Adik Pelakon Malaysia, Almy Nadia, Antara 17 Pelajar Yang Dipukul Kumpulan Pelajar Senior Di Asrama

GEORGE TOWN, PULAU PINANG: Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian melibatkan seorang pelajar Tingkatan Satu bersama 16 rakannya yang didakwa dipukul pelajar senior di sebuah sekolah menengah di Jalan Masjid Negeri di Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata kes itu membabitkan adik lelaki kepada seorang pelakon wanita Malaysia.

“Kes itu berlaku di asrama sekolah berkenaan pada Rabu malam (22 Julai) selepas mangsa dan rakan-rakannya yang baru balik membeli makanan berikutan lapar dimarahi sekumpulan pelajar Tingkatan Lima.

“Pelajar-pelajar Tingkatan Satu berkenaan mendakwa selain dimarah kerana keluar daripada asrama tanpa kebenaran, mereka turut dipukul sehingga lebam di beberapa bahagian badan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Gambar hiasan: Sekolah di Malaysia. (Gambar: SHAMSHAHRIN SHAMSUDIN / AFP)

Beliau berkata sebaik menerima laporan daripada seorang ibu mangsa, pihaknya memulakan siasatan termasuk mendapatkan laporan kesihatan pelajar-pelajar yang terbabit.

ACP Mior Faridalatrash berkata polis sudah mengenal pasti mereka yang terlibat dalam kejadian berkenaan dan semua pelajar termasuk mangsa yang dicedera akan dipanggil pada hari Isnin (27 Julai), untuk direkodkan keterangan.

Katanya polis juga sudah berhubung dengan sekolah berkenaan dan pihak sekolah berjanji akan memberi kerjasama bagi membantu siasatan kes itu.

“Berdasarkan siasatan awal, empat pelajar senior yang tinggal di asrama berkenaan dipercayai terlibat dalam kejadian pukul itu,” katanya.

ALMY NADIA DAKWA ADIKNYA PALING TERUK DIPUKUL

Sementara itu, pelakon Almy Nadia menerusi laman sosial Instagram miliknya memuat naik status mendakwa adiknya yang tinggal di asrama sebuah sekolah menengah di Jalan Masjid Negeri, dipukul dalam kejadian pada Rabu malam lepas.

Almy Nadia atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah berkata kejadian itu berlaku selepas adiknya bersama 16 pelajar lain keluar dari kawasan asrama sekolah berkenaan pada waktu malam kerana lapar.

(Gambar: Instagram/ @almynadia86)

“Kemudian semua pelajar terbabit termasuk adik saya dipukul oleh pelajar senior sekolah berkenaan namun antara mereka semua yang dipukul itu, adik saya yang paling teruk sekali,” katanya.

Almy Nadia mendakwa adik lelakinya itu dipukul oleh empat pelajar senior sedangkan yang lain dipukul oleh seorang pelajar senior.

“Sebaik dimaklumkan berhubung kejadian ini, ibu saya bergegas ke sekolah terbabit untuk mengambil adik saya sebelum membawanya ke hospital,” katanya menerusi laman sosial berkenaan.

Beliau berkata keluarganya turut membuat laporan polis dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap kes tersebut.

Source; http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *