Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) Akan Dipertingkat

Beberapa peningkatan dan pembaikan dalam Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) akan dilaksanakan sepanjang tiga tahun mulai tahun ini hingga 2017.

Antaranya termasuk pengumpulan mata yang fleksibel, masa kursus dan medium penyampaian kursus yang pelbagai variasi, serta menaik taraf sistem portal dan pangkalan data ARS.

Demikian menurut Mufti Negara, Dr Mohamed Fatris Bakaram, dalam majlis menjunjung budi bagi menghargai sumbangan para anggota Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB), yang turut dihadiri oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, di Akademi Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) hari ini.

Menurut Mufti, skim yang diperkenalkan sedekad lalu untuk memperkasa asatizah dengan ilmu pengetahuan itu, perlu dipastikan terus berdaya saing.

Beliau berharap ARS akan menjadi satu skim yang boleh dijadikan model di rantau ini dan di benua lain. Menurut penelitian beliau, skim itu telah mencapai ke tahap sekarang ini dengan kesungguhan anggota-anggota ARB.

Tambah Mufti: “Cetusan untuk menginstitusikan skim ARS ini, merupakan satu keputusan yang sangat tepat. Ia dilihat memberi manfaat yang sangat besar, bukan hanya untuk golongan kepimpinan agama sahaja, (tetapi juga) para asatizah yang merupakan kumpulan sasaran. Malah manfaatnya dapat diraih juga oleh seluruh masyarakat Singapura.”

Pengerusi ARB, Ustaz Haji Ali Mohamed, juga berpendapat skim itu perlu diperbaiki dari masa ke masa sesuai dengan keperluan. Beliau berharap dalam jangka panjang, skim ARS boleh memainkan peranan besar dalam membangunkan potensi asatizah setempat.

Sehingga bulan ini, lebih 1,750 asatizah berdaftar di bawah skim ARS.

Dr Mohammad Hannan Hassan, Naib Dekan Akademi MUIS, juga berharap peningkatan terhadap ARS akan menjadikannya lebih berwibawa dan dapat terus memperkasa para asatizah.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *