Ezad Exist Mengaku Bersalah Miliki Dadah Syabu

GOMBAK: Bekas vokalis kumpulan Exist iaitu Ezad Lazim (gambar) mengaku bersalah atas tuduhan memiliki dadah jenis syabu seberat 0.30 gram pada 19 November tahun lalu.

Pengakuan Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohamad Lazim dibuat di hadapan Majistret Nurul Izzah Hassan Basri di Mahkamah Majistret Selayang di sini, semalam, lapor MStar Online semalam.

Pertuduhan pula dibacakan oleh pendakwa raya, Encik Arunjothy, dan Ezad tidak diwakili peguam.

Bagaimanapun Majistret Nurul Izzah menetapkan 10 Februari ini bagi menjatuhkan hukuman bagi kesalahan tersebut.

Siasatan kes tersebut dibuat mengikut Akta Dadah Berbahaya.

Ezad yang berasal dari Alor Setar, Kedah, ditangkap berhampiran Kompleks Selayang Mall kira-kira 1.30 petang pada 19 November tahun lalu dengan dia menggenggam satu peket syabu pada tangan kirinya.

Hasil pemeriksaan air kencing penyanyi itu juga mendapati dia positif dadah jenis syabu.

Penyanyi itu sebelum ini pernah menyertai Exist pada 1995, dan telah merakam sebanyak enam album bersama kumpulan tersebut sebelum meneruskan kerjaya solo.

Ezad juga pernah membintangi beberapa filem terbitan Metrowelth International Group (MIG) termasuk Mami Jarum bersama aktres Zahida Rafik.

Ezad, dalam satu temu bual dengan hos rancangan Live! di Astro, Datuk Aznil Nawawi, baru-baru ini, mengakui salah pergaulan dan tekanan perasaan menjadi punca dia terjerumus dalam kancah dadah.

Ezad berkata kegagalan bercinta dan kesedihan setelah keluar daripada Exist sebelum berkahwin dahulu menyebabkan dia terdedah kepada pergaulan yang rosak.

Katanya, setelah bergelar suami, dia berazam meninggalkan tabiat buruknya.

Namun, ia sukar dilakukan.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *