Nor Lella Yakin NSP Bariskan Calon Yang Kuat

CALON Parti Perpaduan Nasional (NSP) Nor Lella Mardiiiah Mohamed melahirkan keyakinan bahawa partinya telah menurunkan barisan calon terbaik bagi merebut GRC Tampines daripada pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam Pilihan Raya Umum (GE) 11 September ini.

Bercakap kepada pemberita sejurus sesi pengisian borang dan penamaan calon di pusat penamaan calon di Sekolah Poi Ching semalam, Penolong Bendahari NSP berusia 41 tahun itu berkata keyakinan tersebut timbul daripada kepercayaan yang diberikan penduduk Tampines kepada parti itu semasa mereka mengadakan sesi bertemu penduduk Tampines.

“Kali ini kami berasa lebih yakin, teguh dan mantap,” jelas beliau dengan membuat perbandingan mengenai keputusan terbaik yang diraih NSP ketika bertanding di GRC Tampines dalam GE 2011 yang menyaksikan parti tersebut meraih 42.78 undi.

“Kalau penduduk (Tampines) berasa yakin kami dapat ke depan, mengapa kami tidak boleh berasa yakin?”

Cik Nor Lella, yang sebelum ini bertanding di GRC Chua Chu Kang, menambah bahawa NSP, antara lain, akan mengetengahkan isu yang dihadapi warga tua yang menghadapi masalah mengeluarkan wang CPF mereka.

“Inilah keluhan yang selalu kami dengar dalam sesi bertemu penduduk yang kami jalankan… (malangnya) suara mereka tidak kedengaran.

“Kenapa mereka perlu mengeluh sedangkan warga tua Singapura telah lama menyumbang kepada negara?” ujar beliau lagi.

Awal daripada itu, Pemangku Setiausaha Agung NSP Lim Tean dengan lantang berkata parti itu akan memperjuangkan isu seperti imigresen, pekerja asing, persaingan yang dihadapi pelajar warga Singapura untuk mendapatkan tempat di sekolah setempat dan isu warga tua yang menghadapi dilema menghabiskan usia senja di negara lain kerana menghadapi ketidakcukupan wang untuk terus hidup di tanah air sendiri.

Perjuangan NSP itu mendapat sorakan gemuruh sekitar 70 penyokongnya yang mengibarkan bendera parti tersebut di pekarangan Sekolah Poi Ching sejurus tamat sesi penamaan calon.

Sebelum itu, calon Parti Pekerja (WP) Png Eng Huat menggesa penyokongnya supaya terus memberi sokongan kepada parti itu di Hougang, yang dianggap kubu kuat WP, menerusi slogannya Memperkasa Masa Depan Anda.

Beliau, yang berusia 53 tahun, dan penyandang kerusi SMC Hougang, menghadapi saingan calon baru PAP, Encik Lee Hong Chuan, 44 tahun.

Encik Png meneruskan penguasaan WP di Hougang dengan memenangi kerusi SMC itu pada 2012.

Sebelum ini SMC itu ‘dipegang’ setiausaha agung dan orang kuat WP, Encik Low Thia Khiang, dari 1991 hingga 2011.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *