MUFTI: Lapor Individu Berfahaman Radikal Kewajipan Agama

Mufti Ustaz Dr Mohamed Fatris Bakaram (gambar) berkata setiap rakyat mempunyai tanggungjawab membantu orang yang menunjukkan tanda dipengaruhi fahaman radikal tentang agama mendapatkan bimbingan betul.

Bahkan, melaporkan kepada pihak berkuasa seseorang yang cenderung melakukan perkara yang melanggar undang-undang ialah satu kewajipan agama.

“Jika anak-anak muda kita menunjukkan tanda bahawa mereka telah sampai satu peringkat yang sangat radikal sampai ibu bapa berasa ia di luar kemampuan mereka untuk membimbing, dan (anak muda itu) menunjukkan kecenderungan melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang, maka menjadi kewajipan (kita) melaporkan mereka kepada pihak berkuasa.

“Ini tidak boleh dilihat sebagai satu penganiayaan atau mengorbankan anak sendiri, tetapi satu kewajipan setiap warganegara, malah setiap ibu bapa, untuk membantu anak mereka dan menyelamatkan anak mereka itu,” ujar Ustaz Fatris.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes baru dua belia radikal – seorang diberkas dan seorang lagi ditahan – di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ustaz Fatris berkata juga menjadi tanggungjawab, termasuk di sisi agama, untuk keluarga, ibu bapa, guru, sahabat, sebagai contoh, berwaspada dan memerhatikan.

“Jika kita mendapati ada seorang yang kita kenali, baik seorang rapat dengan kita sekalipun, menunjukkan tanda awal dia terpengaruh oleh pandangan sempit dan radikal tentang agama, hendaklah kita mengorak langkah membantunya,” katanya.

Orang ramai boleh membantu individu yang menunjukkan tanda dipengaruh fahaman radikal dengan memberi jawapan sahih bagi persoalan yang dalam fikirannya, ujar beliau.

Jika berasa tidak berupaya memberi jawapan itu, mereka boleh merujuk individu tersebut kepada asatizah bertauliah.

Mereka juga boleh pergi ke masjid kerana ada t pegawai agama terlatih dan berkelayakan memberi panduan, ujar Ustaz Fatris.

“Sekiranya ini tidak diberi perhatian, dibimbangi ia akan sampai ke peringkat anak itu tidak dapat dibantu, tidak dapat dibimbing dan tidak dapat diselamatkan,” tambah beliau.

Semasa diminta mengulas, Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Haji Abdul Razak Hassan Maricar, berkata Muis akan memperluas pendekatannya berhubung belia.

Ini walaupun Muis telah merombak pendidikan Islam beberapa tahun lalu untuk menjadikannya lebih sesuai kepada belia dan turut membincangkan isu semasa yang dihadapi masyarakat.

“Kami akan meningkatkan sesi perbincangan dengan pelajar di institusi pengajian tinggi. Kami juga akan memastikan masjid lebih peka dan bersedia menangani isu pengganasan dan individu radikal sendiri,” ujar beliau.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *