TAA Letak Tiga Tabung Di Little India Untuk Jangkau India/Islam

Tiga kotak derma Tabung Amal Aidilfitri (TAA) akan diletakkan di kawasan Little India sepanjang Ramadan dan Syawal ini dalam usaha pertama kempen tahunan itu menjangkau kepada masyarakat India/Islam setempat.

Secara keseluruhan, 70 tabung TAA akan diletakkan di serata Singapura dan dua talian derma dibuka bagi mencapai sasaran mengumpul $800,000 sepanjang kempen yang akan berlangsung hingga 31 Julai ini.

Kempen dana tahun ini dilancarkan dalam satu majlis di Joo Chiat Complex semalam oleh tetamu terhormat, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Tan Chuan-Jin.

Menurut Ketua Jawatankuasa Eksekutif TAA, Encik Muhd Harmizan Abdul Hamid, majlis pelancaran serupa akan diadakan di Pusat Warisan India dalam minggu pertama Ramadan bagi meningkatkan kesedaran tentang kehadiran tabung TAA di kawasan Little India.

“Kami meluaskan pengumpulan dana ke kawasan Little India kali ini bagi menunjukkan kepada masyarakat India/Islam kita bahawa Aidilfitri juga diraikan oleh mereka. Ini merupakan salah satu strategi kami untuk menambah bilangan tabung TAA tahun ini,” kata beliau.

Tahun ini, bilangan tabung TAA ditambah daripada 60 kepada 70 dan akan diletak di beberapa lokasi baru, termasuk pusat beli-belah OneKM di Paya Lebar dan Little India Arcade.

Tabung TAA juga diletakkan di Joo Chiat Complex yang biasanya dapat mengumpul derma paling tinggi berbanding lokasi lain.

Tahun lalu, tabung derma di Joo Chiat Complex berjaya mengumpul $121,000.

Sebanyak 168 tabung TAA juga akan diletakkan di masjid-masjid di serata negara.

Sementara itu, dua personaliti radio dari stesen Warna 94.2 FM, A.B Shaik dan Mariam Mas’od, telah dilantik sebagai duta kempen derma tahun ini bagi menggalak pendengar menderma melalui talian derma 1900-112-9010 ($10) dan 1900-112-9050 ( $50) yang telah pun dibuka.

Sejumlah $400,000 diharap dapat dikumpul melalui cara menderma itu.

“Warga Singapura rata-rata murah hati. Mereka bukan sahaja menyumbang wang, malah juga masa ke arah tujuan yang baik. Sedang kami mencapai kemajuan, akan tetap ada warga Singapura yang memerlukan sedikit bantuan. Dana yang telah disumbang membawa banyak perbezaan,” kata Encik Tan.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *