Suhaimi Rafdi Letak Jawatan Sebagai CEO Cathay Organisation Holdings

Encik Suhaimi Rafdi akan meletak jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) Cathay Organisation Holdings pada 20 Februari ini, enam tahun selepas memegang jawatan itu.

Penerima Anugerah Jauhari Berita Harian itu memberitahu akhbar ini semalam beliau ingin melakukan “sesuatu yang lebih bermakna”.

“Kerjaya baru saya ada kaitan dengan kerja-kerja kemasyarakatan. Tetapi buat masa ini saya ingin berehat, dan bakal melakukan ibadah umrah,” ujarnya, yang sejak 2012 membantu Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, di sesi bertemu penduduk (MPS) beliau di GRC Tampines.

Ketika ditanya, Encik Suhaimi, 47 tahun, enggan mendedahkan rancangan beliau selanjutnya.

Semangat menyumbang kepada masyarakat berputik dalam diri Encik Suhaimi setelah beliau aktif dalam kerja kemasyarakatan, termasuk menjadi mentor seorang belia di bawah program Mendaki Sense, cabang latihan Yayasan Mendaki, dan pembimbing program keusahawanan sosial kendalian Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Beliau, yang memulakan kerjayanya sebagai pengurus pelatih restoran makanan segera KFC, juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kelab Masyarakat (CCMC) Tampines West.

Encik Suhaimi dipikat Cathay pada 1996 dan menyandang jawatan CEO sejak 2008, menyelia semua perniagaan Cathay, termasuk pengurusan pawagam, pengedaran filem dan penganjuran acara.

Di bawah kepimpinannya, Cathay berkembang ke ke Timur Tengah, Afrika Utara, benua kecil India dan Indonesia.

Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Cathay, Cik Choo Meileen, akan mengambil alih tugas beliau.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *