Calon PAP Jurong GRC Rahayu Mahzam Beri Jaminan Teruskan Kerja Keras Halimah Yacob

Calon Melayu PAP di GRC Jurong, Rahayu Mahzam memberi jaminan kepada para penduduk bahawa beliau akan meneruskan kerja keras yang sudah diusahakan oleh Cik Halimah Yacob di kawasan undi tersebut.

Sepanjang empat hari lalu, Cik Rahayu Mahzam berkempen di kawasan Bukit Batok East, yang sebelum ini di bawah jagaan Speaker Parlimen, Halimah Yacob.

Pagi tadi, Cik Rahayu bertemu dengan para penduduk di tiga kedai kopi di Toh Guan Road.

Menurut Cik Rahayu, antara keprihatinan yang diutarakan oleh penduduk di kawasan undi ini, ialah infrastruktur dan kewangan.

“Saya ingin lihat bagaimana kita boleh cuba dapatkan satu jaringan masyarakat yang lebih peduli, sebab dalam kalangan penduduk di Bukit Batok East, ada yang mungkin lebih bernasib baik dan mungkin yang tidak. ^Dan juga ada di kalangan mereka, belia yang saya rasa boleh dilibatkan dalam kerja kemasyarakatan jadi mereka semua dapat saling membantu,” kata Cik Rahayu.

Cik Rahayu sudah melakukan lawatan bertemu penduduk di Bukit Batok East Ave 4, Burgundy Crescent dan Jalan Selanting.

Menurutnya, rata-rata penduduk menyambut beliau dengan baik, hasil rekod prestasi Cik Halimah.

“Puan Halimah telah melakukan kerja yang amat keras di sini jadi ramai penduduk yang gembira dengan apa yang telah dilakukan oleh parti ini. Apa yang mungkin menjadi satu cabaran adalah mereka risau tentang sama ada keadaan ini akan berterusan.

“Dan ini adalah sesuatu yang saya harus usahakan untuk pastikan mereka rasa yang saya boleh lakukan apa yang Puan Halimah telah lakukan dan membina atas apa segala projek yang telah beliau buat di sini,” ujar Cik Rahayu.

Cik Rahayu berkata, sepanjang kempen ini, calon-calon Melayu PAP yang lebih berpengalaman banyak membimbing calon-calon baru, dengan berkongsi perangsang dan nasihat.

Menurutnya, walaupun kadangkala timbul isu atau komen-komen tertentu,mereka saling mengingatkan satu sama lain supaya fokus kepada objektif utama iaitu membantu masyarakat.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *