Ada segelintir rakyat Singapura di Nepal yang masih belum dapat dihubungi.
Salah seorang daripada mereka ialah Cik Jannah Suairi, 25 tahun. Beliau gagal dihubungi sejak 20 April lalu. Jannah dipercayai berada di kem Annapurna sejak 17 April.
Ibu Jannah, Cik Mainah Ahmad berkata: “Harapan saya, kalau saya dapat berhubungan dengan anak saya, semoga dia selamat dan kalau boleh cepatlah hubungi rumah.
“Dan kalau boleh, saya harap dia duduk di mana sahaja dia berada sekarang dan jangan ke Kathmandu sebab keadaan di sana tak berapa mantap untuk dia pulang.
“Saya harap dia dapat buat panggilan ke rumah, itu adalah keutamaan bagi saya untuk dengar suara dia dan harap dia dalam keadaan selamat.”
Dalam pada itu, Kementerian Ehwal Luar (MFA) menyatakan ia sudah dapat menghubungi sebilangan besar rakyat Singapura di Nepal.
Sejauh ini pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai rakyat Singapura yang cedera dalam gempa dahsyat kelmarin.
MFA sedang berusaha untuk membawa pulang rakyat Singapura yang masih berada di Nepal. Menurut MFA, pihaknya sedang bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan bagi membolehkan mereka pulang menaiki pesawat RSAF.
MFA juga menubuhkan sebuah pasukan bertindak krisis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kathmandu untuk memberi bantuan konsular kepada rakyat Singapura.
Source: http://berita.mediacorp.sg