Jeneral pesara Amerika Syarikat, Encik John Allen, yang mengetuai utusan khas Perikatan Global bagi menentang ISIS, memuji golongan cendekiawan Muslim Singapura kerana mengambil langkah pencegahan dengan mendekati masyarakat menentang fahaman ISIS.
“Terdapat penekanan yang tinggi dalam cara Singapura bekerjasama dengan masyarakatnya untuk mendekati segmen tertentu, terutama golongan muda, dengan mengambil langkah-langkah pencegahan dalam masyarakat bagi membasmi kepercayaan ISIS.
“Tidak banyak negara secanggih Singapura dan saya dapati ia (cara mendekati masyarakat) sangat baik, dengan cara kerjasama para pemimpin,” katanya dalam sidang akhbar di Kedutaan Amerika Syarikat di sini semalam.
Encik Allen berada di sini sehari sebagai siri lawatan di rantau ini untuk menjelaskan usaha yang dilakukan Perikatan Global bagi menentang ISIS.
Sebelum ini beliau mengunjungi Kuala Lumpur dan Jordan dan hari ini beliau ke Australia bagi misi yang sama.
Menurutnya, dalam lawatannya ke Singapura semalam, beliau antara lain sempat menemui dan berbincang dengan para pegawai Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) mengenai isu dan pergolakan ISIS.
“Para cendekiawan dan pemimpin Muslim di sini telah menyusun dengan cara yang penting sebagai suatu tanggungjawab bagi menghuraikan masalah ini.
“Itu merupakan satu mesej yang sungguh kuat,” ujarnya semasa menjawab soalan Berita Harian.
Menurut Encik Allen lagi, para pemimpin Islam di sini telah membuat kajian mengenai radikalisme dan turut berkongsi memberi nasihat dan panduan kepada negara-negara lain dengan kajian yang dilakukan di sini.
“Mereka juga membantu golongan yang menjadi radikal dengan sendiri agar pulang ke pangkal jalan,” tambahnya.
Encik Allen berkata bahawa tidak seperti kumpulan Al-Qaeda, kumpulan ISIS lebih tersusun dan untuk menentangnya akan mengambil masa bukan harian atau mingguan tetapi bertahun atau mungkin berdekad.
Namun menerusi laporan-laporan, beliau mendapati semakin ramai pejuang militan ISIS menjadi semakin hampa dan mahu pulang semula ke negara mereka.
Encik Allen berkata, beliau memahami bahawa perjuangan ISIS bertentangan dengan kepercayaan Islam dan doktrin Al-Quran dan Hadis.
“Ia bukan negara Islam tetapi mereka mendakwa demikian. Namun mereka yang bodoh dan terpengaruh menerusi Internet mahu mengaitkan diri dengan mereka (ISIS),” kata Encik Allen.
Menurutnya, buat masa ini sebanyak 62 negara termasuk Singapura telah menyertai Perikatan Global bagi menentang ISIS.
Source: http://beritaharian.sg