Ikea Prihatin Maklum Balas, Akan Tukar Iklan Raya

Gedung perabot Ikea akan menggantikan iklan Hari Rayanya mulai Khamis minggu depan menyusuli maklum balas negatif sesetengah pelanggan.

Di media sosial, iklan yang antara lain disiarkan di akhbar selain di laman web Ikea itu, telah menerima kritikan kerana dianggap kurang peka kepada budaya masyarakat Melayu/Islam setempat, selain tidak menggambarkan semangat sambutan Ramadan dan Hari Raya yang sebenar.

Iklan tersebut, bertemakan ‘This Raya, Bling Glamour Home’ (Raya ini, bawa pulang glamor ke rumah anda) dan mempunyai dua versi, memaparkan sebuah keluarga berbaju Melayu bertemakan budaya hip hop, lengkap dengan topi, kasut jenis high-cut dan kaca mata hitam. Dalam iklan itu, model lelakinya juga memakai rantai dan perhiasan emas.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), pengurus pemasaran Ikea, Cik Caroline Ng, berkata iklan baru itu berlainan daripada yang asal.

“Niat kami bukanlah untuk menyinggung perasaan sesiapa pun dan kami harap orang ramai dapat melihat keikhlasan kami menerusi usaha yang kami lakukan ini,” ujar beliau.

Cik Ng menambah: “Di Ikea, kami amat prihatin dengan masyarakat dan menghormati dan terbuka menerima keprihatinan orang ramai.”

Dalam pada itu, Ikea telah pun menarik balik iklan asalnya itu daripada beberapa penerbitan, termasuk akhbar ini.

Bagaimanapun, ekoran masa yang amat suntuk, sebahagian iklan lama tidak sempat ditarik balik, tambah Cik Ng sambil memohon maaf.

Diminta mengulas, seorang pembaca BH, yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Rafi, 46 tahun, berkata beliau mengalu-alukan langkah syarikat Ikea menukar iklan tersebut.

Beliau telah mengirimkan e-mel kepada syarikat itu untuk memberi maklum balas berkaitan iklan berkenaan.

“Kalau perubahan untuk kebaikan dialu-alukan sangat kerana iklan Hari Raya perlu memberi gambaran yang tepat supaya anak-anak muda tidak terpengaruh dengan budaya popular,” ujar beliau, yang telah pun menerima e-mel balas daripada Ikea.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *