Calon SDP Janji Kemuka Isu-Isu Keprihatinan Penduduk

SEBAGAI penduduk kejiranan Marsiling Drive, calon Parti Demokratik Singapura (SDP), Cik Wong Souk Yee, merasakan bahawa beliau wajar mewakili penduduk GRC Marsiling-Yew Tee di Parlimen.

Semasa ucapannya kepada penyokong SDP di pusat pencalonan Sekolah Rendah Yishun semalam, Cik Wong, 56 tahun, bekas tahanan politik, berkata:

“Selaku penduduk Marsiling Drive, tentunya saya bersemangat ingin mewakili anda di sini dan berjuang demi hak anda.

“Undilah SDP agar kami dapat mewakili anda di Parlimen. Saya dan rakan-rakan saya akan mengutarakan isu yang anda prihatin.

“Kami ingin memperjuangkan suasana penuh ketelusan. Jadikan kami suara anda di Parlimen.”

Cik Wong dan tiga lagi rakan sepasukannya – pakar psikologi, Encik John Tan, 54 tahun; Encik Bryan Lim, 38 tahun, yang memimpin unit operasi latar parti; dan bekas pengarah kolej Islam setempat, Encik Damanhuri Abas, 45 tahun – bersaing dengan pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC yang baru dibentuk mengikut perubahan sempadan pilihan raya tahun ini.

Pasukan PAP di GRC itu dipimpin bersama Speaker Parlimen, Cik Halimah Yacob, dan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Lawrence Wong.

Di laman Facebook Encik Damanhuri, beliau yang ingin mengutarakan isu berhubung hak masyarakat minoriti, melahirkan rasa terharunya dengan kemesraan penduduk di Marsiling-Yew Tee yang ditemuinya.

“Saya percaya banyak yang boleh dilakukan buat anda (penduduk Marsiling-Yew Tee), khususnya dalam menolong keluarga dalam membesarkan anak-anak kecil.

“Saya adalah bapa lima anak. Justeru itu saya memahami kesukaran dan cabaran yang dihadapi ibu bapa, khususnya ibu atau bapa tunggal,” katanya.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *