Peniaga Barangan Melayu Khuatir Ditenggelami Arus Pembaharuan Paya Lebar

Dalam masa beberapa tahun akan datang, kawasan Paya Lebar akan dibangunkan menjadi sebuah hab komersil di luar pusat bandar.

Meskipun terdapat banyak manfaatnya, ada juga yang khuatir tentang nasib para peniaga kecil di sana, terutamanya yang mengusahakan barang-barang tradisional Melayu. Apakah mereka akan ditenggelami arus pembaharuan atau sebaliknya?

Bangunan-bangunan baru yang mengubah wajah kawasan Paya Lebar menandakan arus pembangunan pesat yang tidak dapat dielakkan.

Bangunan yang terbaru adalah Paya Lebar Square, yang dibuka kepada orang ramai akhir tahun lepas. Terletak bersebelahan stesen MRT Paya Lebar, bangunan 13 tingkat itu menempatkan ruang pejabat dan beli-belah seluas lebih 500,000 kaki persegi.

Tidak jauh dari situ, sebuah lagi pusat beli-belah, One KM, pula dibuka pada November lalu.

Seorang pengunjung, Cik Nur Fatin Joffri, berkata: “Ini macam satu peningkatan untuk Geylang Serai. Ia semestinya lebih untuk orang-orang seperti saya.”

Pembangunan semula estet Paya Lebar adalah sebahagian daripada Pelan Induk Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) bagi kawasan Paya Lebar Central.

Mengulas lanjut, Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Pertahanan, Dr Mohamad Maliki Osman, berkata: “Kita telah melakarkan strategi di mana kita mahu memperluaskan, mengembangkan pusat-pusat luar bandar… supaya kita dapat mengurangkan kesesakan dan kesibukan kawasan pusat bandar.”

Bagaimanapun, beberapa bangunan lama terpaksa dirobohkan bagi memberi laluan kepada yang baru. Hotel Lion City dan Panggung Hollywood antara yang pertama dirobohkan.

Sementara itu, Tanjong Katong Complex yang terletak bertentangan hanya menanti ‘tarikh luputnya’ pada tahun 2022.

Seorang pengunjung, Encik Mohd Ali Samad, berkata: “Memang kehilangan besarlah. Ini satu-satunya bangunan ‘legenda’.”

Cik Latifah Mohamed Yusoff pula berkata: “Terutama pada waktu bulan puasa, kita semua ke sini, ada bazar, semua di sinilah.”

Antara keprihatinan yang ditimbulkan ialah nasib para peniaga di Geylang Serai, terutamanya mereka yang menyediakan barangan keperluan orang Melayu.

Encik Abdul Wahab Abdullah, merupakan satu-satunya pembikin songkok yang masih aktif di negara ini. Perniagaan yang diwarisinya itu sudah bertapak di kawasan Geylang Serai selama hampir 50 tahun.

Kini, Encik Abdul Wahab khuatir sama ada kedainya di Tanjong Katong Complex (TKC) masih mampu untuk terus bertapak di Geylang Serai, selepas TKC dirobohkan.

“Setiap kedai yang baru dibina, kemungkinan sewanya akan tinggi, dan di Geylang Serai, masing-masing semua ada penyewa kedai, jadi susah untuk kita mencari kedai yang ada sekarang ini.

“Kalau sekiranya tempat dah tak ada, terpaksa saya bersara,” ujar beliau.

Tinjauan BERITAMediaCorp juga mendapati bahawa sebilangan peniaga di Geylang Serai tidak merancang untuk membuka cawangan lain di kawasan itu selepas TKC ditutup. Mereka berpendapat selain faktor kos sewa, pembangunan-pembangunan baru yang ada sekarang juga kurang sesuai bagi para peniaga barangan tradisional Melayu.

Dr Maliki bagaimanapun meminta para peniaga agar memberikan sedikit masa bagi kawasan itu membangun sepenuhnya sebelum membuat kesimpulan sedemikian.

“Jika kita lihat sejarah TKC, ia pun tidak bermula sebagai satu tempat yang dikhususkan untuk peniaga-peniaga Melayu sahaja. Tapi setelah masa berlalu, konsep permintaan dan bekalan, konsep kita mengumpulkan, atau cara para peniaga menarik diri mereka ke sesuatu tempat itu akan berlaku.

“Jadi saya rasa sama ada One KM dapat menarik peniaga-peniaga Melayu atau bangunan-bangunan lain akan dapat menarik peniaga-peniaga Melayu, terpulang kepada keadaan di mana masyarakat kita sendiri menunjukkan keperluan masing-masing,” ujar beliau.

Beliau menambah bahawa kementeriannya akan terus berusaha bagi memastikan warisan para peniaga barangan Melayu terus kekal di kawasan Geylang Serai.

Di samping itu, Dr Maliki berharap para peniaga Melayu di Geylang Serai dapat merebut segala peluang perniagaan yang ada apabila hab komersil di Paya Lebar siap dibangunkan.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *