Warga Senja Antara 50 Keluarga Terima Habuan Raya Dari Persatuan Peguam Islam

Pada usia senja mencecah 70 tahun, Encik Sarif Awang masih lagi mencari rezeki sebagai pekerja pembersihan sambilan.

Ini bagi menampung kos kesihatan dan penjagaan anaknya, Cik Noor Azlinah, 43 tahun, yang terlantar sakit di rumah dan tidak mampu bertugas selepas diserang angin ahmar empat tahun lalu.

Bekas petugas pejabat yang menjanda itu juga menghidap pelbagai komplikasi lain sehingga menjejas ginjal dan daya penglihatannya.

Melihat keadaan keluarga ini yang memilukan, Persatuan Peguam Islam (AML) tampil menghulurkan bantuan di ambang Syawal.

Keluarga Encik Sarif antara 50 keluarga susah yang menerima habuan sekitar $15,000 di pasar raya NTUC FairPrice di Joo Chiat Complex semalam.

Habuan berupa duit Raya $100 dan bajet beli-belah $150 diberikan kepada setiap keluarga dengan ibu tunggal, warga senja atau pesakit kronik.

Bungkusan ayam segar juga diagihkan AML yang menerima sumbangan wang daripada peguam bukan Islam, yang menghargai kerja amal mereka itu.

Ketika ditemui Berita Harian, Presiden AML, Encik Noor Mohamed Marican, berkata pihaknya menggerakkan projek ini sejak lima tahun lalu apabila jawatankuasa baru dilantik.

Penerima bantuan dipilih daripada kes yang pernah dikendalikan atau atas rujukan pihak tertentu.

Kerja amal ini bukan tertumpu pada musim Lebaran sahaja malah diperluaskan ke musim perayaan Deepavali dan Tahun Baru Cina.

“Masih ada kelompok masyarakat kita yang miskin dan perlu dibangkitkan semangatnya menjelang Syawal. Sebab itu, saya galakkan mereka beli kuih Raya dan minuman ringan.

“Saya kira, kita harus mengubah bentuk bantuan agar memenuhi keperluan semasa. Kita harus berganjak daripada tempoh habuan keperluan asas seperti beras dan minyak sahaja diberikan.

“Lantaran itu, AML mengusahakan agar peruntukan bajet diberi bagi setiap keluarga. Mereka bebas memilih barangan yang mereka perlukan. Mereka juga tidak perlu malu bahkan dianggap seperti pembeli lain di pasar raya ini,” jelasnya.

Encik Sarif yang ditemani cucunya, Noreen Marsya Mohd Saruan, 14 tahun, terharu seraya berkata:

“Dengan adanya peruntukan ini, bolehlah saya beli beberapa barangan keperluan harian dan khusus buat Hari Raya.

“Saya gagahkan semangat bekerja pada usia senja kerana kasihan melihat anak yang sakit dan perlukan dorongan saya. Saya sahaja harapannya kerana ibunya pun sudah meninggal dunia. Kalau nak fikirkan, saya sendiri dah berusia dan berpenyakit.”

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *