SDP Mahu Kemuka Tiga Isu Sewaktu Berkempen

Parti Demokratik Singapura (SDP) akan mengetengahkan tiga isu semasa berkempen dalam pilihan raya umum akan datang, kata pemimpin parti itu, Dr Chee Soon Juan.

Tiga isu tersebut ialah kos hidup, Jumlah Minimum Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan jumlah penduduk negara yang semakin bertambah.

Isu yang bakal diketengahkan itu berdasarkan apa yang dimaklumkan kepada beliau oleh warga Singapura, terutama kesukaran dalam menampung kos sara hidup yang semakin meningkat, kata beliau dalam satu pameran di Holiday Inn Singapore Atrium kelmarin, yang diadakan sempena menyambut ulang tahun ke-35 parti pembangkang itu.

Menurut beliau, SDP pertama kali menentang keperluan Jumlah Minimum CPF 20 tahun lalu.

“Kami mahu memberitahu pengundi: jika anda tidak mempunyai pembangkang, Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan bertindak bebas dalam mempertingkatkan Jumlah Minimum,” ujarnya.

Pada Februari lalu, panel penasihat yang dilantik pemerintah menyarankan menjadikan skim CPF lebih fleksibel, namun berkata keperluan bagi jumlah asas untuk disimpan perlu dikekalkan.

Mengenai jumlah penduduk pula, Dr Chee berkata ia penting dalam menilai sama ada Singapura mempunyai prasarana mencukupi.

Terdapat bantahan pada 2013 apabila pemerintah memperkenalkan Kertas Putih mengenai parameter bagi jumlah penduduk lebih ramai.

Namun, kertas itu juga menggariskan rancangan bagi prasarana menampung potensi jumlah penduduk antara 6.5 juta hingga 6.9 juta orang menjelang 2030.

Dr Chee kelmarin berkata SDP telah membuat persiapan bagi pilihan raya umum akan datang, yang perlu diadakan menjelang Januari 2017, berdasarkan anggapan ia boleh diadakan seawal September ini.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *