Mufti Besar Mesir Sheikh Dr Shawki Allam Akan Kunjungi Singapura Sabtu Ini

MUFTI Besar Mesir, Sheikh Dr Shawki Allam, akan berada di Singapura selama empat hari dari Sabtu ini bagi Program Pelawat Unggul (DVP) anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Sheikh Dr Shawki mengunjungi Singapura atas undangan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, yang menemui beliau semasa menteri itu mengunjungi Mesir November lalu.

Ini kali pertama ketua agama itu, yang dilantik menjadi Mufti ke-19 Mesir pada 2013, mengunjungi Singapura dan rantau ini.

Sheikh Dr Shawki seorang pemimpin Islam dan ulama yang dihormati dan dikenali kerana dedikasi dan usahanya ke arah keamanan menerusi pemahaman masyarakat yang pelbagai dan berbeza.

Beliau, yang dilahirkan pada 1961, merupakan Mufti Besar Mesir pertama dilantik oleh Majlis Ulama Kanan Universiti Al-Azhar.

Jawatan Mufti Besar sebelum ini dilantik oleh presiden Mesir.

Dalam DVP keempat itu, Sheikh Dr Shawki akan menyampaikan ceramah dan berdialog bersama asatizah, pelajar dan pemimpin agama Islam serta bukan Islam dan orang awam berkaitan tema ‘Membangunkan Masyarakat Harmoni dalam Dunia Pluralistik’.

Beliau akan juga melakukan kunjungan muhibah ke atas Presiden Tony Tan Keng Yam dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Istana serta menyertai jamuan tengah hari yang dihos Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

“Beliau antara Mufti yang agak muda secara relatif di Mesir. Beliau mempunyai pandangan progresif dan menarik mengenai Islam, mengenai Muslim di dunia Islam, termasuk mengenai masalah pelibatan wanita, tentang kebebasan bersuara,” kata Naib Dekan Akademi Muis, Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan, dalam satu taklimat media di pejabat Muis semalam.

Kemuncak lawatan Sheikh Dr Shawki ialah Ceramah Muis yang akan disampaikannya dan dipengerusikan Dr Yaacob.

Sekitar 500 Muslim dan bukan Muslim dijangka menghadiri ceramah pada 26 Januari ini dari 8 hingga 10 malam di Hotel Orchard.

Orang ramai yang berminat menyertai ceramah itu perlu mendaftar di laman www.muis.gov.sg/cms/muisacademy.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *