Impiang Terbang Di NDP Kini Jadi Nyata

Impian waktu kecil juruterbang jet pejuang Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF), Kapten Muhammad Iskandar Dzulfadhli Abdul Rahman, menjadi nyata apabila beliau terpilih bagi pertunjukan udara Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini.

Kapten Iskandar akan memandu salah sebuah daripada empat pesawat pejuang F-5, bersama pesawat pengangkutan KC-135 dan G550-AEW dalam acara terbang lalu.

Semasa kecil, Kapten Iskandar, 26 tahun, sering mengimpikan menjadi juruterbang selepas terpegun melihat aksi akrobatik udara pasukan Black Knights RSAF.

“Saya bercita-cita menjadi juruterbang apabila menyaksikan pertunjukan udara pasukan Black Knights pada NDP dalam tahun 1990-an. Tidak sangka kini saya diberi peluang membuat pertunjukan itu pula,” katanya semasa acara pratonton bagi media di Padang kelmarin.

Pengalaman itu bertambah manis bagi Kapten Iskandar kerana pertunjukan udara NDP kali ini ialah yang terbesar – melibatkan 50 pesawat RSAF- sempena sambutan Jubli Emas Singapura (SG50).

“Saya rasa amat bertuah dan bersyukur dapat mengambil bahagian dalam NDP tahun ini,” ujar beliau.

Penonton teruja melihat jet terbang sederas 600 kilometer sejam, tetapi Kapten Iskandar dan pasukannya perlu melalui pelbagai cabaran bagi mempesembahkan pertunjukan itu.

“Cabarannya daripada peringkat perancangan. Untuk menerbangkan 50 pesawat dalam ruang udara Singapura yang kecil, rancangan dan aspek keselamatan amat penting.

“Oleh itu, kami memerlukan kerjasama daripada pelbagai agensi,” katanya.

Pasukan itu berlatih sejak April lalu.

Kapten Iskandar juga amat bersyukur pengorbanan dan perjuangan beliau dalam RSAF sejak menyertainya pada 2008 mendatangkan hasil “yang tidak ada gantinya”.

“Saya amat gembira dapat menjadikan impian saya satu kenyataan. Perjalanan saya sebagai juruterbang bukan mudah, dan lebih tujuh tahun saya berlatih untuk mengendalikan jet pejuang.

“Malah, saya juga bangga diberi peluang mewakili warga kerja Melayu RSAF dalam NDP tahun ini,” ujar beliau sambil tersenyum.

Selain pertunjukan udara tradisional seperti Terbang Lalu Bendera Negara dan aksi udara ‘letusan bom’ Black Knights, orang ramai akan dapat menikmati aksi juruterbang 20 pesawat F-16 membentuk angkat 50 di udara dan terbang lalu jet pejuang, helikopter dan pesawat pengangkutan bagi NDP kali ini.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *