Hilang Daya Penglihatan Bukan Halangan Ambil Diploma

Dunia Cik Masayang A. Samad menjadi gelap lapan tahun lalu apabila beliau kehilangan daya penglihatan akibat penyakit kencing manis.

Namun, Cik Masayang, 43 tahun, tidak membiarkan dirinya terus diselubungi kegelapan.

Beliau bangkit mempertingkat diri dan baru tamat mengambil kursus dua tahun sijil psikologi dan kaunseling Islam di Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri.

“Apabila saya jatuh sakit, saya telah menghadapi kemurungan dan pernah terfikir hendak membunuh diri kerana tidak mahu menyusahkan orang lain.

“Tetapi saya teringat kata-kata arwah ibu saya bahawa saya harus berdikari dan selalu berfikiran positif,” ujar Cik Masayang yang kini tinggal seorang diri di flat satu bilik.

Beliau juga mendapat sokongan moral daripada ayahnya, seorang warga Malaysia yang menetap di Johor Bahru.

Cik Masayang, anak tunggal, pula memilih tinggal di Singapura kerana lebih mudah menjalani dialisis di sini. Lulusan diploma dalam jurusan pengurusan perniagaan daripada Politeknik Nanyang itu bakal meneruskan diploma psikologi dan kaunseling dalam Islam pula di Al-Zuhri pada Ogos ini.

“Saya ingin guna ilmu itu membantu orang lain pula yang senasib dengan saya,” ujar Cik Masayang.

Beliau merupakan antara 552 keluarga yang menerima zakat daripada Darul Arqam tahun ini.

Tahun ini, persatuan itu mengagihkan sejumlah $179,400 daripada kutipan zakat dan fidyah, dengan setiap keluarga menerima $255 tunai dan baucar bernilai $70.

Seorang lagi penerima ialah Cik Nur Madiah Hidayah Lim Othman, 34 tahun, yang dilahirkan tanpa tangan dan kaki.

Sejak beberapa tahun lalu, beliau mula berdikari dengan menjual pakaian wanita menerusi Facebook.

Bergerak menggunakan kerusi rodanya, Cik Nur Madiah akan ke pejabat pos bagi menghantar barangan yang dibeli pelanggan.

“Saya fikir ini cara terbaik bagi saya mencari rezeki. Saya berpegang kepada prinsip agar sentiasa berfikiran positif dan tidak berputus asa,” ujarnya.

Majlis penyampaian zakat semalam itu turut dihadiri Menteri Pendidikan, Encik Heng Swee Keat, dan Presiden Darul Arqam, Encik Faiz Edwin Ignatious.

Dalam ucapannya, Encik Heng berkata pemberian zakat memaparkan semangat gotong royong dalam masyarakat.

“Acara hari ini mengingatkan kita bahawa kita semua memainkan peranan membangun sebuah masyarakat berihsan dan penyayang, yang membantu mereka yang memerlukan.

“Semangat membantu sama lain dalam Islam juga sesuatu yang semakin kita lihat di masyarakat Singapura yang lebih luas,” ujarnya.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *