Walimah Ringkas, Lagi Jimat

Isu pembaziran di majlis perkahwinan memang sudah lama diperkatakan.

Namun, tidak banyak pakej pilihan yang diperkenalkan bagi mengatasinya.

Ini mendorong Encik Aydarus Ahmad, pengasas Relite Events Management, memperkenalkan majlis walimah yang mudah, ringkas, dan paling penting, tidak membazir.

“Banyak anak muda yang menangguhkan perkahwinan kerana masalah kewangan.

“Seperti yang kita maklum, melangsungkan walimah menggunakan banyak wang – daripada katering, dekorasi dan andaman.

“Ini belum termasuk wang hantaran dan barang hantaran yang ditukar kededua pihak lelaki dan perempuan lagi,” ujarnya.

Mungkin ada yang menganggapnya agak janggal menghadiri majlis walimah yang tiada kerusi meja.

Tetapi inilah perbezaan pakej walimah Relite Events Management.

Tiada kerusi yang perlu disarung dengan sarung kerusi berwarna-warni, diikat dengan tali reben khas ataupun penggunaan kerusi khas putih. Setiap tetamu yang datang juga akan menjamu selera dengan makanan hidang yang dikongsi empat orang sedulang. Setiap dulang akan disaji dengan nasi beriani dam kambing, ayam masak merah serta kuah dalca.

Tuan rumah juga boleh memilih pakej yang menyediakan nasi mandi, salad dan sambal Hadramaut.

Dulang itu kemudian akan diletakkan di atas sebuah meja bulat kecil bagi memudahkan tetamu menikmati jamuan yang disediakan.

“Kami menggalak pasangan mengadakan majlis walimah di dewan serbaguna yang mempunyai tempat terbuka dan tidak diadang tembok.

“Kemudian kami akan membentangkan permaidani besar bagi tetamu duduk,” ujar Encik Aydarus yang menambah bahawa beberapa kerusi akan disediakan khas bagi warga emas dan mereka yang memerlukannya.

Sejak memperkenalkan pakej ini Julai lalu, Relite Events Management sendiri tidak menyangka terdapat banyak permintaan daripada pasangan muda yang memilih mahu bersederhana.

Sejak Julai tahun lalu, syarikat itu telah mengendalikan 10 majlis.

“Usah fikir corak majlis begini tidak diminati pasangan muda.

“Kesemua walimah yang kami kendalikan merupakan pasangan muda yang rata-rata sudah agak penat dengan majlis perkahwinan besar-besaran yang membebankan mereka,” ujarnya yang merujuk kepada majlis perkahwinan kini yang boleh mencecah sehingga $30,000.

Majlis sederhana yang dimaksudkan menelan belanja separuh daripada jumlah itu iaitu sekitar $14,000.

Kalau majlis mewah banyak memberi tumpuan kepada kecantikan visual, majlis sederhana menitikberatkan soal makanan dan layanan terhadap tetamu.

Menurut Encik Aydarus, 41 tahun, beliau mempunyai sehingga 20 kendarat – 10 lelaki dan 10 perempuan – yang telah dilatih cara melayan tetamu.

Mereka bergerak daripada seorang tetamu ke seorang tetamu yang lain dengan membawa bekas pembasuh tangan, siap dengan sabun bagi memudahkan tetamu mencuci tangan selepas makan.

Dari segi dekorasi pula, ia ringkas, tiada balutan kain pada tembok.

Pelamin juga tidak sarat dengan bunga-bunga – cukup bagi mempelai bergambar bersama keluarga dan sahabat handai sahaja.

“Kami juga galakkan mempelai berinteraksi dengan tetamu yang hadir. Ada kalanya pengantin sendiri tidak tahu siapa yang datang untuk menyerikan majlis mereka,” tambahnya.

Bagi jemputan 1,000 orang, Relite Events Management mengenakan bayaran sekitar $14,000 termasuk makanan, kendarat, pelamin, sistem bunyi serta persembahan qasidah.

“Yang penting, kami mahu menggalakkan mempelai melakukan apa yang wajib sahaja dalam majlis persandingan mereka,” ujar Encik Aydarus.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *