Hang Tuah Mengaku Anak Kandung Tan Sri Jins Shamsudin

Pelakon Tan Sri Jins Shamsudin memang dikenali sebagai pelakon kacak yang amat melindungi kehidupan peribadinya.

Ketika sihatnya, kisah yang dipaparkan dalam media massa tentangnya tidak pernah lari daripada perkerjaan atau perjuangannya dalam seni.

Namun apabila semakin dimamah usia, lebih-lebih lagi dalam keadaannya sekarang yang menghidap penyakit Alzheimer sejak empat tahun lalu, Jins, 81 tahun, tidak mampu menjelaskan kemelut yang sedang melanda keluarganya.

Baru-baru ini, anak kedua Tan Sri Jins Shamsuddin iaitu Hang Tuah @ Shazrin mengadakan sidang akhbar untuk menjelaskan bahawa beliau adalah anak kandung seniman veteran itu yang sah hasil perkahwinan bapanya dengan ibunya, Jamilah Shukor, pada tahun 1973. Beliau bukan anak angkat seperti yang didakwa.

Hang Tuah, 41 tahun, ke depan selepas isteri Jins, Halijah Abdullah, membuat satu kenyataan dalam interviu di akhbar bahawa suaminya hanya mempunyai tiga anak – dua hasil perkahwinan dengannya (Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nadim) dan seorang lagi dengan seniwati Allahyarhamah Rahmah Rahmat, iaitu Mohamad Jefri yang lahir pada 1962.

Dalam sidang media itu, Hang Tuah mengatakan, Jins dan Jamilah berkahwin secara rahsia di Thailand. Beliau juga tidak dibesarkan ibunya tapi dipelihara ibu saudara (kakak Jins, Hazizan Samsudin) di Taiping, Perak, sejak kecil.

Beliau membawa beberapa bahan dokumentasi untuk menguatkan dakwaannya, termasuklah sijil kelahiran serta buku biografi bapanya hasil tulisan Mohd Zamberi A. Malek berjudul Suria Kencana diterbitkan pada tahun 1998.

Buku itu menyebut pelakon itu pernah berkahwin dengan Jamilah pada tahun 1973 dan dikurniakan seorang anak lelaki iaitu dirinya.

“Saya buat sidang media ini bukan hanya untuk diri saya tetapi kerana ibu saya yang agak terganggu dengan kenyataan dikeluarkan Halijah dan hanya ingin menjernihkan suasana.

“Tetapi tidaklah sampai saya ingin membawa kes ini ke mahkamah dan sekiranya beliau sedar ia satu kesilapan beliau hanya boleh memohon maaf.

“Saya juga bukan mahu menuntut harta bapa dan tidak akan berkecil hati sekiranya tidak mendapat apa-apa pada masa hadapan,” jelas bekas juruterbang syarikat Air Asia X itu.

Beliau bagaimanapun mengakui tidak lagi menjenguk bapanya sejak empat tahun lalu kerana sebab-sebab peribadi.

Tindakan Hang Tuah membawa isu keluarga ke sidang media bagaimanapun tidak disenangi Putera Hang Nadim yang ikut hadir bersama beberapa anggota keluarganya.

Hang Nadim, 24 tahun, berkata, Hang Tuah sepatutnya bersemuka dengan keluarganya tanpa melibatkan pihak luar dalam apa juga isu berbangkit untuk berbincang secara baik.

“Saya tidak faham mengapa perlu melibatkan orang lain dalam hal keluarga? Pintu rumah kami sentiasa terbuka untuk menerima kunjungannya biarpun sudah empat tahun dia tidak datang menjenguk ayah.”

Menceritakan sedikit sebanyak mengenai dirinya, Hang Tuah berkata, sejak dilahirkan beliau dibesarkan oleh ibu saudaranya yang juga kakak Jins iaitu Hazizan Samsudin di Taiping, Perak.

Namun kata Hang Tuah, bapanya sering melawatnya di kampung dan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab kepadanya biarpun hubungan mereka tidak rapat.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *