jika mereka (militan IS) boleh membunuh umat Islam, mereka juga akan membunuh orang bukan Islam. Rakyat mesti sedar (mengenai hakikat ini) dan langkah berjaga-jaga perlu diambil,” kata Dr Ahmad Zahid lagi.

Dr Ahmad Zahid berkata Datuk Najib akan juga menyentuh mengenai penglibatan warga Malaysia dalam sel pengganas dan perlunya meminda undang-undang sedia ada atau memperkenalkan undang-undang baru bagi memerangi pengganasan.

Sambil menegaskan bahawa kementeriannya telah mengkaji pelbagai pilihan, beliau menambah:

“Sama ada kita memperkukuhkan tujuh undang-undang sedia ada dengan meminda fasalnya atau mencadangkan Akta Anti Pengganasan sebagai langkah pencegahan.

“Sekiranya diperkenalkan, Akta baru itu, akan melengkapi Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Akta Pencegahan Jenayah,” jelasnya lagi.

Kerajaan Malaysia pernah membentangkan Kertas Putih mengenai kumpulan Al-Ma’unah dan kejadian Baling melibatkan penyokong kumpulan agama.

“Kali ini, ancaman asing adalah benar dan ancaman daripada dalam juga adalah benar,” tekan Dr Ahmad Zahid lagi. – The Star.

 

Source: www.beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *