Jalan Keluar Kurangkan Kesesakan Solat Jumaat

Beberapa masjid kurang sesak mengajak jemaah menunaikan solat Jumaat di tempat mereka, terutama pada cuti umum, bagi melegakan kesesakan di sesetengah masjid.

Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pula semalam memberi Berita Harian senarai 13 masjid yang mempunyai cukup ruang bagi menampung jemaah solat Jumaat yang bertambah pada cuti umum.

Antaranya ialah Masjid Al- Amin, Masjid Jamiyah Ar-Rabitah di Tiong Bahru, Masjid Hajah Rahimahbi di Kebun Limau, Masjid Omar Salmah di Jalan Mashor dekat Thomson Road dan Masjid An-Nahdhah di Bishan.

Pengerusi Eksekutif Masjid Jamiyah Ar-Rabitah, Encik Sadir Osman, misalnya, berkata masjid itu menerima 1,000 jemaah solat Jumaat setiap minggu sedangkan ia boleh menampung hingga 2,000 jemaah.

Encik Sadir, 67 tahun, mengalu-alu jemaah dari kawasan lain memakmurkan masjid di Tiong Bahru Road itu, semasa dihubungi semalam.

Minggu lalu, di majlis pembukaan Masjid Al-Ansar, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, menyarankan agar jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid kurang sesak, terutama apabila cuti umum jatuh pada hari itu, bagi mengelakkan kesesakan di masjid kejiranan.

Semalam, jurucakap Muis memberitahu Berita Harian memang banyak masjid sesak setiap kali Jumaat jatuh pada cuti umum sedangkan sebilangan yang terletak di kawasan dekat bandar mempunyai banyak ruang kosong.

“Sebilangan masjid di Singapura, terutama di estet matang HDB, mengalami kesesakan untuk jemaah bersolat Jumaat, terutama jika hari Jumaat jatuh pada haru cuti umum.

“Ini mungkin disebabkan kehadiran ramai pekerja asing lelaki yang tidak bekerja dan bapa tidak bekerja yang datang bersama anak-anak tidak bersekolah,” ujar beliau.

Mengenai senarai masjid cukup ruang bagi jemaah solat Jumaat yang bertambah pada cuti umum, masjid-masjid tersebut dianggarkan mempunyai ruang bagi tambahan 200 hingga 1,000 jemaah.

Jurucakap Muis menambah ada ruang masjid, terutama di kawasan bandar, tidak dimaksimumkan bagi solat Jumaat pada hari cuti umum.

“Memanfaatkan sepenuhnya ruang masjid ini dapat meringankan masalah kesesakan berlebihan di sesetengah masjid kejiranan. Sehubungan dengan ini, kami menggalak masyarakat meneroka pilihan lain dengan melawat masjid-masjid ini bersama keluarga,” ujarnya.

Sebuah lagi masjid yang mengalu-alu lebih ramai jemaah datang menunaikan solat Jumaat ialah Masjid Mujahidin di Stirling Road, Queenstown.

Pengerusi Eksekutifnya, Encik Muhammad Khairul Jameel, berkata:

“Bilik darjah dan dewan serbaguna kami boleh dijadikan ruang solat. Ruang-ruang ini berhawa dingin, lantas jemaah dapat beribadah dengan selesa.”

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *