Di Manakah Peminat-Peminat Silat Dan Sepak Takraw?

Sementara penjualan tiket bagi beberapa acara di Sukan SEA Ke-28 hangat, sambutan bagi enam sukan yang bakal diadakan di Singapore Expo, termasuk silat dan sepak takraw, kelihatan dingin.

Ini berbanding tiket bagi pertandingan lawan pedang dan renang telah pun laris sebanyak 80 peratus.

Namun, kurang 50 hari sebelum Sukan SEA bermula, penjualan tiket bagi pencak silat, sepak takraw, tinju, judo, taekwondo dan wushu masih muram, menurut jawatankuasa penganjur Sukan SEA (Singsoc).

Dihubungi Berita Harian, Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses) Abdul Halim Kader berkata pihaknya mengambil berat akan keadaan ini.

“Kami prihatin dan akan mencari jalan terbaik bagi menggesa warga turun dan memberi sokongan kepada anak muda yang mewakili negara,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persekutuan Silat Singapura (Persisi) Sheik Alau’ddin Yacoob Marican turut menggesa masyarakat setempat daripada pelbagai peringkat usia supaya menyokong pasukan Sukan SEA.

“Kami tidak bimbang kerana yakin penggemar silat akan tampil memberi sokongan,” ujar beliau.

Kededua sukan tradisional Melayu itu antara enam sukan yang bakal mengisi dua dewan di Singapore Expo.

Ruang itu mampu menampung 4,800 penonton secara serentak. Tiket bagi kesemua acara berharga $5 sebelum diskaun.

“Saya ingin melihat respons yang lebih baik. Persatuan sukan nasional (NSA) memberitahu saya tiada masalah, tetapi saya rasa mereka perlu mempertingkat usaha,” ujar pengerusi Singsoc Encik Lim Teck Yin kepada The Straits Times kelmarin, walau beliau akur warga setempat mempunyai kebiasaan membeli tiket di saat akhir.

Bersependapat ialah presiden Persatuan Tinju Amatur Singapura Syed Abdul Kadir. Menurutnya, beliau yakin sambutan bagi tinju akan meningkat lebih dekat kepada tarikh pertandingan, berdasarkan pengalamannya apabila Singapura menganjur Sukan SEA 1993.

“Tinju ada ramai pengikut, terutama dalam kalangan pekerja asing dari Filipina dan Thailand,” katanya.

Persekutuan Judo Singapura (SJF) sedang mempergiat usaha mendekati masyarakat.

Pengerusi jawatankuasa penganjur acara judo, Encik Stephen Loh, berkata pihaknya berusaha mendekati pihak berkepentingan seperti kelab judo dan sekolah menerusi lawatan dan e-mel.

“Jika boleh, saya ingin dewan penuh apabila kami beraksi nanti,” kata Encik Loh.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *