Fatimah Lateef Saran Model ‘6M’ Sebagai Formula Rangsang Pencapaian Masyarakat Melayu Singapura

Masyarakat Melayu/Islam Singapura banyak meraih kemajuan dan kecemerlangan, hasil kerja keras dan kerjasama dengan pemerintah untuk mencapainya.

AP GRC Marine Parade, Profesor Madya Fatimah Lateef berkata demikian hari ini di sidang media yang diadakan untuk memperkenalkan secara rasmi barisan calon PAP bagi GRC Marine Parade dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Namun beliau turut menekankan bahawa “masih terdapat golongan yang memerlukan bantuan kita semua”.

“Jadi inilah golongan yang harus kita dekati dan bantu mereka, tetapi jangan lupa tentang golongan yang atas juga. Mereka juga perlu penglibatan kita. Dan kita akan selalu mendekati setiap golongan dan lapisan masyarakat,” tambah beliau.

MODEL ‘M’ UNTUK DEKATI RAKYAT DAN PENDUDUK 

Profesor Madya Fatimah turut mendedahkan model ‘6M’ yang membawa kepada konsep berteraskan keluarga yang diterapkan dalam GRC Marine Parade.

  • 1. Menukar minda

M yang pertama, ujar beliau, ialah menukar minda.

“Kalau kita boleh mengubah minda kita, kita juga boleh mengubah cara kehidupan kita. Inilah yang saya terapkan dalam keluarga-keluarga yang saya dekati dan bantu,” jelas beliau.

  • 2. Motivasi

M yang kedua pula ialah motivasi. Profesor Madya Fatimah berkata, keluarga-keluarga yang terjerat dalam lingkaran kemiskinan harus dibantu.

Mereka harus ada sikap yang ingin meningkatkan diri dan bertambah baik setiap tahun, bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga untuk keluarga mereka, katanya. Dan maka itu, motivasi adalah elemen yang begitu penting.

“Kita sebagai Anggota Parlimen memberi mereka motivasi itu, jalan bersama mereka, pegang tangan mereka dan pimpin mereka bersama,” kata beliau.

  • 3. Masyarakat majmuk

Menurut beliau lagi, masyarakat Melayu/Islam tempatan boleh menjadi global dan dikenali kerana diberikan wadah untuk terus maju di Singapura, dalam masyarakat majmuk.

  • 4. Meritokrasi

Dengan sistem meritokrasi di Singapura, mereka dengan latar belakang yang susah dapat maju ke hadapan disebabkan oleh kegigihan dan ketekunan untuk meningkatkan diri, kata Profesor Madya Fatimah.

  • 5. Maju bersama-sama

Profesor Madya Fatimah berkata: “M selanjutnya ialah kita harus maju bersama-sama.”

“Yang kuat tolong yang lemah. Yang kaya tolong yang susah. Ini adalah satu model kolaborasi yang baik, dan itulah yang kita terapkan dalam GRC Marine Parade,” katanya.

  • 6. Memudahkan

Profesor Madya Fatimah merumuskan perincian tentang model ‘M’ dengan menjelaskan tentang membuat kemudahan atau memudahkan.

“Apa-apa yang susah difahami oleh masyarakat, kita ‘simplify’ atau membuatnya senang untuk difahami,” katanya.

Profesor Madya Fatimah, yang sudah berkhidmat di GRC Marine Parade sejak 2006, menekankan bahawa untuk menerapkan kesemua ‘6M’, para AP perlu terus mendekati masyarakat.

Beliau berusia 49 tahun dan bertugas sebagai seorang doktor dan konsultan di Hospital Besar Singapura. Beliau juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Kesihatan.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *