Dua Pekerja Rumah Kanak-Kanak Pertapis Dituduh Menganiaya Penghuni Rumah Kebajikan Itu

DUA orang diheret ke mahkamah semalam bagi menghadapi tuduhan menganiaya kanak-kanak di Rumah Kanak-Kanak Pertapis.

Muhammad Abdul Gani, 26 tahun, dan Joanne Joy Coloma Dadiz, warga Filipina berusia 29 tahun, bekerja di rumah kebajikan di Kovan Road itu semasa kesalahan tersebut dikatakan terjadi.

Abdul Gani menghadapi 10 tuduhan menganiaya lapan kanak-kanak – lima lelaki dan dua perempuan berumur antara empat dengan 11 tahun – di bawah jagaannya antara 2012 dengan Januari tahun lalu.

Dadiz dikenakan satu tuduhan menganiaya kanak-kanak kesembilan, seorang budak perempuan berumur 11 tahun, dengan sengaja melakukan suatu perbuatan yang boleh membahayakan keselamatannya.

Dia dikatakan duduk selama tiga minit di atas budak itu semasa budak itu meniarap. Kesalahan tersebut dikatakan berlaku pada Disember 2013.

Dalam dua tuduhan yang dihadapinya, Abdul Gani dikatakan masukkan seorang budak lelaki berumur empat tahun di dalam almari, dan dalam satu kejadian, dia dikatakan mengangkat kanak-kanak itu dengan memegang kepalanya di bawah telinga.

Dia juga didakwa menggunakan rotan kayu dan memukul tiga budak lelaki berumur lapan hingga 10 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun, mengakibatkan kesakitan ke atas mereka.

Pada 2012, Abdul Gani dikatakan menendang sebuah kerusi yang seorang budak perempuan berusia sembilan tahun sedang berdiri di atasnya, mengakibatkan budak itu terjatuh dan cedera.

Kemudian pada Januari tahun lalu, dia dikatakan menampar budak itu di pipi kanannya.

Peguam Abdul Ghani, Encik Abdul Jalil Muhammad Tahir, berkata beliau baru diberi taklimat dan meminta kes itu ditangguh bagi mendapatkan penangguhan untuk membuat perwakilan.

Dadiz, yang tidak mengaku salah, berkata dia mahu mendapatkan seorang peguam.

Kes mereka telah ditetapkan bagi persidangan praperbicaraan pada 18 Mei.

Ikat jamin $20,000 ditawarkan kepada Abdul Ghani dan $10,000 kepada Dadiz. Mereka diarah jangan mendekati mangsa atau keluarga mereka secara langsung mahupun tidak langsung.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda hingga $4,000 dan/atau penjara hingga empat tahun bagi setiap pertuduhan.

Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga membuat laporan polis Februari tahun lalu selepas menerima maklumat tentang beberapa kanak-kanak di rumah kebajikan itu diberi hukuman tidak sesuai oleh kakitangan di situ.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *